Wednesday 22 April 2015

Punca Utama Masalah Disiplin,Pendekatan Menangani Masalah Disiplin

Punca Utama Masalah Disiplin

“Berikan aku 100 orang tua, aku akan mampu menggoncangkan perahu tertangkup tetapi kalau aku diberikan 10 orang pemuda, nescaya aku mampu menggoncangkan dunia.” Demikianlah kata-kata mantan Presiden Indonesia tentang kepentingan golongan remaja dalam memacu sesebuah negara. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Demikianlah satu proklamasi yang menggambarkan kepentingan golongan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi Y dalam menerajui kepimpinan negara suatu ketika nanti. Usia remaja merupakan tahap kritikal kerana pada peringkat ini mereka berada dalam tempoh peralihan menuju alam dewasa.  Namun, sayang seribu kali sayang, dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan sahmura ini. Menurut kajian yang sahih antara masalah yang membabitkan golongan ini sehingga menjadi buah mulut orang ramai dan menimbulkan kontroversi ialah gejala vandalisme, buli, gangsterisme dan entah seribu satu macam lagi gejala.

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, masyarakat heboh memperkatakan tentang segelintir pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pecah rumah, ponteng sekolah, terlibat dalam gangster, bakar kereta guru dan juga kes melarikan diri dari rumah. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita, apakah punca utamanya masalah disiplin? Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Pertamanya, sebab masalah disiplin dominan adalah dari aspek diri murid. Perkembangan kognitif, emosi, sosial dan fizikal kanak-kanak berlaku pada kadar yang berbeza. Maka, setiap murid mempunyai perkembangan yang berbeza dan juga tahap kemahiran mereka yang berbeza. Namun, terdapat sesetengah murid yang akan menghadapi kesukaran dalam mengikut pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-rakannya. Sesetengah murid mempunyai kekuatan dalaman atau sokongan ibu bapa untuk menghadapi cabaran ini dan terus berusaha. Tetapi, sesetengah murid akan respons dengan bersikap putus asa atau cuba menutup kelemahan melalui helah bela diri, misalnya tidak menghiraukan pelajaran atau ponteng kelas tersebut. Hal ini berlaku kerana tingkah laku seperti ponteng kelas atau sekolah merupakan cara murid mengelakkan kegagalan, teguran sinis daripada guru atau situasi yang mungkin menimbulkan perasaan malu. Bukan itu sahaja, perasaan rendah diri yang timbul dari hati murid juga menyebabkan murid mengasingkan diri, tidak bergaul dengan rakan dan tidak melibatkan diri dalam kerja kumpulan.

Selain itu, keperluan fisiologi manusia seperti makan, minum, tidur, keselamatan, kasih sayang, pengiktirafan, perasaan kesepunyaan, perkumuhan dan penghormatan juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan masalah disiplin dalam aspek diri murid. Hal ini demikian kerana sekiranya keperluan-keperluan ini tidak dapat dipenuhi, maka murid akan berusaha untuk memenuhi keperluan ini. Dalam hal ini, murid mungkin menimbulkan masalah di dalam bilik darjah, misalnya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya untuk mendapat perhatian gurunya.

Seterusnya, kanak–kanak di sekolah rendah memiliki sifat ingin tahu dan keinginan untuk mencuba sesuatu baharu yang tinggi. Mereka mungkin mudah dipengaruhi dan tertarik dengan pakaian, gaya bertutur, mimik muka atau gaya berjalan yang dianggap “cool” yang telah diperhatikan oleh mereka terhadap individu lain atau daripada media massa. Dengan percubaan gaya baharu yang tidak sepatutnya, masalah tingkah laku telah ditimbulkan. Bagi murid yang telah lama mengamal tingkah laku yang tidak sepatutnya, mereka mungkin akan mempengaruhi rakannya. Kebosanan dengan aktiviti kelas juga telah mendorong mereka melanggar peraturan, menipu atau mengganggu rakan dalam kelas tanpa tujuan yang munasabah. Sekiranya perbuatan mereka dibiarkan, mereka mingkin berasa seronok kerana terlepas daripada peneguhan dan hukuman.

