Thursday 24 August 2017

Punca-punca isu stres guru

1.0         Pengenalan
Sepanjang sejarah pembangunan negara, kita berpandukan cita-cita yang murni pada masa-masa yang penting. Bermula dengan era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melangkah ke era Wawasan 2020 (1991-2020) dan seterusnya kita perlulah bersedia untuk menghadapi tempoh 30 tahun akan datang. Sejajar dengan hal tersebut, isu pendidikan telah menjadi topik utama bagi mencapai konsep Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menjadi dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. Namun, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan, pelbagai masalah seperti masalah murid dan bebanan kerja telah muncul dan menjadikan guru semakin stres dan akhirnya membawa implikasi yang buruk kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menurut Mohamad Salleh (1994), stres adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Fontana dan Abouserie (1993) juga menyatakan bahawa stres atau tekanan adalah sesuatu yang lazim terdapat dalam profesion perkhidmatan yang berhubungan dengan manusia. Sejalan dengan hal tersebut, profesion perguruan adalah salah satu tugas yang mempunyai hubungan secara langsung dengan manusia terutama dengan murid-murid.
Di Malaysia, fenomena stres di kalangan guru kini sedang hebat diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam Utusan Malaysia (2006) pula telah menjalankan satu kajian yang berkaitan dengan stres di dalam kalangan 9328 orang kakitangan perguruan di seluruh negara pada tahun 2005.  Hasil kajian itu telah menunjukkan terdapat 69 peratus responden bersetuju bahawa mereka bekerja dalam keadaan stres. Justeru, kita seharusnya mengenal pasti punca-punca masalah dan cara menanganinya supaya generasi kita tidak akan menjadi mangsa kepada isu ini.

2.0         Punca-punca Isu Stres Guru
Dalam era globalisasi ini, tidak dapat dinafikan bahawa pada masa kini terdapat kes-kes yang berkaitan dengan guru sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa. Kebanyakan kes yang berkaitan dengan guru adalah amat serius sehingga terdapat segelintir kes telah menyebabkan kecederaan dan kematian. Kes-kes ini berlaku mungkin disebabkan tekanan emosi yang telah dipendamkan dalam guru tersebut yang agak lama sehingga dia tidak dapat berfikir dengan waras. Akibatnya, tekanan emosi yang serius ini telah menyebabkan guru berkenaan berfikiran tidak mempunyai kesedaran diri dan melakukan perbuatan yang tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya stres dalam kalangan guru?
Pertamanya, inovasi dan perubahan kurikulum dalam pendidikan merupakan penyebab utama yang telah menjadikan bebanan tugas semakin berat sehinggalah menyebabkan isu stres dalam kalangan guru. Pada abad ke 21, negara kita telah menghadapi cabaran baharu kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Untuk mencapai wawasan 2020 dan juga TN50, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah sering membuat penandaarasan dengan kurikulum negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan sentiasa setanding dengan pendidikan global. Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan juga prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) secara berperingkat mulai tahun 2011.
Dalam hal ini, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijalankan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi KSSR telah membebankan guru. Hal ini kerana setiap prosedur dan langkah pentafsiran PBS dilaksanakan sepenuhnya oleh guru dan pihak sekolah yang bermula dari aspek perancangan, pembinaan item, instrumen pentaksiran, bermula dari aspek perancangan, pembinaan item, instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan, perekodan dan pelaporannya. Tugas pelaksanaan PBS yang pelbagai telah menimbulkan suasana yang negatif kepada guru dan mereka merasakan tugas penilaian PBS memerlukan masa pelaksanaan yang lama dan kemahiran yang tinggi untuk dilaksanakan. Bukan itu sahaja, bagi meningkat kemahiran serta maklumat semasa guru, banyak kursus atau program dijalankan bagi membolehkan guru-guru memperolehi kemahiran dan maklumat yang terkini. Sebagai contoh, guru dikehendaki mengikuti pelbagai kursus berkenaan KSSR, PBS, sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (SPPBS) dan sebagainya yang dianjur oleh sekolah, KPM, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mereka dapat melaksanakan KSSR dan PBS di sekolah dengan berkesan.
