Thursday 24 August 2017

Cabaran Pendidikan Abad ke-21: Faktor, Implikasi, Cara Mengatasi

1.0       Tugasan 1: Ulasan Kritis
Sepanjang sejarah pembangunan negara, kita berpandukan cita-cita yang murni pada masa-masa yang penting. Bermula dengan era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melangkah ke era Wawasan 2020 (1991-2020) dan seterusnya kita perlulah bersedia untuk menghadapi tempoh 30 tahun akan datang. Sejajar dengan hal tersebut, isu pendidikan telah menjadi topik utama bagi mencapai konsep Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menjadi dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. Namun, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan, pelbagai masalah seperti masalah murid dan bebanan kerja telah muncul dan menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru lebih mencabar dan akhirnya membawa implikasi yang buruk kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Maka, sebelum kita mengorak langkah untuk mengenal pasti langkah yang berkesan untuk mengekalkan kualiti PdP, marilah kita membincangkan faktor-faktor yang menjadi penyebab utama kepada masalah ini.
Pertamanya, inovasi dan perubahan kurikulum dalam pendidikan merupakan penyebab utama yang telah menjadikan bebanan tugas semakin berat. Pada abad ke 21, negara kita telah menghadapi cabaran baharu kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Untuk mencapai wawasan 2020 dan juga TN50, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah sering membuat penandaarasan dengan kurikulum negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan sentiasa setanding dengan pendidikan global. Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan juga prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) secara berperingkat mulai tahun 2011.
            Dalam hal ini, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijalankan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi KSSR telah membebankan guru. Hal ini kerana setiap prosedur dan langkah pentafsiran PBS dilaksanakan sepenuhnya oleh guru dan pihak sekolah yang bermula dari aspek perancangan, pembinaan item, instrumen pentaksiran, bermula dari aspek perancangan, pembinaan item, instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan, perekodan dan pelaporannya. Tugas pelaksanaan PBS yang pelbagai telah menimbulkan suasana yang negatif kepada guru dan mereka merasakan tugas penilaian PBS memerlukan masa pelaksanaan yang lama dan kemahiran yang tinggi untuk dilaksanakan. Bukan itu sahaja, bagi meningkat kemahiran serta maklumat semasa guru, banyak kursus atau program dijalankan bagi membolehkan guru-guru memperolehi kemahiran dan maklumat yang terkini. Sebagai contoh, guru dikehendaki mengikuti pelbagai kursus berkenaan KSSR, PBS, sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (SPPBS) dan sebagainya yang dianjur oleh sekolah, KPM, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mereka dapat melaksanakan KSSR dan PBS di sekolah dengan berkesan.
Sementelahan pula, Kementerian Pendidikan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan matlamat memanfaatkan TMK dalam pengajaran guru. Secara suka atau tidak, para pendidik dan seluruh sistem pendidikan terpaksa berhadapan dengan perubahan ini. Sebagai contoh, terdapat satu platform maya yang dikenali sebagai Persekitaran Pembelajaran Maya-Frog (Frog VLE) telah dikenalkan oleh KPM melalui Projek 1BestariNet pada tahun 2012. Guru-guru dituntut untuk menyokong sistem ini kerana berpendapat ia boleh mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya yang mana ia dapat memberi manfaat kepada guru, murid, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa. Namun, penggunaan Frog VLE ini merupakan satu perkara baru kepada guru dan murid dan Ia memerlukan pemahaman yang lebih teliti serta penguasaan yang jitu. Maka, ia ada cabaran dan kesukaran untuk mengaplikasinya dalam PdP.
Kajian Hasliza Hashim, Siti Munira Mohamad Nasri dan Zarina Mustafa yang berjudul “Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru Dalam Pelaksanaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog di Bilik Darjah” telah memaparkan pandangan-pandangan responden dan mereka berpendapat bahawa pembelajaran melalui Frog VLE agak rumit dan hanya membuang masa sedangkan guru sekolah mempunyai beban tugas lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Halangan seperti capaian internet rendah yang memakan masa lalu membantutkan usaha guru untuk menggunakannya lagi menambah tekanan mereka dalam PdP.  Posey, Burgess, Eason dan Jones (2010) juga menyatakan bahawa guru merupakan individu yang mempunyai beban tugas yang berat dan mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan profesion mereka.
Seterusnya, terdapat juga responden yang menyatakan kesukaran untuk guru dan murid dalam mengaplikasi Frog VLE di dalam bilik darjah terutamanya bagi guru yang kurang berkemahiran TMK seperti guru yang masih belum mahir dalam mengakses portal, menyediakan bahan pengajaran, memproses maklumat melalui laman web dan tidak mempunyai kemahiran untuk mengendali serta memanipulasi sesuatu alat. Kemahiran yang rendah akan menyukarkan lagi pengaplikasian terhadap inovasi baharu tersebut. Hal ini kerana guru seharus mengetahui dan memahami setiap fungsi ikon dalam widgets dan tahu mengendalikan dashboard tersebut sehingga dapat mewujudkan laman sendiri serta boleh dikongsi dengan guru lain dan juga murid-murid. Walaupun pihak kerajaan telah memberi latihan dalaman di peringkat sekolah, namun ianya masih belum mencukupi kerana mereka tidak ilmu pengetahuan yang berkaitan dan mereka terpaksa belajarnya dari mula ke akhir. Akibatnya, mereka terpaksa menggunakan masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri mereka dengan meneroka pendekatan baharu ini. Berdasarkan contoh-contoh yang dibincang tadi, jelaslah bahawa perubahan demi perubahan yang dilaksanakan telah menyebabkan stres dalam kalangan guru-guru secara tidak langsung.