Di samping itu, masalah emosi dalam kalangan murid turut menyumbang kepada masalah disiplin dan tingkah laku di dalam bilik darjah. Masalah ini boleh bersifat dalaman dan mingkin tidak jelas kepada guru. Murid seperti ini tidak mempunyai kawan, sukar menyiapkan tugasan, kerap tidak hadir ke sekolah, menunjukkan sikap afektif yang kurang sesuai misalnya menangis, perasaan yang kerap berubah, tidak cergas atau malu. Sebaliknya masalah emosi yang bersifat luaran lebih jelas kerana tingkah laku murid menarik perhatian guru kepadanya. Murid ini menunjukkan sikap agresif, tidak mengendahkan amaran guru, kerap tidak hadir ke sekolah, merosakkan harta benda, membuli, mudah marah dan kurang perasaan empati atau perasaan belas kasihan.

Sekarang, mari kita lihat punca utama masalah disiplin dari aspek latar belakang murid. Dalam hal ini, asuhan yang diterima, taraf ekonomi keluarga, bilangan ahli keluarga, tempat tinggal, jiran dan sebagainya telah banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku murid terhadap sekolah. Sebenarnya, kekurangnya kawalan oleh ibu bapa dikatakan menjadi punca utama berlaku tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih dan ibu bapa yang mewarnakannya. Mengikut kajian Sapora Sipon (2005), faktor pendapatan keluarga, kelas sosial, etnik, pengaruh rakan sebaya, penyalahgunaan dadah, ketidakstabilan keluarga kesemuanya menyumbang kepada masalah ponteng sekolah. Beliau juga menunjukkan bahawa kebanyakan ibu bapa tidak sedar anak mereka ponteng sehingga guru membuat aduan. Ibu bapa juga sering kali terpedaya dengan anak yang pandai berpura-pura berkelakuan baik ketika berada di rumah. Kebanyakan ibu bapa tidak tahu bahawa anak mereka sering melakukan salah laku di sekolah atau luar sekolah.

Sesungguhnya, kawalan daripada ibu bapa terhadap anak yang bersekolah amat sukar dilakukan kerana dalam kehidupan kini kedua-dua ibu dan bapa bekerja. Dalam kajian Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad menunjukkan kesibukan harian inilah mengakibatkan banyak ibu bapa terpedaya dan mengambil ringan terhadap tugas mengawas anak terutama anak yang masih di bangku sekolah. Bagi pendapat mereka, sekolah sudah cukup bagi mendisiplinkan pelajar dan menjaga anak pada waktu siang. Sedangkan dalam hal ini, guru hanya dapat mengawal pelajar ketika waktu persekolahan sahaja. Di luar sekolah, tugas itu amat sukar atau boleh jadi mustahil bagi guru membuat pengawasan dan mengambil tindakan kerana guru juga mempunyai keluarga, anak, kawan dan kehidupan mereka. Walaupun seseorang guru mencuba yang sebaik bolehnya, dia tetap tidak dapat menggantikan tempat ibu bapa.

Sebenarnya ibu bapa atau penjaga sangat berperanan dalam pembentukan dan pengawalan disiplin anak-anak mereka. Secara tidak formal, kanak-kanak menerima didikan awal di rumah dari ibu bapa. Sebab itulah anak diumpamakan seperti kain yang putih bersih maka ibu bapanyalah yang banyak mempengaruhi pembentukan keperibadiannya. Dalam hal ini, terdapat sesetengah ibu bapa yang bersikap tegas terhadap anak-anak mereka manakala terdapat juga sesetengah ibu bapa yang jarang menunjukkan kasih sayang, misalnya tidak memegang tangan atau memeluk anak mereka. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam institusi keluarga yang penuh dengan kasih sayang amat penting dalam mengelakkan berlakunya masalah disiplin di sekolah. Hujah ini memang tepat kerana cara asuhan yang berbeza amat mempengaruhi sahsiah murid-murid. Sebagai analogi, murid-murid daripada keluarga penyayang lebih menunjukkan kasih sayang kepada orang lain dan disenangi oleh rakan sebaya dan tidak terlalu menuntut perhatian. Manakala murid yang kurang mendapat kasih sayang atau perhatian di rumah akan cuba mendapatkannya daripada guru atau rakan sebayanya dengan cara menimbulkan masalah disiplin di sekolah atau selalu melanggar peraturan sekolah.

Sementelahan pula, Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Patterson yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal dalam keluarga yang dianggapkan sebagai tempat melahirkan tingkah laku antisosial dan menentang. Feldman & Weinberger (1994) juga menerangkan bahawa penampilan sikap negatif oleh pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah. Keluarga yang selalu bertengkar, sentiasa mabuk, main judi, kaki perempuan, suka berleter dan suka mengongkong anak-anak dan mengamal sikap benci-membenci akan menyebabkan anak-anak mereka bersikap negatif tanpa disedari oleh masyarakat.