Sementelahan pula, Kementerian Pendidikan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan matlamat memanfaatkan TMK dalam pengajaran guru. Secara suka atau tidak, para pendidik dan seluruh sistem pendidikan terpaksa berhadapan dengan perubahan ini. Sebagai contoh, terdapat satu platform maya yang dikenali sebagai Persekitaran Pembelajaran Maya-Frog (Frog VLE) telah dikenalkan oleh KPM melalui Projek 1BestariNet pada tahun 2012. Guru-guru dituntut untuk menyokong sistem ini kerana berpendapat ia boleh mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya yang mana ia dapat memberi manfaat kepada guru, murid, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa. Namun, penggunaan Frog VLE ini merupakan satu perkara baru kepada guru dan murid dan Ia memerlukan pemahaman yang lebih teliti serta penguasaan yang jitu. Maka, ia telah membawa tekanan emosi kepada guru.
Kajian Hasliza Hashim, Siti Munira Mohamad Nasri dan Zarina Mustafa yang berjudul “Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru Dalam Pelaksanaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog di Bilik Darjah” telah memaparkan pandangan-pandangan responden dan mereka berpendapat bahawa pembelajaran melalui Frog VLE agak rumit dan hanya membuang masa sedangkan guru sekolah mempunyai beban tugas lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Halangan seperti capaian internet rendah yang memakan masa lalu membantutkan usaha guru untuk menggunakannya lagi menambah tekanan mereka dalam PdP.  Posey, Burgess, Eason dan Jones (2010) juga menyatakan bahawa guru merupakan individu yang mempunyai beban tugas yang berat dan mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan profesion mereka.
Seterusnya, terdapat juga responden yang menyatakan kesukaran untuk guru dan murid dalam mengaplikasi Frog VLE di dalam bilik darjah terutamanya bagi guru yang kurang berkemahiran TMK seperti guru yang masih belum mahir dalam mengakses portal, menyediakan bahan pengajaran, memproses maklumat melalui laman web dan tidak mempunyai kemahiran untuk mengendali serta memanipulasi sesuatu alat. Kemahiran yang rendah akan menyukarkan lagi pengaplikasian terhadap inovasi baharu tersebut. Hal ini kerana guru seharus mengetahui dan memahami setiap fungsi ikon dalam widgets dan tahu mengendalikan dashboard tersebut sehingga dapat mewujudkan laman sendiri serta boleh dikongsi dengan guru lain dan juga murid-murid. Walaupun pihak kerajaan telah memberi latihan dalaman di peringkat sekolah, namun ianya masih belum mencukupi kerana mereka tidak ilmu pengetahuan yang berkaitan dan mereka terpaksa belajarnya dari mula ke akhir. Akibatnya, mereka terpaksa menggunakan masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri mereka dengan meneroka pendekatan baharu ini. Berdasarkan contoh-contoh yang dibincang tadi, jelaslah bahawa perubahan demi perubahan yang dilaksanakan telah menyebabkan stres dalam kalangan guru-guru secara tidak langsung.
Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform serta menjadi penasihat persatuan, kelab dan sukan. Hal ini membebankan guru lagi semasa guru terpaksa mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari. Walau bagaimanapun kesemua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa ataupun tuntutan wang. Lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi tidak dapat diganti pada masa depan dan guru terpaksa mengorbankan masa rehatnya. Jelaslah bahawa isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka.
Selain itu, Fadzil (2005) telah menyatakan bahawa salah laku pelajar yang berlaku seperti ponteng kelas, bising, bertindak biadap terhadap guru, melanggar peraturan sekolah, bergaduh, tidak menyerahkan kerja sekolah dan sebagainya merupakan satu punca yang menyebabkan stres dalam kalangan guru. Yahaya et al. (2010) juga menjelaskan faktor salah laku atau disiplin pelajar adalah satu punca stres kerja dalam kalangan guru. Hal ini kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai salah laku dan kerenah murid yang berasal daripada pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi serta peringkat umur. Beban kerja telah ditingkatkan secara ketara kerana beban mereka bukan sahaja terhad kepada mengajar, mendidik dan membimbing, malah mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengawal keseimbangan moral murid-murid. Bagi guru yang tidak mampu mengendali masalah-masalah ini, pastilah kestabilan emosi guru dan kualiti PdP akan dijejaskan. Justeru, jelaslah bahawa faktor sikap dan disliplin murid telah menyumbang kepada stres guru.