Selain itu, Fadzil (2005) telah menyatakan bahawa salah laku pelajar yang berlaku seperti ponteng kelas, bising, bertindak biadap terhadap guru, melanggar peraturan sekolah, bergaduh, tidak menyerahkan kerja sekolah dan sebagainya merupakan satu punca yang menyebabkan stres dalam kalangan guru. Yahaya et al. (2010) juga menjelaskan faktor salah laku atau disiplin pelajar adalah satu punca stres kerja dalam kalangan guru. Hal ini kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai salah laku dan kerenah murid yang berasal daripada pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi serta peringkat umur. Beban kerja telah ditingkatkan secara ketara kerana beban mereka bukan sahaja terhad kepada mengajar, mendidik dan membimbing, malah mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengawal keseimbangan moral murid-murid. Bagi guru yang tidak mampu mengendali masalah-masalah ini, pastilah kestabilan emosi guru dan kualiti PdP akan dijejaskan. Justeru, jelaslah bahawa faktor sikap dan disliplin murid telah menyumbang kepada stres guru.
KPM dalam Laporan Utusan Malaysia pada (2014) telah menyatakan bahawa terdapat sebanyak 13359 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah terlibat dalam salah laku disiplin berat atau aktiviti yang berunsur jenayah bagi tempoh Januari hingga Jun 2014. Seterusnya, Utusan Malaysia (2017) juga memaparkan bahawa terdapat sebanyak 402 buah sekolah menengah dan rendah sedang dalam pemerhatian Kementerian Pendidikan berikutan isu disiplin murid. Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah itu sebanyak 311 buah sekolah merupakan sekolah yang mempunyai masalah disiplin.Sementara sebanyak 91 buah sekolah lagi dikategorikan sebagai sekolah tumpuan (hot spot) iaitu sekolah-sekolah yang cenderung mempunyai masalah disiplin.Menurut beliau, satu jawatankuasa yang dianggotai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan telah diwujudkan bagi melaksanakan program tertentu untuk memastikan isu tersebut tidak menjadi lebih teruk. Akibat kerenah murid, guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk mengajar dan mungkin burnout bagi situasi yang lebih serius.
Sesungguhnya, setiap sekolah akan mengalami masalah salah laku murid yang berbeza. Sebagai contoh, salah laku murid orang asli di semenanjung Malaysia dan juga di pedalaman Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada tidak hadir ke sekolah. Kebanyakan daripada mereka tidak ada motivasi untuk belajar, tidak mendapat sokongan ibu bapa malah terpaksa membantu ibu bapa mengutip hasil pertanian di hutan atas desakan hidup. Justeru, sebagai seorang guru yang prihatin, beliau dikehendaki sentiasa mengambil inisiatif untuk melawat murid-murid tersebut malahan terpaksa menempuh hutan tebal atau menyusuri sungai bagi memujuk murid-murid agar kembali ke sekolah.
Bagi murid di SMK pula, salah laku yang biasa dilihat termasuklah sikap biadap atau tidak menghormati dan menghargai guru ketika guru sedang mengajar seperti membuat bising, memanjat pagar untuk lari dari sekolah, berbual-bual, tidak membuat latihan yang diberikan selain keluar kelas tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar. Tindakan murid yang sebeginilah telah menyebabkan prestasi pencapaiannya merosot dan juga memberi suatu tekanan kepada guru-guru di sekolah. Dalam hal ini, tekanan emosi guru-guru ditambah lagi semasa dipertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian bagi membendung salah laku murid. Walau bagaimanapun, situasi ini menjadi lebih teruk dan sukar dikawal atas desakan ibu bapa yang menolak sebarang hukuman dikena atas anak-anak mereka. Dengan contoh-contoh yang dinyatakan tadi, jelaslah bahawa tekanan guru semakin bertambah akibat salah laku murid-murid.
Seterusnya, kajian Laughlin (1984) telah mendapati bahawa tekanan masa dan kekangan sumber merupakan penyumbang utama kepada tekanan kerja guru. Ages (2011) juga telah menyatakan bahawa kekangan masa telah menjadi penyumbang kepada belakunya tekanan emosi dalam kalangan guru. Dalam hal ini, kekangan masa ditakrifkan sebagai masa yang tidak mencukupi untuk berehat dan menjalankan tugas berkaitan pengajaran dan pembelajaran seperti tidak masa yang cukup untuk menghabiskan sukatan murid, membuat persediaan mengajar, memberi tumpuan kepada murid secara individu dan menanda buku. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang-kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini dan hal ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.
Bagi faktor kekangan sumber pula, kekurangan sumber seperti kekurangan kemudahan elektrik dan air bersih, peralatan, bilik darjah, makmal komputer, bengkel, bilik muzik, perpustakaan, kemudahan PdP dan perisiannya telah menyusahkan guru dan telah mengundang implikasi yang buruk kepada mutu dan kualiti pengajaran guru. Dalam hal ini, persekitaran kerja yang tidak kondusif seperti ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas yang terlalu panas dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Dalam hal ini, KPM (2011) telah menjalankan Kajian Semula Pelan Pembangunan Pendidikan ke atas 10,000 sekolah di Malaysia dan mendapatkan hasil kajian yang tidak begitu positif. Hasil kajian telah memaparkan bahawa terdapat 2000 buah sekolah tidak mempunyai makmal sains, 2700 buah tidak mempunyai makmal komputer, 1500 buah tidak mendapat air bersih dan 300 buah tiada bekalan elektrik 24 jam.