Konflik dalam keluarga, pergaduhan ibu bapa, penceraian atau kehadiran adik baharu boleh mengganggu emosi kanak-kanak jika perubahan ini tidak diurus dengan baik. Terdapat sesetengah ibu bapa suka melepaskan geram kepada anak-anak atau meninggalkan anak dengan pengasuh serta mengamalkan pilih kasih. Segala kerenah ini menjadi ikutan anaknya. Masalah tersebut akan disalurkan melalui tingkah laku yang tertantu. Dalam hal ini, perasaan kerisauan, perasaan marah atau kecewa yang terpendam akan dibawa ke sekolah. Anak-anak sebegini akan mulai berani menentang ibu bapa dan keluarga sendiri untuk mengurang tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti. Misalnya, perasaan marah terhadap ibu disalurkan kepada guru perempuan atau rakan sebaya di dalam bilik darjah. Mereka mencari jalan keluar secara drastik iaitu memberontak, melawan, kurang ajar, mengambil dadah, hidu gam dan menjadi samseng. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah dalam pelajaran dalam kalangan mereka menyebabkan mereka selalu dihukum dan gagal dalam peperiksaan yang seterusnya menyebabkan mereka tawar hati untuk terus belajar.

Selain itu, kanak-kanak daripada keluarga bertaraf sosioekonomi rendah mungkin tinggal di kawasan yang sesak, rumah yang sempit dan perlu dikongsi bersama-sama adik-beradik yang ramai. Makanan dan peluang penjagaan kesihatan yang diberi oleh ibu bapa juag sangat terhad. Dalam hal ini, mereka berkemungkinan tidak mendapat segala yang dikehendaki seperti rakan-rakan lain di sekolah. Kanak-kanak sebegini mungkin hadir ke sekolah dengan pakaian yang kurang kemas, penggunaan dialek dan juga kurang pengalaman dengan buku-buku atau bahan pembelajaran. Sesetengah guru tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap kanak-kanak ini dan rakan sebaya juga mungkin mengejek mereka tentang kemiskinan keluarganya. Hal ini akan menyebabkan mereka merasakan diri mereka tidak pandai dan mempunyai perasaan rendah diri serta menghadapi kesukaran dalam pergaulan harian.

Tambahan pula, kawasan tempat tinggal murid turut mempunyai kesan ke atas tingkah laku mereka di sekolah. Sekiranya jiran murid terdiri daripada golongan yang telah tercicir daripada sekolah, kanak-kanak ini mungkin akan berpendapat bahawa dia sedang membuang masa di sekolah dan tidak sabar untuk mula bekerja seperti kawan sejirannya. Dorongan untuk keluar dari alam persekolahan bertambah sekiranya murid itu menghadapi kesukaran dalam mengikuti pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Murid tersebut akan lebih yakin terhadap pendapatnya dan mungkin menimbulkan masalah di dalam kelas.

  Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan masalah disiplin remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana ia membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka terhadap sesuatu perkara. Bukan itu sahaja, filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan. Kesannya akan meresap secara halus ke dalam diri mereka tanpa disedari kerana remaja banyak belajar melalui pemerhatian. Dengan itu, tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan media massa memang mendorong masalah ini memuncak dengan drastik.

  Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan masalah disiplin pelajar. Hal ini kerana golongan remaja kini banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Ahli sosiologi telah mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama. Kumpulan rakan sebaya ini memainkan peranan sebagai agensi tidak formal yang memberikan pengalaman yang tidak dapat diperoleh daripada keluarga dan juga di sekolah. Bagi para murid, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan pengganti ibu bapa terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah. Justeru, mereka amat mementingkan rakan-rakan dan juga akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri didorong atas sifat ingin tahu. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan menyebabkan disiplin pelajar itu turut merosot dengan drastiknya. Sudah terang lagi bersuluh, murid perlulah bijak dalam memilih rakan jika tidak ingin terlibat dalam masalah ini.