KPM dalam Laporan Utusan Malaysia pada (2014) telah menyatakan bahawa terdapat sebanyak 13359 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah terlibat dalam salah laku disiplin berat atau aktiviti yang berunsur jenayah bagi tempoh Januari hingga Jun 2014. Seterusnya, Utusan Malaysia (2017) juga memaparkan bahawa terdapat sebanyak 402 buah sekolah menengah dan rendah sedang dalam pemerhatian Kementerian Pendidikan berikutan isu disiplin murid. Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah itu sebanyak 311 buah sekolah merupakan sekolah yang mempunyai masalah disiplin.Sementara sebanyak 91 buah sekolah lagi dikategorikan sebagai sekolah tumpuan (hot spot) iaitu sekolah-sekolah yang cenderung mempunyai masalah disiplin.Menurut beliau, satu jawatankuasa yang dianggotai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pertubuhan bukan kerajaan telah diwujudkan bagi melaksanakan program tertentu untuk memastikan isu tersebut tidak menjadi lebih teruk. Akibat kerenah murid, guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk mengajar dan mungkin burnout bagi situasi yang lebih serius.
Sesungguhnya, setiap sekolah akan mengalami masalah salah laku murid yang berbeza. Sebagai contoh, salah laku murid orang asli di semenanjung Malaysia dan juga di pedalaman Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada tidak hadir ke sekolah. Kebanyakan daripada mereka tidak ada motivasi untuk belajar, tidak mendapat sokongan ibu bapa malah terpaksa membantu ibu bapa mengutip hasil pertanian di hutan atas desakan hidup. Justeru, sebagai seorang guru yang prihatin, beliau dikehendaki sentiasa mengambil inisiatif untuk melawat murid-murid tersebut malahan terpaksa menempuh hutan tebal atau menyusuri sungai bagi memujuk murid-murid agar kembali ke sekolah.
Bagi murid di SMK pula, salah laku yang biasa dilihat termasuklah sikap biadap atau tidak menghormati dan menghargai guru ketika guru sedang mengajar seperti membuat bising, memanjat pagar untuk lari dari sekolah, berbual-bual, tidak membuat latihan yang diberikan selain keluar kelas tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar. Tindakan murid yang sebeginilah telah menyebabkan prestasi pencapaiannya merosot dan juga memberi suatu tekanan kepada guru-guru di sekolah. Dalam hal ini, tekanan emosi guru-guru ditambah lagi semasa dipertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian bagi membendung salah laku murid. Walau bagaimanapun, situasi ini menjadi lebih teruk dan sukar dikawal atas desakan ibu bapa yang menolak sebarang hukuman dikena atas anak-anak mereka. Dengan contoh-contoh yang dinyatakan tadi, jelaslah bahawa tekanan guru semakin bertambah akibat salah laku murid-murid.
Seterusnya, kajian Laughlin (1984) telah mendapati bahawa tekanan masa dan kekangan sumber merupakan penyumbang utama kepada tekanan kerja guru. Ages (2011) juga telah menyatakan bahawa kekangan masa telah menjadi penyumbang kepada belakunya tekanan emosi dalam kalangan guru. Dalam hal ini, kekangan masa ditakrifkan sebagai masa yang tidak mencukupi untuk berehat dan menjalankan tugas berkaitan PdP seperti tidak masa yang cukup untuk menghabiskan sukatan murid, membuat persediaan mengajar, memberi tumpuan kepada murid secara individu dan menanda buku. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang-kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini dan hal ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.
Bagi faktor kekangan sumber pula, kekurangan sumber seperti kekurangan kemudahan elektrik dan air bersih, peralatan, bilik darjah, makmal komputer, bengkel, bilik muzik, perpustakaan, kemudahan PdP dan perisiannya telah menyusahkan guru dan telah mengundang implikasi yang buruk kepada mutu dan kualiti pengajaran guru. Dalam hal ini, persekitaran kerja yang tidak kondusif seperti ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas yang terlalu panas dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada guru. Dalam hal ini, KPM (2011) telah menjalankan Kajian Semula Pelan Pembangunan Pendidikan ke atas 10,000 sekolah di Malaysia dan mendapatkan hasil kajian yang tidak begitu positif. Hasil kajian telah memaparkan bahawa terdapat 2000 buah sekolah tidak mempunyai makmal sains, 2700 buah tidak mempunyai makmal komputer, 1500 buah tidak mendapat air bersih dan 300 buah tiada bekalan elektrik 24 jam.