Sejajar dengan itu, kemudahan-kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan muridnya terutamanya sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin stres. Hal ini demikian kerana kekurangan sumber dalam sesuatu sekolah menyebabkan murid dikehendaki mengilir-gilir untuk menggunakan peralatan-peralatan dan akhirnya menjadikan sukatan pelajaran ditundahkan. Tambahan pula, murid juga akan sukar memahami dan belajar sesuatu teori dalam mata pelajaran sekiranya alat bahan mengajar atau perisian yang diperlukan tidak mencukupi. Sebagai contoh, murid tidak dapat mempraktikkan kemahiran kerja tangan mereka kerana tiada bengkel kemahiran hidup di sekolah. Dengan itu, mereka terpaksa mempelajari sesuatu kemahiran bergantung kepada teori semata-mata.
Selain itu, menurut laporan KPM (2005), terdapat 5,077 (66.8%) buah sekolah rendah dan 792 (39.0%) buah sekolah menengah di luar bandar. Sekolah rendah dan menengah khususnya di luar Bandar masih kekurangan infrastruktur serta kemudahan pendidikan. Terdapat 5,951 (78.3%) sekolah rendah dan 870 (42.9%) sekolah menengah berusia melebihi 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan tinggi. Di kalangan sekolah tersebut, terdapat sebanyak 1,639 buah sekolah rendah tidak mempunyai bilik sains dan 42 buah sekolah masih menumpang di sekolah lain. Bagi sekolah menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal komputer, 25 buah tidak mempunyai makmal sains dan 26 buah masih menumpang di sekolah lain (PIPP). Data-data ini merupakan bukti yang nyata dengan menunjukkan statistik-statistik kekurangan sumber sekolah di Malaysia.
            Di samping itu, gaya kepimpinan guru besar mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap sekolah dalam pelbagai perkara antaranya termasuklah komitmen guru (Sabariah Sharif, Juninah Dullah, Khaziyati Osman dan Salina Sulaiman, 2010) dan juga tekanan kerja guru (Najeemah Mohamad Yusof, 2011). Dalam hal ini, setiap guru besar mempunyai gaya kepimpinan sendiri seperti kepimpinan autokratik, demokratik, Laissez-Faize. Setiap gaya ini mempunyai kelebihan dan kelemahan dan ada kalanya gaya-gaya ini perlu digunakan bersama sekali dalam sesuatu organisasi supaya matlamat sekolah dapat dicapai malah tidak mengabaikan kebajikan guru. Walau bagaimanapun, terdapat juga guru besar yang bertingkah laku keterlaluan dalam mengamalkan kepimpinan autokratik. Guru besar sebegini cenderung untuk mengawal semua kuasa yang diberikan kepadanya, banyak memberi arahan tanpa menghiraukan ketidakpuasan guru-guru bawahannya dan juga membuat keputusan secara diri sendiri tanpa mengadakan perbincangan atau mesyuarat bersama semua guru. Hal ini telah menambahkan beban tugas guru kerana guru terpaksa menerima dan menyesuaikan diri serta tidak dapat menyuarakan pandangan dan bantahannya.
Sehubungan dengan itu, tingkah laku kepimpinan guru besar juga menjejaskan tahap tekanan emosi guru. Menurut Blake dan Mouton (1964), teori tingkah laku yang berdasarkan Grid Pengurusan telah melihatkan gaya kepimpinan guru besar dari dua dimensi iaitu dimensi berstruktur dan dimensi timbang rasa. Sesuatu kepimpinan boleh dikatakan berjaya atau tidak bolehlah dilihat dari gaya atau orientasi kepimpinan mereka iaitu adakah guru besar itu memimpin secara bertimbang rasa atau mementingkan tugas yang berstruktur. Bagi pemimpin yang bertimbang rasa, mereka akan mempunyai hubungan mesra dengan kakitangan, yakin dengan kebolehan pekerja, menghormati idea, mendengar pandangan dan memberi perhatian terhadap perasaan pekerja. Namun, bukan semua sekolah mempunyai seorang guru besar yang bertimbang rasa, terdapat kebanyakan guru besar telah mengamalkan gaya kepeminpinan yang mementingkan tugas yang berstruktur. Mereka terlalu menekankan tugasan sehingga mengabaikan hubungan mesra dan perasaan guru-guru. Kajian Norhannan & Jamaliah (2006), Tinah (2007) dan Shahrin (2009) juga mendapati bahawa guru besar lebih cenderung mengamalkan gaya kepemimpinan dimensi menstruktur tugas berbanding dimensi timbang rasa.
Bukan itu sahaja, kajian Lunenberg & Ornstein (2000) juga mendapati bahawa tingkah laku kepimpinan yang dipraktikan oleh pemimpin sekolah mempunyai pengaruh yang besar terhadap kepuasan kerja seseorang guru. Sebagai pemimpin, guru besar tidak lepas dari berinteraksi dan bergaul mesra dengan staf bawahannya secara positif. Kenyataan ini disokong Shahrin dan Nordin (2008) dengan menyatakan bahawa guru besar seharusnya memberi perhatian kepada guru dengan membentuk suasana tempat kerja yang kondusif untuk melahirkan sekolah yang cemerlang. Hal ini kerana mereka mendapati faktor pengurusan dan kepimpinan guru besar sekolah sangat mempengaruh aspek kepuasan dan keselesaan guru. Sekiranya guru besar sekolah kurang mengambil kira kecenderungan atau faktor ketidakpuasan hati guru, maka prestasi pencapaian guru akan dikurangkan dan tekanan emosi juga akan ditingkatkan.  Dengan itu, jelaslah bahawa gaya kepimpinan merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah sekolah kerana tingkah laku kepimpinan guru besar yang efektif dapat mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi oleh guru-guru dalam memastikan kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah.