Terdapat juga faktor masalah disiplin daripada aspek sekolah. Mengikut Waller (1939), asas segala masalah disiplin di sekolah ialah pertentangan pendapat di antara guru dan murid mengenai sesuatu keadaan di sekolah atas sebab mempunyai kemahuan yang berlainan masing-masing. Gragey (1970), Maslow dan Rogers (1962), Boysen (1973) dan Gordon (1974) berpendapat bahawa persekitaran persekolahan yang ketat kawalannya akan meimbulkan keadaan tidak berdisiplin kerana murid-murid akan menentang kawalan ketat ini dengan pelbagai kelakuan buruk seperti tidak menghormati guru, tidak bersopan dan juga menentang guru. Jika guru terlalu garang sehingga murid terlalu takut kepadanya, maka pertentangan terus tidak dibuat tetapi perasaan geram akan disalurkan kepada orang ketiga yang tidak bersalah.

Kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu imej sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan sesetengah murid beranggapan bahawa tindakan mereka yang melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah juga menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin murid. Seterusnya, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan murid turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Hal ini demikian kerana program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Tuntasnya, peranan sekolah memang tidak boleh diabaikan.

Bukan itu sahaja, peranan guru juga amat penting dan boleh menyebabkan berlakunya masalah disiplin murid. Hal ini demikian kerana guru merupakan rol model dan sentiasa diperhatikan oleh muridnya. Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab, tidak dapat mengawal sendiri atau tidak menghormati murid, maka ada kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Dengan itu, guru perlu menunjukkan sikap yang baik dengan cara pertuturan dan bahasa yang baik dan sopan kerana bahasa yang tidak sesuai boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dan menyinggung perasaan murid dan murid juga akan meniru dan mengikut gaya komunikasinya. Seperkara lagi, guru perlu menunjukkan minat dan mengambil berat tentang muridnya. Jika seseorang guru menunjukkan sikap tidak peduli, murid akan merasakan diri mereka tidak penting dan kehadiran mereka tidak bermakna kepada guru tersebut. Murid tersebut mungkin akan menunjukkan sikap disruptif semata-mata untuk mendapatkan perhatian guru.

 Izharnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi pada tahun 2020 dapat dicapaikan.


Pendekatan Menangani Masalah Disiplin

Peranan dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi insan yang baik dan sempurna. Insan yang baik ini diharapkan akan sekaligus menjadi anggota masyarakat dan warganegara yang berguna. Namun, sayang seribu kali sayang. Kajian-kajian tentang masalah disiplin di kalangan pelajar banyak menunjukkan kecondongan anak-anak yang melakukan kesalahan berasal daripada keluarga yang tiada kejelekitan, terlalu membiarkan atau terlalu keras dengan disiplin, kurang penyeliaan dan sebagainya. Oleh itu, keutuhan institusi keluarga begitulah penting dalam usaha menangani gejala sosial lantaran institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita, apakah peranan yang perlu dilaksanakan oleh institusi keluarga dalam menangani masalah yang menjadi duri dalam daging ini?

Peranan yang dianggap dominan ialah golongan ibu bapa wajar mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana ibu bapa bertanggungjawab mengasuh anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Menurut Teori Maslow, salah satu keperluan anak-anak ialah keperluan kasih sayang. Pemberian kasih sayang daripada ibu bapa kepada anak-anak adalah amat penting dalam membentuk kestabilan emosi, personaliti anak, kepuasan hidup dan sebagainya. Kasih sayang yang diberikan oleh kedua-dua ibu dan bapa adalah sama penting. Namun, terdapat sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan atau materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan urusan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Sebagai uswah, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama dengan anak-anak mereka pada hujung minggu. Ibu bapa haruslah sedar bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.

Remaja memerlukan perhatian, penghargaan dan masa daripada ibu bapa. Ibu bapa patut menerima anak mereka sepenuhnya dan bukannya membandingkan dengan anak orang lain. Hal ini demikian kerana kekuatan rasa disayangi boleh menangani masalah disiplin yang dihadapi. Terdapat juga ramai ibu bapa beranggap bahawa anak mereka sudah jelas dengan kasih sayang ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa kurang menyatakan perkataan “I love you” kepada anak-anak walaupun amat sayang akan mereka. Menurut Jayesh Maniar (1998), ibu bapa patut bukan sahaja menunjukkan kasih sayang melalui gerak geri tetapi juga melalui perkataan. Dalam hal ini, tanda pemberian kasih sayang yang berkesan ialah apabila anak itu dapat membalas dan menunjukkan kasih sayang mereka kepada ibu bapa dan seterusnya kepada orang lain, misalnya kepada adik-beradik.  