Sejajar dengan itu, kemudahan-kemudahan sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan muridnya terutamanya sekolah di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin stres. Hal ini demikian kerana kekurangan sumber dalam sesuatu sekolah menyebabkan murid dikehendaki mengilir-gilir untuk menggunakan peralatan-peralatan dan akhirnya menjadikan sukatan pelajaran ditundahkan. Tambahan pula, murid juga akan sukar memahami dan belajar sesuatu teori dalam mata pelajaran sekiranya alat bahan mengajar atau perisian yang diperlukan tidak mencukupi. Sebagai contoh, murid tidak dapat mempraktikkan kemahiran kerja tangan mereka kerana tiada bengkel kemahiran hidup di sekolah. Dengan itu, mereka terpaksa mempelajari sesuatu kemahiran bergantung kepada teori semata-mata.
Selain itu, menurut laporan KPM (2005), terdapat 5,077 (66.8%) buah sekolah rendah dan 792 (39.0%) buah sekolah menengah di luar bandar. Sekolah rendah dan menengah khususnya di luar Bandar masih kekurangan infrastruktur serta kemudahan pendidikan. Terdapat 5,951 (78.3%) sekolah rendah dan 870 (42.9%) sekolah menengah berusia melebihi 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan tinggi. Di kalangan sekolah tersebut, terdapat sebanyak 1,639 buah sekolah rendah tidak mempunyai bilik sains dan 42 buah sekolah masih menumpang di sekolah lain. Bagi sekolah menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal komputer, 25 buah tidak mempunyai makmal sains dan 26 buah masih menumpang di sekolah lain. Data-data ini merupakan bukti yang nyata dengan menunjukkan statistik-statistik kekurangan sumber sekolah di Malaysia.
Tambahan pula, gaya kepimpinan guru besar mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap sekolah dalam pelbagai perkara antaranya termasuklah komitmen guru (Sabariah Sharif, Juninah Dullah, Khaziyati Osman dan Salina Sulaiman, 2010) dan juga tekanan kerja guru (Najeemah Mohamad Yusof, 2011). Dalam hal ini, setiap guru besar mempunyai gaya kepimpinan sendiri seperti kepimpinan autokratik, demokratik, Laissez-Faize. Setiap gaya ini mempunyai kelebihan dan kelemahan dan ada kalanya gaya-gaya ini perlu digunakan bersama sekali dalam sesuatu organisasi supaya matlamat sekolah dapat dicapai malah tidak mengabaikan kebajikan guru. Walau bagaimanapun, terdapat juga guru besar yang bertingkah laku keterlaluan dalam mengamalkan kepimpinan autokratik. Guru besar sebegini cenderung untuk mengawal semua kuasa yang diberikan kepadanya, banyak memberi arahan tanpa menghiraukan ketidakpuasan guru-guru bawahannya dan juga membuat keputusan secara diri sendiri tanpa mengadakan perbincangan atau mesyuarat bersama semua guru. Hal ini telah menambahkan beban tugas guru kerana guru terpaksa menerima dan menyesuaikan diri serta tidak dapat menyuarakan pandangan dan bantahannya.
Sehubungan dengan itu, tingkah laku kepimpinan guru besar juga menjejaskan tahap tekanan emosi guru. Menurut Blake dan Mouton (1964), teori tingkah laku yang berdasarkan Grid Pengurusan telah melihatkan gaya kepimpinan guru besar dari dua dimensi iaitu dimensi berstruktur dan dimensi timbang rasa. Sesuatu kepimpinan boleh dikatakan berjaya atau tidak bolehlah dilihat dari gaya atau orientasi kepimpinan mereka iaitu adakah guru besar itu memimpin secara bertimbang rasa atau mementingkan tugas yang berstruktur. Bagi pemimpin yang bertimbang rasa, mereka akan mempunyai hubungan mesra dengan kakitangan, yakin dengan kebolehan pekerja, menghormati idea, mendengar pandangan dan memberi perhatian terhadap perasaan pekerja. Namun, bukan semua sekolah mempunyai seorang guru besar yang bertimbang rasa, terdapat kebanyakan guru besar telah mengamalkan gaya kepeminpinan yang mementingkan tugas yang berstruktur. Mereka terlalu menekankan tugasan sehingga mengabaikan hubungan mesra dan perasaan guru-guru. Kajian Norhannan & Jamaliah (2006), Tinah (2007) dan Shahrin (2009) juga mendapati bahawa guru besar lebih cenderung mengamalkan gaya kepemimpinan dimensi menstruktur tugas berbanding dimensi timbang rasa.