Berdasarkan faktor-faktor yang diulaskan tadi, bebanan guru yang terlalu berat akan mewujudkan isu stres yang boleh membawa implikasi kepada mutu dan kualiti PdP. Menurut Mohamad Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Fontana dan Abouserie (1993) dalam Mohamad Nor (2007) pula telah menyatakan bahawa stres atau tekanan adalah sesuatu yang lazim terdapat dalam profesion perkhidmatan yang berhubungan dengan manusia. Sejalan dengan hal tersebut, profesion perguruan adalah salah satu tugas yang mempunyai hubungan secara langsung dengan manusia terutama dengan murid-murid. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam Utusan Malaysia (2006) pula telah menjalankan satu kajian yang berkaitan dengan stres di dalam kalangan 9328 orang kakitangan perguruan di seluruh negara pada tahun 2005.  Hasil kajian itu telah menunjukkan terdapat 69 peratus responden bersetuju bahawa mereka bekerja dalam keadaan stress. Persoalannya, apakah implikasi-implikasi daripada bebanan guru dan isu stres ini?
Pertamanya, stres telah menyebabkan emosi guru tidak stabil, selalu berada dalam kemurungan, kekecewaan dan kebimbangan, peningkatkan risiko penyakit mental serta cenderung untuk melakukan keganasan. Menurut Sapora Sipon (2007), guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu PdP. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kes yang berkaitan dengan guru sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa dalam era globalisasi ini. Dalam hal ini, terdapat segelintir kes yang telah menyebabkan kecederaan dan kematian kepada murid atau guru itu diri sendiri dan hal ini berlaku berkemungkinan disebabkan tekanan emosi yang telah dipendamkan oleh guru tersebut sehingga dia tidak dapat berfikir dengan waras lalu melakukan perbuatan yang tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain seperti melepaskan geram kepada muridnya.
Tambahan pula, emosi guru yang tidak stabil akan menyebabkan guru itu melampiaskan kemarahan tanpa sebab yang rasional terhadap murid. Contohnya apabila guru menghadapi masalah keluarga yang menyebabkan fikirannya tertekan, lazimnya murid-murid di sekolah akan menjadi mangsa untuk melepaskan kemarahan. Dalam hal ini, murid yang melakukan kesalahan kecil akan dibesar-besarkan dan kelas yang diajar akan menjadi suram serta tidak ceria. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah guru yang beremosi dan tidak dapat belajar dengan suasana tenang dan berkesan. Maka, hal ini telah membantutkan perasaan murid untuk belajar dan murid tersebut juga akan mempunyai satu persepsi baharu yang negatif terhadap gurunya.
Sebagai analogi, MalayMail Online (2016) telah memaparkan satu kes deraan murid yang berumur 10 tahun oleh guru muziknya. Dalam hal ini, bapa murid telah mendakwa bahawa guru itu menarik rambut dan menempeleng anaknya selepas dia hanya berdiam diri ketika disoal dan enggan ke depan kelas. Bukan itu sahaja, akhbar Berita Harian (2016) juga telah memaparkan kes guru sambilan yang didakwa memukul seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Baling sehingga patah tulang tangan telah dihentikan perkhidmatannya serta merta. Melalui kes ini, boleh dilihat dengan ketara bahawa guru tersebut sedang mengalami stres yang agak serius sehinggalah beliau melakukan sesuatu yang agak ekstrem dan telah mencemarkan nama baik sekolah tersebut.
Selain itu, guru yang stres juga akan menyebabkan kesan yang negatif kepada rakan sekerja yang berada di sesebuah sekolah tersebut. Menurut Sapora Sipon (2010), sesetengah stres adalah normal kerana dos yang kecil boleh menjadikan sesuatu lebih positif. Walau bagaimanapun, stres yang kerap berlaku dan berterusan dalam jangka masa panjang boleh mendatangkan kesan yang negatif serta menjejaskan tahap diri dan mental seperti kemurungan. Apabila seorang guru yang mengalami stres, pastinya akan berlaku masalah dari segi sosial dengan guru-guru memandangkan seorang yang murung kebiasaannya akan memencilkan diri dan mengelakkan diri daripada bergaul dengan sesiapa. Misalnya, guru menunjukkan wajah masam kepada rakan sejawat ataupun sering menjadikan kerja berkumpulan kurang bermutu. Secara tidak langsung, suasana akan menjadi muram dan mungkin menyebabkan rakan tersebut terasa hati. Natijahnya, hubungan antara rakan sekerja akan menjadi renggang dan suasana bilik guru juga agak pelik serta tidak harmoni. 
Bukan itu sahaja, perkara ini akan menjadi lebih teruk sekiranya guru yang stres tersebut bertindak di luar jangkaan seperti mengamuk dan memarahi mereka yang menegurnya memandangkan sesorang yang menghadapi fenomena stres cenderung untuk bersikap berang. Akibat daripada itu, keselamatan guru sekerja akan tercabar malah prestasi pencapaian rakan sekerja juga terpengaruh kerana selalu bimbang akan keselamatan diri. Tambahan pula, fenomena yang tidak diingini seperti mengumpat, berprasangka buruk dan wujudnya puak-puak guru juga akan berlaku dalam kalangan guru yang mana bernaung di bawah satu kerjaya profesional. Dengan itu, inisiatif perlu diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku.