Dari semasa ke semasa, keperluan kasih sayang anak-anak berubah. Persepsi kasih sayang remaja dan anak kecil adalah berbeza. Misalnya, remaja akan beranggappan bahawa ibu bapanya menyayanginya jika memberinya kebebasan yang lebih luas. Sebaliknya, ibu bapa mempunyai persepsi yang berbeza tentang persepsi kasih sayang. Pada pendapat ibu bapa, kebebasan yang diberi kepada anak mereka mungkin akan mendatangkan mudarat kelak. Pada amnya, remaja akan bersikap ganas dan cuba menentang apa saja yang pada anggapan mereka mengongkong kebebasan. Dalam hal ini, ibu bapa yang menghadapi kerenah anak remaja seperti ini harus bersabar dan meneliti semula kesilapan sendiri. Meskipun pada peringkat awal remaja memang sukar dikawal, tetapi jika kesilapan diperbaiki dengan cara yang sesuai dan lembut, anak-anak akan memahami kasih sayang ibu bapa dan juga menghormati mereka.

Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata!  Lantaran itu, ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral mampu mendorong remaja membezakan antara intan dengan kaca lantas melatih remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum kepada anak-anak mereka adalah tidak betul. Sebenarnya, mereka juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai analoginya, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justifikasinya, didikan agama yang dibekalkan dapat memastikan anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam kancah maksiat atau tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.
Seterusnya, mengurus dan mengawal tingkah laku anak-anak adalah tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa harus selalu mengawal dan menyelia tingkah laku anak mereka dan tidak boleh terlalu manjakan anak. Ibu bapa harus bertegur dengan tegas jika anak melakukan perbuatan yang salah supaya mereka tidak akan mengulangkannya lagi. Misalnya ibu bapa perlu menegur anak jika mereka bertengkar dengan orang tua atau menggunakan bahasa yang biadap semasa pertuturan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu memanjakan anak telah mentafsirkan gelagat biadap seperti ini sebagai ‘cute’ dan hal ini akan membawa tingkah laku yang lagi buruk pada masa depan.

Seperkara lagi, ibu bapa juga harus menyelia program-program televisyen yang ditonton oleh anak supaya mereka tidak dipengaruhi oleh unsur negatif, misalnya menghalang mereka daripada menonton filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan memberi komen-komen yang mengajar mana satu perbuatan yang baik dan mana yang buruk sambil menonton. Dengan cara sedemikian, ibu bapa dapat berkomunikasi dengan anak-anak mereka sambil merapatkan lagi tali perhubungan keluarga.

Sementelahan pula, ibu bapa harus sentiasa bersaing dengan pihak-pihak lain untuk mendapatkan perhatian anak-anak. Cara untuk mendapatkan perhatian termasuklah mewujudkan talian berkomunikasi yang sihat dengan anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa tidak hendak mendengar pendapat atau penjelasan anak-anak semasa berlakunya sesuatu perkara. Lama-kelamaan, anak-anak akan tidak suka berkomunikasi dengan ibu bapa kerana berasa ibu bapa tidak menghormati pendapat mereka. Dengan itu, kehilangan peluang untuk berkomunikasi dalam sesebuah keluarga mendorong anak-anak mencari tempat lain untuk mencurahkan perasaan. Orang yang paling suka didekati mereka adalah teman-teman sebaya yang sanggup memberi sokongan moral dan simpati. Topik-topik yang sering dibincangkan sesama sendiri termasuklah nilai minatnya, seperti fesyen pakaian, gosip, hiburan, seks dan perkara-perkara yang menyeronokkan. Kesan yang buruk termasuklah mereka mungkin berkongsi pendapat dan mengukuhkan nilai-nilai negatif dalam kalangan mereka. Justeru, begitu pentinglah ibu bapa dalam memainkan peranan memastikan talian komunikasi dengan anak-anak berterusan. Ini bererti ibu bapa mendengar apa yang dicakapkan oleh anak-anak, begitu juga anak-anak mendengar apa yang dicakap oleh ibu bapa. Dengan itu, barulah ibu bapa dapat memahami segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka dan cuba membantu mereka dalam menyelesaikan masalah mereka.