Bukan itu sahaja, kajian Lunenberg & Ornstein (2000) juga mendapati bahawa tingkah laku kepimpinan yang dipraktikan oleh pemimpin sekolah mempunyai pengaruh yang besar terhadap kepuasan kerja seseorang guru. Sebagai pemimpin, guru besar tidak lepas dari berinteraksi dan bergaul mesra dengan staf bawahannya secara positif. Kenyataan ini disokong Shahrin dan Nordin (2008) dengan menyatakan bahawa guru besar seharusnya memberi perhatian kepada guru dengan membentuk suasana tempat kerja yang kondusif untuk melahirkan sekolah yang cemerlang. Hal ini kerana mereka mendapati faktor pengurusan dan kepimpinan guru besar sekolah sangat mempengaruh aspek kepuasan dan keselesaan guru. Sekiranya guru besar sekolah kurang mengambil kira kecenderungan atau faktor ketidakpuasan hati guru, maka prestasi pencapaian guru akan dikurangkan dan tekanan emosi juga akan ditingkatkan.  Dengan itu, jelaslah bahawa gaya kepimpinan merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah sekolah kerana tingkah laku kepimpinan guru besar yang efektif dapat mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi oleh guru-guru dalam memastikan kejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah.
Selain itu, mengikut Troman (2000), Center dan Steventon (2001), kekurangannya keyakinan dan kepercayaan ibu bapa murid terhadap guru, harapan yang tinggi daripada ibu bapa murid dan masalah berurusan dengan mereka merupakan satu cabaran yang harus ditempuh oleh guru. Dalam hal ini, ibu bapa murid selalunya meletakkan harapan yang tinggi pada guru-guru bagi memastikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka. Namun, adakalanya harapan ibu bapa terhadap anak mereka adalah tidak realistik hingga menyebabkan guru-guru berada dalam keadaan stres. Sebagai analogi, terdapat ibu bapa menegur guru kelas kerana berpendapat guru tersebut tidak berusaha secara bersungguh-sungguh dalam meningkatkan prestasi pencapaiannya tetapi hakikat yang sebenarnya adalah anak ibu bapa itu tidak menghormati guru dan suka ponteng sekolah.
Sementelahan pula, punca-punca peribadi juga merupakan salah satu faktor guru mengalami tekanan emosi. Keadaan kesihatan guru terjejas ataupun berlakunya kemalangan dan kematian dalam kalangan ahli keluarga akan menyebabkan guru tersebut mengalami tekanan emosi yang serius. Sebagai contohnya, seseorang guru akan mengalami stres dan tidak dapat mengekalkan kualiti PdP sekiranya beliau bercerai dengan suami ataupun anaknya baru dimasuki hospital. Tambahan pula, kebanyakan masyarakat akan terus menegur guru tersebut dengan tegas sekali sekiranya beliau membuat salah tanpa mempedulikan masalah atau trauma yang dihadapinya. Mereka kurang mengambil berat terhadap guru kerana kebanyakan daripada mereka menganggap guru seorang manusia yang tidak boleh membuat apa-apa kesalahan. Mereka berpendapat bahawa guru seharusnya pakar dalam mengendali masalah peribadi dan tidak harus mempunyai emosi yang tidak diingini. Malangnya, mereka telah lupa bahawa guru juga seorang manusia yang biasa seperti orang lain.
Kesimpulannya, profesion keguruan tidak seperti kebanyakan kerjaya lain kerana tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka telah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkau waktu kerja. Walaupun begitu, penyelesaian yang wajar harus dicari bagi meringankan beban ini kerana jika stres atau tekanan berpanjangan di dalam hidup seseorang guru, ia akan menyebabkan penyakit-penyakit tertentu yang akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid kita. 