           Perkara akan menjadi lebih serius apabila isu stres ditingkatkan dan bertukar kepada burnout. Reddy (2007) telah menyatakan bahawa burnout merupakan hasil daripada gabungan kesan faktor-faktor yang telah mencipta tekanan kerja sehinggalah menyebabkan psikologi seseorang itu menjadi lemah. Menurut Wahab, Nordin, Ghani dan Rajab (2010) pula, burnout boleh didefinisikan sebagai satu situasi di mana seseorang individu tidak dapat merasakan kepuasan kerja dalam melaksanakan pekerjaan mereka. Dalam hal ini, salah satu simpton burnout yang ketara boleh dilihat apabila seseorang guru mula ponteng ke sekolah tanpa alasan yang kukuh. Hal ini kerana guru yang mengalami fenomena burnout ini kebiasaannya kecewa, tiada minat dan motivasi untuk bekerja di sekolah. Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2011) juga telah menyatakan bahawa ponteng kerja merupakan perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Natijahnya, ketidakhadiran guru secara suka hati ini telah banyak mengundang keburukan kepada PdP.
Sebagai contoh, rancangan pengajaran yang telah ditetap pada awal tahun tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal dan hal ini menyebabkan perancangan baharu perlu disusun semula. Murid-murid dikehendaki menanggung kesan-kesan negatif apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik seperti UPSR yang akan diduduki oleh murid Tahun 6 disebabkan kegagalan guru dalam menghabiskan sukatan pelajaran. Akibat daripada perbuatan guru ini, kemungkinan besar murid-murid yang diabaikan ini mendapat keputusan yang tidak memuaskan lantas akan mengganggu gred sekolah tersebut. Dengan itu, jelaslah bahawa kepentingan dalam mengatasi isu stres guru supaya murid-murid dan nama sekolah tidak akan menjadi mangsa kepada masalah ini.
Seperkara lagi, kejadian bersara awal dan peninggalan professional juga berlaku atas sebab stres dan burnout guru. Maslach (2001) telah menyenaraikan enam simptom yang terhasil apabila seseorang mengalami burnout dan salah satu daripadanya adalah bersara awal. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sapora Sipon (2010) pula, tekanan kerja merupakan penyumbang kepada guru untuk meninggalkan profesion perguruan. Sesungguhnya, fenomena guru mengambil keputusan bersara awal dan peninggalan professional sering dikaitkan dengan perubahan kurikulum baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Perubahan ini dikatakan menyebabkan senarai tugas guru semakin panjang dan harapan masyarakat kepada guru semakin tinggi, sedangkan keadaan lain tidak banyak berubah (Amla Mohamad Salleh, 1994). Guru yang tidak bersedia dalam menghadapi perubahan ini akan berasa amat kecewa kerana tidak mampu menangani tugas. Natijahnya, perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional dan akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan, bertukar ke profesion lain atau memohon bersara awal dari profesion perguruan.
Sebenarnya, kes-kes bertukar ke profesion lain, persaraan awal atau peninggalan professional akibat beban guru ini bukanlah isu yang baharu lagi malah telah berlaku dari awalnya hingga masa sekarang. Sebagai contohnya, menurut data Kementerian Pendidikan dalam tahun 1980, terdapat seramai 122 orang guru sekolah rendah dan 144 orang guru sekolah menengah telah beralih ke bidang lain manakala pada tahun 1984 pula seramai 303 orang guru sekolah rendah dan 180 orang guru sekolah menengah juga mengambil tindakan yang sama. Seterusnya, terdapat lebih kurang 6000 guru dari seluruh negara memohon bersara awal setiap tahun dengan purata 500 permohonan setiap bulan berdasarkan data yang diperolehi oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) pada tahun 1999. Mengikut Ong Shi Fatt dalam akhbar China Press (2014) pula, ststistik masa kini telah menunjukkan terdapat lebih kurang 10 peratus guru di Malaysia memilih bersara awal. Berita dalam akhbar China Press (2016) juga menyatakan bahawa terdapat ramai guru memilih bersara awal disebabkan tekanan yang diberi KPM dan juga ibu bapa murid-murid. Seorang guru yang ditemu bual telah menyatakan bahawa keterlaluan beban tugas ini menyebabkan beliau merasa tidak motivasi untuk mengajar. Beliau juga berkata bahawanya telah bertimbang untuk bersara awal sejak enam tahun sebelum ini atas stres yang dihadapinya.
Sehubungan dengan itu, pentadbir terpaksa mengambil guru ganti bagi menggantikan kekosongan guru yang telah bersara awal ataupun peninggalan profesional. Dalam hal ini, pihak sekolah selalu mengamalkan pengambilan guru ganti yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar lepasan SPM atau STPM yang tidak mempunyai pengalaman mengajar dan juga latihan ikhtisas serta tiada kelayakan akademik yang sesuai bagi mengatasi kekosongan sementara ini. Natijahnya, guru yang tiada kelayakan akademik ini akan menjejaskan seluruh rancangan pengajaran yang telah ditetap pada awal tahun kerananya tidak tahu pedagogi, pendekatan, kaedah dan juga teknik yang sesuai dalam membantu murid-murid untuk mencapai hasil pembelajaran. Perkara ini seterusnya akan menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan serta membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikannya.
Memandangkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan pendidikan amat bergantung kepada golongan pendidik iaitu guru-guru, maka, sewajarnya pihak-pihak seperti sekolah, JPN dan KPM perlu peka dengan permasalahan beban kerja yang dihadapi oleh golongan ini. Hal ini kerana golongan guru telah diklasifikasikan sebagai golongan terpenting yang dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan impian dan matlamat negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Berdasarkan faktor-faktor dan implikasi yang telah dibincangkan tadi, banyak usaha dan rancangan untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi tekanan emosi guru sekolah yang disebabkan beban tugas agar isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Persoalannya, apakah cadangan dan cara yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah ini?