            Sebenarnya, peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin mendatangkan banyak kebaikan. Hal ini demikian ibu bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga merupakan orang pertama yang memasuki hidup sosial anak-anak. Mereka mendapat lebih banyak peluang berinteraksi dengan anak-anak berbanding orang lain. Dengan itu, patutlah mereka memainkan peranan dominan dalam mengurus dan mengawal tingkah laku anak-anak. Seterusnya, kebaikan melibatkan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin termasuklah mereka boleh menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapalah yang dapat selalu berteman di sekeliling mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa mereka merupakan cermin kepada anak-anak. Cuba kita bayangkan, dapatkah ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok mendidik anak-anak mereka agar tidak merokok juga? Jelaslah bahawa ibu bapa sendiri yang berkuasa untuk membentuk satu budaya keluarga yang sihat semasa mengasuh anak mereka dan juga berusaha untuk mengelakkan anak-anak terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Mereka dapat membuat keputusan sama ada menjadi diri sebagai teladan atau sebaliknya. Izharnya, cara-cara mengatasi masalah disiplin yang diambil oleh ibu bapa adalah lebih efisien yang konsisten.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan dalam mengatasi masalah disiplin murid jika ibu bapa memberi kebebasan yang melampau dan bersikap yang terlalu lembut kepada anak mereka. Anak-anak yang mempunyai ibu bapa sedemikian akan menjadi terlalu manja dan tidak menghormati orang tua. Akibatnya, mereka tidak dapat hidup berdikari sepenuhnya dan juga sudah tentunya akan memalukan keluarga misalnya mereka sering melakukan kesilapan berulang kali sehingga ibu bapa terpaksa masuk campur dalam urusan mereka. Oleh itu, untuk mengimbangi pertumbuhan anak pada peringkat awal remaja, ibu bapa harus bertindak lembut dengan penuh pengertian dan kasih sayang. Layanan ibu bapa hendaklah sesuai dengan pertumbuhan fizikal mereka. Tindakan yang mungkin memalukan mereka hendaklah dielakkan. Dalam hal ini, ibu bapa patut lebihkan memujuk daripada mengarah. Hal ini kerana remaja lebih suka mendengar pujukan ibu bapa berbanding dengan arahan tegas yang diberi oleh ibu bapa mereka. Sudah terang lagikan bersuluh, ibu bapa perlu menggunakan cara yang betul untuk mengawal dan menjaga keperluan anak-anak supaya mereka tidak berberontak dan dapat merasakan kasih sayang daripada ibu bapa.

Secara holistiknya, gejala sosial yang menjadi api dalam sekam perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana api kecil baik dipadam. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan ampuh bagi memastikan golongan remaja tidak akan dijangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, mereka perlu dibimbing agar menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan dan bukan retorik semata-mata.


 Peranan dan Tanggungjawab Sekolah

Apakah peranan sekolah dalam mengatasi masalah disiplin murid? Sebenarnya, peranan sekolah dalam mengatasi masalah disiplin juga mendatangkan banyak kebaikan.  Hal ini demikian kerana peranan institusi sekolah adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan dalam membentuk mental dan rohani pelajar. Menurut Noran Fauziah (1986), sekolah merupakan sebuah institusi sekunder dalam masyarakat yang mempunyai fungsi formal bagi mensosialisasikan generasi muda supaya mereka dapat mengambil alih peranan generasi tua pada suatu hari nanti.

Dalam menghadapi arus globalisasi dan cabaran alaf baru, pendidikan moral dalam kalangan generasi muda perlu diperhebat bagi memupuk tingkah laku serta budaya hidup yang murni, di samping mewujudkan persekitaran dan suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak yang murni bagi melawan arus budaya kuning yang begitu kuat melanda persekitaran sekarang. Sekolah perlu dapat menyediakan persekitaran fizikal yang kemas dan selesa. Segala kemudahan yang diperlukan oleh murid-murid haruslah mencukupi seperti kerusi meja, guru-guru, buku dan makmal. Ruang untuk bersukan dan rekreasi lain juga harus pada tahap yang memuaskan.