3.0         Langkah-langkah Mengatasi Isu Stres Guru
Berdasarkan punca-punca yang telah dikenal pasti tadi, banyak usaha dan rancangan untuk mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi tekanan emosi guru sekolah agar isu ini tidak akan berterusan dan menjadi semakin serius. Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk sehingga guru tidak suka akan kerja mereka dan secara tidak langsung ia mampu membawa kesan buruk yang akan menjejaskan imej keguruan. Maka, pihak yang berkenaan haruslah bekerjasama dan mengambil berat terhadap isu-isu guru mengalami tekanan emosi akibat bebanan kerja. Dengan itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk menangani isu stres guru.
Pertamanya, kekuatan kepimpinan dalam pengurusan sekolah amat penting dalam menangani isu beban tugas ini. Dalam hal ini, guru besar yang mengamalkan konsep kepemimpinan berkarisma sering dapat meningkatkan prestasi pencapaian dan imej sekolah di masyarakat. Hal ini demikian kerana pemimpin yang berkarisma tidak hanya berorientasikan pencapaian, malah juga bertenaga, penglibatan diri yang tinggi, bertimbang rasa dan sensitif (House dan Howell, 1992). Menurut Weber (1947) pula, pemimpin berkarisma mempamerkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah atau mengharungi sesuatu krisis dengan berjaya. Apabila hal ini berlaku, pengikut-pengikutnya akan mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadapnya. Tambahan pula, sikap keterbukaan pentadbir juga dapat mewujudkan komunikasi berkesan antara guru dengan pihak pentadbir. Kesanggupan guru besar untuk menerima teguran yang membina, bersedia mendengar dan menerima pendapat serta mudah diajak berbincang dapat menyukakan hati para guru. Dengan itu, tekanan guru akan dikurangkan kerana mereka boleh meluahkan perasaan, emosi dan pendapat kepada pihak atasasn tanpa rasa ketakutan atau kebimbangan.
Selain itu, pemberian sokongan yang maksimum daripada pentadbir juga merupakan salah satu langkah yang berkesan. Menurut kajian terhadap guru-guru di sekolah rendah swasta yang dilaksanakan oleh Weidner pada 2002, beliau telah mendapat maklum balas bahawa guru-guru yang mendapat sokongan daripada pihak pentadbir didapati kurang berasa stres dalam melaksanakan tugasnya. Hal ini demikian kerana guru akan merasa dilindungi, dihargai, dimotivasi dan bukanlah beliau sahaja seorang yang menghadapi masalah. Beliau akan berasa lega kerana terdapat sepasukan guru berganding bahu bersamanya dalam menghadapi masalah-masalah. Bukan itu sahaja, sokongan fizikal yang boleh diberi oleh pentadbir bersama pihak kerajaan termasuklah menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif bagi guru. Kemudahan asas sekolah juga perlu dilengkapkan dan program pemprosesan data dapat diringkaskan serta penambahbaikan dilaksanakan ke atas semua sistem TMK agar urusan data guru atau murid dapat dilaksanakan secara berpusat. Seterusnya, pihak sekolah juga boleh mengaplikasi amalan perkongsian kemudahan dan infrastruktur dengan sekolah lain dalam komuniti setempat misalnya padang, gelanggang ataupun perisian dan makmal komputer. Dengan itu, kekangan sumber yang dinyata tadi boleh diatasi dengan cara perkongsian sumber antara sekolah.
Di samping itu, pentadbir yang menunjukkan rasa hormat dan sentiasa menghargai orang bawahannya sememangnya disenangi semua guru. Dalam hal ini, ganjaran yang setimpal perlu ditawarkan kepada guru-guru agar mereka merasa kerja dan usaha mereka dihargai. Peluang kenaikan pangkat yang lebih banyak dan terbuka kepada semua guru tanpa mengira pengalaman mengajar harus diwujudkan. Terdapat banyak anugerah perkhidmatan seperti Anugerah Guru Gemerlang telah dilaksanakan namun tidak semua guru diberi peluang untuk merasai anugerah tersebut akibat sifat pengetua dan guru besar yang terlalu memiih kasih dan menetapkan sasaran yang terlalu tinggi untuk guru-guru akademik. Pengharagaan seperti ini amat perlu diwujudkan di setiap sekolah agar guru-guru merasai diri mereka dihargai oleh pihak pentadbir dan masyarakat.