Pertamanya, kekuatan kepimpinan dalam pengurusan sekolah amat penting dalam menangani isu beban tugas ini. Dalam hal ini, guru besar yang mengamalkan konsep kepemimpinan berkarisma sering dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan imej sekolah di masyarakat. Hal ini demikian kerana pemimpin yang berkarisma tidak hanya berorientasikan pencapaian, malah juga bertenaga, penglibatan diri yang tinggi, bertimbang rasa dan sensitif (House dan Howell, 1992). Menurut Weber (1947) pula, pemimpin berkarisma mempamerkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah atau mengharungi sesuatu krisis dengan berjaya. Apabila hal ini berlaku, pengikut-pengikutnya akan mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadapnya. Tambahan pula, sikap keterbukaan pentadbir juga dapat mewujudkan komunikasi berkesan antara guru dengan pihak pentadbir. Kesanggupan guru besar untuk menerima teguran yang membina, bersedia mendengar dan menerima pendapat serta mudah diajak berbincang dapat menyukakan hati para guru. Dengan itu, tekanan guru akan dikurangkan kerana mereka boleh meluahkan perasaan, emosi dan pendapat kepada pihak atasasn tanpa rasa ketakutan atau kebimbangan.
Selain itu, pemberian sokongan yang maksimum daripada pentadbir juga merupakan salah satu langkah yang berkesan. Menurut kajian terhadap guru-guru di sekolah rendah swasta yang dilaksanakan oleh Weidner pada 2002, beliau telah mendapat maklum balas bahawa guru-guru yang mendapat sokongan daripada pihak pentadbir didapati kurang berasa stres dalam melaksanakan tugasnya. Hal ini demikian kerana guru akan merasa dilindungi, dihargai, dimotivasi dan bukanlah beliau sahaja seorang yang menghadapi masalah. Beliau akan berasa lega kerana terdapat sepasukan guru berganding bahu bersamanya dalam menghadapi masalah-masalah. Bukan itu sahaja, sokongan fizikal yang boleh diberi oleh pentadbir bersama pihak kerajaan termasuklah menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif bagi guru. Kemudahan asas sekolah juga perlu dilengkapkan dan program pemprosesan data dapat diringkaskan serta penambahbaikan dilaksanakan ke atas semua sistem TMK agar urusan data guru atau murid dapat dilaksanakan secara berpusat. Seterusnya, pihak sekolah juga boleh mengaplikasi amalan perkongsian kemudahan dan infrastruktur dengan sekolah lain dalam komuniti setempat misalnya padang, gelanggang ataupun perisian dan makmal komputer. Dengan itu, kekangan sumber yang dinyata tadi boleh diatasi dengan cara perkongsian sumber antara sekolah.
Di samping itu, pentadbir yang menunjukkan rasa hormat dan sentiasa menghargai orang bawahannya sememangnya disenangi semua guru. Dalam hal ini, ganjaran yang setimpal perlu ditawarkan kepada guru-guru agar mereka merasa kerja dan usaha mereka dihargai. Peluang kenaikan pangkat yang lebih banyak dan terbuka kepada semua guru tanpa mengira pengalaman mengajar harus diwujudkan. Terdapat banyak anugerah perkhidmatan seperti Anugerah Guru Gemerlang telah dilaksanakan namun tidak semua guru diberi peluang untuk merasai anugerah tersebut akibat sifat pengetua dan guru besar yang terlalu memiih kasih dan menetapkan sasaran yang terlalu tinggi untuk guru-guru akademik. Pengharagaan seperti ini amat perlu diwujudkan di setiap sekolah agar guru-guru merasai diri mereka dihargai oleh pihak pentadbir dan masyarakat.
Dalam hal ini, teori kepemimpinan yang disaran kepada pentadbir di sekolah termasuklah teori Kepimpinan Transformasi yang dipelopori oleh Burns pada tahun 1978 untuk menggambarkan satu situasi yang ideal antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut beliau, pemimpin transformasi bijak menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk memujuk pengikutnya supaya membawa perubahan dalam organisasi. Teori ini dicadang untuk diamalkan di sekolah supaya guru besar menjadi seorang yang mampu menginspirasikan dan memberikan pertimbangan secara individu, beroperasi berasaskan nilai dan seterusnya mempengaruh guru-guru beranjak ke aras motivasi dan komitmen yang lebih tinggi. Mengikut Bass (1985) pula, beliau menyatakan bahawa kepemimpinan transaksi biasa diamalkan kerana pengikutnya akan mendapat ganjaran sebagai satu penukaran barter kepada tugas yang dilaksanakan. Dengan itu, guru-guru akan dimotivasikan untuk mencapai matlamat organisasi. Selepas meneruskan kerja-kerja ilmiah Burns, Bass (1997) telah menyatakan bahawa gaya kepemimpinan terbaik melibatkan transaksi dan transformasi supaya pengikutnya boleh mendapat situasi menang-menang.