 Di samping mempunyai fungsi mengekalkan kebudayaan, sekolah juga menjadi agen perubahan sosial kerana melalui kemajuan dalam bidang pendidikan banyak teknologi baru yang telah dicipta. Lazimnya ciptaan teknologi baru ini akan membawa kepada perubahan nilai pula. Pendidikan moral juga perlu diajar kepada pelajar bukan Islam, manakala pelajar Islam pula mempelajari moral atau akhlak dalam mata pelajaran agama. Pendidikan moral atau akhlak ini bukan sahaja diberi secara langsung sebagai satu mata pelajaran akademik, tetapi seharusnya juga dilaksanakan secara implisit atau tersembunyi. Bukan itu sahaja, mata pelajaran sivik telah diperkenalkan untuk membantu masyarakat mencapai keharmonian, toleransi dan kefahaman yang mendalam terhadap tanggungjawabnya sebagai warganegara. Dengan itu, masalah disiplin sekolah seperti merosakkan harta awam dan membuang sampah sesuka hati akan dikurangkan dengan adanya kesedaran sivik yang tinggi.

Selain itu, pelaksananan disiplin di sekolah perlulah tegas dan adil. Strategi melaksanakan dan mengawal disiplin perlu bersesuaian dengan pelajar kerana pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang berlainan. Pihak sekolah boleh menubuhkan satu perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Dalam hal ini, guru yang pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar murid yang terlibat dalam masalah disiplin berinsaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan.

Namun, sesetengah murid mungkin kurang terangsang untuk berubah jika memberi kaunseling sahaja. Tanggungjawab menegakkan disiplin tidak terhad kepada guru disiplin atau pengetua sahaja, bahkan memerlukan kerjasama antara semua pihak. Dalam hal ini, semua guru adalah guru disiplin. Bagi kes-kes tertentu seperti tingkah laku antisosial seperti merokok, ponteng sekolah, mencederaan pelajar lain, tidak hormat guru atau melakukan jenayah harus melaksanakan hukuman rotan ke atas pelajar-pelajar. Ini disebabkan murid yang melakukan kesalahan disiplin tidak akan berasa sedih dan menyesal sekiranya tidak dihukum atau dirotan. Mereka mungkin terus mengulangi kesalahan yang sama jika hanya dinasihati dengan nada yang lembut. Dengan itu, hukuman rotan harus dilaksanakan supaya murid lain dapat mengambil iktibar dan teladan apabila melihat rakan mereka dihukum rotan. Pendek kata, kaunseling lebih baik bertindak sebagai pemberi kesedaran manakala hukuman rotan adalah sebagai pengajaran kepada kesalahan yang telah dilakukan oleh murid. Maka, pembentukan seorang pelajar yang berdisplin memerlukan gabungan pendidikan secara lembut iaitu kaunseling dan pendidikan keras iaitu rotan

Sementelahan pula, murid juga digalakkan menyertai kokurikulum yang disediakan oleh sekolah sama ada dalam kegiatan pasukan beruniform, kegiatan persatuan akademik atau pun kegiatan sukan. Hal ini kerana dapat mengelakkan murid daripada menghabiskan masa dengan sia-sia di kompleks beli-belah, panggung wayang atau tercebur dalam masalah disiplin yang dapat merosakkan akhlak. Kebaikannya termasuklah kokurikulum mampu menyemai semangat kekitaan dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama serta mampu membina disipin pelajar yang kukuh. Dengan itu, dibuktilah bahawa kokurikulum baik untuk memulihkan disiplin pelajar yang kian merosok ini. Seperkara lagi, kegiatan persatuan yang dijalankan dapat mengembangkan bakat murid dari segi berpidato, berbahas, berpantun serta kemahiran-kemahiran berucap. Kelab–kelab sukan juga membantu murid meminati sesuatu permainan dan dapat mengembangkan potensi mereka dalam permainan tersebut. Misalnya, Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Tuntasnya, jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum ini sedikit sebanyak dapat membina sikap dan keperibadian murid dan serta mencegah murid-murid daripada terlibat dengan perkara-perkara yang negatif.
Dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar, guru turut memainkan peranan yang amat penting. Hal ini kerana guru boleh dikatakan merupakan orang yang paling rapat dengan murid selain ibu bapa. Murid selalu menghormati dan percaya kepada guru. Dengan itu, seseorang guru mestilah bersikap adil semasa mengendali sesuatu perkara atau masalah disiplin murid dan menyiasat dengan teliti supaya tidak menyalahkan orang yang tidak bersalah dan juga tidak terpedaya dengan tipu helah mereka. Guru perlu diingatkan bahawa hanya guru yang bersikap adil akan dihormati dan dipandang mulia oleh murid-murid.