Dalam hal ini, teori kepemimpinan yang disaran kepada pentadbir di sekolah termasuklah teori Kepimpinan Transformasi yang dipelopori oleh Burns pada tahun 1978 untuk menggambarkan satu situasi yang ideal antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut beliau, pemimpin transformasi bijak menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk memujuk pengikutnya supaya membawa perubahan dalam organisasi. Teori ini dicadang untuk diamalkan di sekolah supaya guru besar menjadi seorang yang mampu menginspirasikan dan memberikan pertimbangan secara individu, beroperasi berasaskan nilai dan seterusnya mempengaruh guru-guru beranjak ke aras motivasi dan komitmen yang lebih tinggi. Mengikut Bass (1985) pula, beliau menyatakan bahawa kepemimpinan transaksi biasa diamalkan kerana pengikutnya akan mendapat ganjaran sebagai satu penukaran barter kepada tugas yang dilaksanakan. Dengan itu, guru-guru akan dimotivasikan untuk mencapai matlamat organisasi. Selepas meneruskan kerja-kerja ilmiah Burns, Bass (1997) telah menyatakan bahawa gaya kepemimpinan terbaik melibatkan transaksi dan transformasi supaya pengikutnya boleh mendapat situasi menang-menang.
Seperkara lagi, Sergiovanni (1992) telah mendefinisikan kepemimpinan moral sebagai suatu bentuk bimbingan yang memotivasikan orang lain melalui prinsip-prinsip dan pegangan nilai yang terpuji. Pentadbir sebegini tidak mementingkan diri dan selalu bertindak demi kebaikan sejagat. Sekiranya pentadbir sekolah boleh mengamalkan gaya kepemimpinan ini, maka bebanan dan stres guru-guru akan dikurangkan memandangkan pentadbir sekolah telah melindungi hak, nilai sosial dan juga memperoleh kepercayaan para guru. Dengan itu, jelaslah bahawa sikap keterbukaan pihak pentadbir, sokongan yang maksimum dan juga penghargaan kepada guru akan mendorong guru bekerja semakin bersungguh-sungguh dan mereka juga akan menganggap stres sebagai tenaga serta kekuatan untuk mencapai kecemerlangan sekolah.
Seterusnya, pihak pengurusan sekolah juga harus memainkan peranannya dengan cekap iaitu prihatin dan selalu bersikap adil dalam pengagihan tugas. Dari sudut prihatin, pihak sekolah sememangnya perlu sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi dan seterusnya bekerjasama dengan kaunselor agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, di samping mendapatkan jalan penyelesaian alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan. Dari sudut keadilan pula, pengagihan tugas yang sama rata dan jelas oleh pihak pentadbir amat penting bagi menggalakkan kesamaran tugas. Sebagai contoh, pihak sekolah harus merancangkan waktu jadual para guru dengan berpandukan kekosongan jawatan di sekolah dan juga kemampuan akaunbiliti guru masing-masing.
Sementelahan pula, pihak kerajaan dan sekolah seharusnya memainkan peranan dominan dengan mengadakan pelbagai bengkel atau kursus untuk membantu guru dalam menangani masalah atau menyelesaikan masalah. Dalam hal ini, jenis program atau kursus boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu salah satu untuk membantu guru menangani emosi atau pengurusan diri dan satu lagi untuk membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan abad ke-21. Bagi jenis bengkel pertama, ia amat diperlukan dan amat penting untuk semua guru kerana guru merupakan harta negara kita. Pendidikan menjamin terbentuknya modal insan dan juga kewibawaan negara masa depan. Sekiranya pihak kerajaan tidak mempedulikan tekanan gangguan emosi guru dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya, mestinya kualiti pengajaran dan pembelajaran akan terjejas dan generasi kita juga terpaksa memikul implikasinya.