Seperkara lagi, Sergiovanni (1992) telah mendefinisikan kepemimpinan moral sebagai suatu bentuk bimbingan yang memotivasikan orang lain melalui prinsip-prinsip dan pegangan nilai yang terpuji. Pentadbir sebegini tidak mementingkan diri dan selalu bertindak demi kebaikan sejagat. Sekiranya pentadbir sekolah boleh mengamalkan gaya kepemimpinan ini, maka bebanan dan stres guru-guru akan dikurangkan memandangkan pentadbir sekolah telah melindungi hak, nilai sosial dan juga memperoleh kepercayaan para guru. Dengan itu, jelaslah bahawa sikap keterbukaan pihak pentadbir, sokongan yang maksimum dan juga penghargaan kepada guru akan mendorong guru bekerja semakin bersungguh-sungguh dan mereka juga akan menganggap stres sebagai tenaga serta kekuatan untuk mencapai kecemerlangan sekolah.
Seterusnya, pihak pengurusan sekolah juga harus memainkan peranannya dengan cekap iaitu prihatin dan selalu bersikap adil dalam pengagihan tugas. Dari sudut prihatin, pihak sekolah sememangnya perlu sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi dan seterusnya bekerjasama dengan kaunselor agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, di samping mendapatkan jalan penyelesaian alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan. Dari sudut keadilan pula, pengagihan tugas yang sama rata dan jelas oleh pihak pentadbir amat penting bagi menggalakkan kesamaran tugas. Sebagai contoh, pihak sekolah harus merancangkan waktu jadual para guru dengan berpandukan kekosongan jawatan di sekolah dan juga kemampuan akaunbiliti guru masing-masing.
Sementelahan pula, pihak kerajaan dan sekolah seharusnya memainkan peranan dominan dengan mengadakan pelbagai bengkel atau kursus untuk membantu guru dalam menangani masalah atau menyelesaikan masalah. Dalam hal ini, jenis program atau kursus boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu salah satu untuk membantu guru menangani emosi atau pengurusan diri dan satu lagi untuk membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan abad ke-21. Bagi jenis bengkel pertama, ia amat diperlukan dan amat penting untuk semua guru kerana guru merupakan harta negara kita. Pendidikan menjamin terbentuknya modal insan dan juga kewibawaan negara masa depan. Sekiranya pihak kerajaan tidak mempedulikan tekanan gangguan emosi guru dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya, mestinya kualiti pengajaran dan pembelajaran akan terjejas dan generasi kita juga terpaksa memikul implikasinya.
Menurut Gold dan Roth (1993), program-program ini secara umumnya bertujuan untuk mengelakkan kemunculan situasi bekerja yang stres atau mengurangkan kekerapan masalah ini berlaku, meningkatkan kesedaran guru-guru terhadap masalah-masalah stres kerja dan merawat atau memulihkan individu-individu yang telah mengalami stres kerja. Dalam hal ini, KPM, JPN dan PPD haruslah menganjurkan seminar, bengkel atau kursus yang berkaitan dengan stres kerja dan cara-cara mengatasi atau mencegahinya. Pihak sekolah juga harus melibatkan diri secara aktif dalam rancangan-rancangan sebegini dengan memberi kerjasama yang maksimum supaya program yang dirancang dapat diimplementasi dengan lancar dan berkesan. Pakar-pakar dalam bidang ini perlu dijemput untuk merunding supaya segala strategi dan usaha yang dilaksanakan berkesan dan dapat memanfaatkan guru-guru. Sebagai contohnya, seseorang guru dapat memahami kekuatan dan kelemahan dirinya, mempunyai fikiran yang serta bersiap sedia dan bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang masalah dan perubahan selepas menyertai bengkel pengurusan diri dan bengkel kerjaya.
Sehubungan dengan itu, terdapat juga program atau bengkel yang bertujuan membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan abad ke-21. Dalam hal ini, kerajaan boleh mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan guru serta memperkenalkan strategi atau pendekatan baharu penyelesaian masalah supaya guru boleh menyesuaikan diri dalam sebarang perubahan sistem pendidikan. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa yang lebih kuat daripada pihak lain dan juga mempunyai kuasa autokratik dalam membuat sebarang polisi atau perubahan. Dengan itu, pihak kerajaan boleh mewajibkan semua guru sekolah untuk menghadiri program atau bengkel-bengkel yang diadakan supaya mereka dapat dimanfaatkan daripadanya.
Sekadar mengambil contoh, Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan tahun 2017 telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah pada 5 Februari 2017. Menurut Mahdzir, program ini diharapkan dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.  Selain itu, terdapat juga banyak kursus yang diadakan antaranya termasuklah Kursus Frog VLE, Bengkel Pelaksanaan Sistem Pengurusan Inisiatif Sekolah ICTS dan sebagainya.
Sementelahan pula, guru seharusnya mempunyai minat, ikhlas dan mempunyai harapan untuk memajukan diri. Hal ini kerana professional perguruan bukanlah sesuatu kerjaya perkhidmatan awam yang mudah, waktu kerja mereka bukanlah tetap dan kadang-kala memerlukan pergorbanan masa dan wang diri sendiri untuk kebaikan murid. Sekiranya seorang guru tiada amanah dan jiwa yang berkobar-kobar untuk berkorban untuk murid, pastinya beliau mudah putus asa dan mengalami fenomena burnout. Sebaliknya, jika guru tersebut mempunyai niat untuk memajukan diri sendiri, barulah beliau akan berusaha mencari dan menghadiri bengkel-bengkel yang dirasanya sesuai dengan diri sendiri dan bukan dalam bentuk paksaan. Sebagai contohnya, guru boleh menghadiri kursus yang berkaitan dengan kemahiran pengurusan masa dan kemahiran berkomunikasi seandainya ingin mengatasi kelemahannya. Dengan itu, jelaslah bahawa minat dan sikap semula jadi seseorang amat penting dalam menghadapi tekanan yang diundang daripada kerjaya.