Tambahan pula, guru haruslah mempunyai perwatakan yang baik. Hal ini demikian kerana guru merupakan rol model dan sentiasa diperhatikan oleh muridnya. Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab, tidak dapat mengawal sendiri atau tidak menghormati murid, maka ada kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Dengan itu, guru perlu menunjukkan sikap yang baik untuk mengatasi masalah disiplin murid. Sebenarnya, seseorang guru perlu mempunyai dua sikap yang bertentangan iaitu tegas dan penyayang sekiranya ingin menjadi seorang pendidik yang baik. Hal ini kerana guru juga harus bertanggungjawab membetulkan kesilapan dan kesalahan murid selain menyampaikan ilmu pengetahuan dan memupuk kemahiran. Dengan itu, seseorang guru harus bertegas dengan peraturan, prinsip dan kepercayaan. Guru yang tegas adalah guru yang cekap dan mengambil tindakan susulan ke atas apa yang disuruh atau diarahkan. Guru juga harus selalu membimbing dan membantu murid yang bersalah dengan menasihati mereka dengan sabar dan penuh kasih sayang. Dengan mempunyai dua sikap ini, barulah seseorang guru dapat menyakini pelajar mereka.


Peranan dan Tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Setiap institusi sekolah tidak dapat dipisahkan dengan PIBG yang dianggap sebagai penghubung pihak sekolah dan masyarakat khususnya kalangan ibu bapa. Penubuhan PIBG adalah untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa untuk berbincang dan merancang program peningkatan serta memperbaiki pencapaian pelajar dalam sekolah. Dalam hal ini, peranan PIBG dalam menyelesaikan masalah disiplin tidak boleh diabaikan. Secara khusus, PIBG juga bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana persekitaran yang baik bagi membolehkan pelajar mencapai perkembangan jasmani, rohani, akhlak dan pemikiran yang seimbang. Dengan itu, bebanan dan tekanan murid dapat dikurangkan selain kadar masalah disiplin diturunkan.

Di samping itu, PIBG juga haruslah mengadakan aktiviti-aktiviti atau program sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik mahupun prasarana sekolah. Selain mendapat permuafakatan dalam melaksanakan program-program sekolah ini, hubungan antara ibu bapa dan guru juga boleh terjalin dengan rapat dan pengawasan mereka terhadap anak-anak mereka akan menjadi lebih berkesan. Ibu bapa juga boleh memahami tindak-tandus anak-anak mereka dalam sekolah. Jadi, pelbagai masalah disiplin sekolah dapat diatasi melalui kerjasama dan perbincangan kedua-dua pihak dan PIBG haruslah bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha memantapkan peranan untuk menyampaikan ilmu, maklumat, kemahiran, pengalaman dan nilai murni kepada pelajar.


3.4       Peranan dan Tanggungjawab Kerajaan

Pihak kerajaan boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah disiplin murid. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam negara kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan boleh menggubal undang-undang. Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan dilaksanakan secara berterusan agar nilai-nilai murni dapat diamalkan oleh golongan remaja. Sebagai contohnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah satu program yang baik kepada remaja di Malaysia. Bagi remaja yang melanggar undang-undang negara, tindakan tegas hendaklah diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung perlakuan negatif tersebut. Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan juga selalu menyokong program sekolah dan juga memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti Kelab Pencegahan Jenayah dan Disiplin untuk melatih dan memberi kesedaran dalam kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya.

            Tuntasnya, peranan dan tanggungjawab kerajaan sangat besar dan tidak boleh dipandang remeh. Semua pihak haruslah bekerjasa untuk mengatasi masalah disiplin murid ini supaya dapat membentuk modal insan yang berguna pada masa depan.
          

  Penutup

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat dan juga sering dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku dalam kalangan murid-murid. Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Namun, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan menggemblengkan tenaga serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, pastilah dapat membentuk modal insan yang berkuailiti dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi wawasan 2020.





4 comments:

  1. 内容丰富,完美,很少遇到会华语却国语也棒棒哒的,真的谢谢你,terima kasih x100000>~<

    ReplyDelete
  2. Ribuan terima kasih. Jarang nampak orange yang faaih dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Cina. 真的很荣幸可以遇到你的作品:)

    ReplyDelete
  3. 内容丰富,完美,很少遇到会华语却国语也棒棒哒的,真的谢谢你,terima kasih x100000>~<

    ReplyDelete
    Replies
    1. 不客气 哈哈 我也是参考很多人的再加加自己的

      Delete