Seterusnya, guru juga harus selalu melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dengan rakan sekerja. Hal ini kerana masalah yang dihadapi boleh dibincangkan bersama dan sikap-sikap positif seseorang juga boleh mempengaruhi rakan sekerjanya yang pasif.  Menurut Lieberman (1986), guru boleh berkembang secara professional melalui kolaborasi kerana keupayaan untuk berkolaborasi akan menggandakan keberkesanan terhadap sesuatu yang diusahakan. Kaedah kolaborasi ini juga telah membawa banyak manfaat kepada ahli kumpulan antaranya termasuklah boleh membina hubungan interaksi sosial yang lebih baik, membina sikap sentiasa menghargai orang lain, membantu untuk mengikis sikap negatif seperti sombong, bongkak, ego dan membenarkan komunikasi terbuka serta memanfaatkan aktiviti perkongsian maklumat. Dalam hal ini, terdapat banyak jenis kolaboratif dan salah satu adalah pengajaran berpasukan. Menurut Davis (1984), pengajaran berpasukan merujuk kepada kaedah pengajaran yang dijalankan oleh sekumpulan guru yang pakar atau mahir dalam pelbagai bidang dengan membentuk sebuah pasukan pengajaran. Mereka akan bersama-sama merancang untuk melaksanakan dan menilai semua aktiviti pengajaran dari mula hingga akhir. Mereka juga dikehendaki membincang, membuat refleksi dan mencuba pendekatan pengajaran yang lebih baik seperti apa yang dilakukan oleh murid kita.
Tambahan pula, terdapat juga jenis kolaborasi yang terdiri daripada pelbagai guru yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Mereka boleh mengongsikan pedagogi, pendekatan, bahan dan sumber PdP antara satu sama lain. Mereka juga boleh membincangkan masalah yang dibawa daripada inovasi dan perubahan-perubahan kurikulum serta minta tunjuk ajar daripada guru cekap atau guru pakar. Sebagai contoh, terdapat guru yang masih tidak mahir mengguna Frog VLE walaupun telah menghadiri bengkel berkenaan. Beliau boleh melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dan akhirnya cara-cara mengatasi masalah ini mungkin timbul daripada perbincangan dan pertukaran idea sesama rakan sekerja. Justeru, jelaslah bahawa tekanan guru dapat dikurangkan dengan melibatkan diri dalam aktiviti kolaboratif.
Tambahan pula, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dengan bersenam, menjaga soal pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok, minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat. Badan yang cergas akan membentuk otak yang cerdas. Segala tekanan dapat dilepaskan apabila kita bersenam atau beriadah. Hal ini kerana beriadah dapat mengurangkan stres seseorang dengan mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Sebagai contohnya, guru boleh menyertai kelas aerobik dalam masa lapangan kerana aktiviti ini mampu menenangkan fikiran kita dan menghilangkan stres seperti aktiviti yoga yang telah menjadi aktiviti kegemaran orang ramai.
 Seperkara lagi, bersenam merupakan ubat semula jadi untuk mengurangkan kegelisahan dan juga mengubati penyakit kesukaran untuk tidur. Seandainya seorang guru boleh tidur dengan lenyuk dan mempunyai masa tidur yang mencukupi, mestilah emosinya menjadi lebih tenang dan air mukanya juga akan dipenuhi dengan perasaan gembira setiap hari. Dengan itu, guru tersebut akan menjadi lebih yakin dan bersifat terbuka semasa menghadapi masalah. Sehubungan dengan itu, kita perlulah memastikan makanan yang kita ambil seharian mempunyai zat yang berguna kepada kestabilan kesihatan mental dan fizikal kita. Hal ini kerana pengambilan atau amalan makan makanan yang berlebihan dan tidak teratur akan mengakibatkan kita mengalami berat badan atau obesiti, kandungan kolestrol yang terlalu tinggi yang mana punca kepada beberapa penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Bebanan kerja dan masalah kesihatan akan membuatkan seseorang itu mengalami simptom stres dan kemurungan. Justeru, langkah yang berkesan untuk mengelakkan terjadi masalah ini adalah mendapatkan nasihat daripada pakar–pakar pemakanan yang diiktiraf.
Sehubungan dengan itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah stress. Hal ini demikian kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres dengan baik dengan meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan agama. Keyakinan diri yang tinggi pula dapat mengelakkan diri terpengaruh dengan hasutan-hasutan daripada pihak yang berfikir negatif seperti rakan–rakan sejawat kita atau ibu bapa murid yang berkemungkinan tidak berapa menyukai kita atau cemburu dengan kejayaan kita. Serentak dengan itu, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan juga dapat dipertingkatkan dan beliau akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan. Dengan itu, para guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia dapat memberikan perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan.

Secara keseluruhannya, cabaran pendidikan ke-21 ini telah mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada kita memandangkan strategi dan cara kita dalam menghadapinya. Terdapat cabaran yang boleh diatasi dan menjadikan guru lebih positif dalam menjalankan PdP. Sebaliknya, terdapat juga cabaran yang tidak boleh diatasi yang telah banyak mengundang keburukan kepada guru. Walau bagaimanapun, minat dan kemahiran penyesuaian diri dalam sebarang situasi amat diperlukan oleh guru untuk mengadaptasi dan menyelesaikan pelbagai masalah masa kini. Tuntasnya, guru boleh berhidup dengan lebih bermakna dan mempunyai pembelajaran sepanjang hayat sekira beliau cekap dalam menghadapi inovasi dan perubahan pendidikan ini. 

No comments:

Post a Comment