Menurut Gold dan Roth (1993), program-program ini secara umumnya bertujuan untuk mengelakkan kemunculan situasi bekerja yang stres atau mengurangkan kekerapan masalah ini berlaku, meningkatkan kesedaran guru-guru terhadap masalah-masalah stres kerja dan merawat atau memulihkan individu-individu yang telah mengalami stres kerja. Dalam hal ini, KPM, JPN dan PPD haruslah menganjurkan seminar, bengkel atau kursus yang berkaitan dengan stres kerja dan cara-cara mengatasi atau mencegahinya. Pihak sekolah juga harus melibatkan diri secara aktif dalam rancangan-rancangan sebegini dengan memberi kerjasama yang maksimum supaya program yang dirancang dapat diimplementasi dengan lancar dan berkesan. Pakar-pakar dalam bidang ini perlu dijemput untuk merunding supaya segala strategi dan usaha yang dilaksanakan berkesan dan dapat memanfaatkan guru-guru. Sebagai contohnya, seseorang guru dapat memahami kekuatan dan kelemahan dirinya, mempunyai fikiran yang serta bersiap sedia dan bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang masalah dan perubahan selepas menyertai bengkel pengurusan diri dan bengkel kerjaya.
Sehubungan dengan itu, terdapat juga program atau bengkel yang bertujuan membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan abad ke-21. Dalam hal ini, kerajaan boleh mengadakan pelbagai program yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan guru serta memperkenalkan strategi atau pendekatan baharu penyelesaian masalah supaya guru boleh menyesuaikan diri dalam sebarang perubahan sistem pendidikan. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa yang lebih kuat daripada pihak lain dan juga mempunyai kuasa autokratik dalam membuat sebarang polisi atau perubahan. Dengan itu, pihak kerajaan boleh mewajibkan semua guru sekolah untuk menghadiri program atau bengkel-bengkel yang diadakan supaya mereka dapat dimanfaatkan daripadanya.
Sekadar mengambil contoh, Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan tahun 2017 telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah pada 5 Februari 2017. Menurut Mahdzir, program ini diharapkan dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.  Selain itu, terdapat juga banyak kursus yang diadakan antaranya termasuklah Kursus Frog VLE, Bengkel Pelaksanaan Sistem Pengurusan Inisiatif Sekolah ICTS dan sebagainya.


Sementelahan pula, guru seharusnya mempunyai minat, ikhlas dan mempunyai harapan untuk memajukan diri. Hal ini kerana professional perguruan bukanlah sesuatu kerjaya perkhidmatan awam yang mudah, waktu kerja mereka bukanlah tetap dan kadang-kala memerlukan pergorbanan masa dan wang diri sendiri untuk kebaikan murid. Sekiranya seorang guru tiada amanah dan jiwa yang berkobar-kobar untuk berkorban untuk murid, pastinya beliau mudah putus asa dan mengalami fenomena burnout. Sebaliknya, jika guru tersebut mempunyai niat untuk memajukan diri sendiri, barulah beliau akan berusaha mencari dan menghadiri bengkel-bengkel yang dirasanya sesuai dengan diri sendiri dan bukan dalam bentuk paksaan. Sebagai contohnya, guru boleh menghadiri kursus yang berkaitan dengan kemahiran pengurusan masa dan kemahiran berkomunikasi seandainya ingin mengatasi kelemahannya. Dengan itu, jelaslah bahawa minat dan sikap semula jadi seseorang amat penting dalam menghadapi tekanan yang diundang daripada kerjaya.
Seterusnya, guru juga harus selalu melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dengan rakan sekerja. Hal ini kerana masalah yang dihadapi boleh dibincangkan bersama dan sikap-sikap positif seseorang juga boleh mempengaruhi rakan sekerjanya yang pasif.  Menurut Lieberman (1986), guru boleh berkembang secara professional melalui kolaborasi kerana keupayaan untuk berkolaborasi akan menggandakan keberkesanan terhadap sesuatu yang diusahakan. Kaedah kolaborasi ini juga telah membawa banyak manfaat kepada ahli kumpulan antaranya termasuklah boleh membina hubungan interaksi sosial yang lebih baik, membina sikap sentiasa menghargai orang lain, membantu untuk mengikis sikap negatif seperti sombong, bongkak, ego dan membenarkan komunikasi terbuka serta memanfaatkan aktiviti perkongsian maklumat. Dalam hal ini, terdapat banyak jenis kolaboratif dan salah satu adalah pengajaran berpasukan. Menurut Davis (1984), pengajaran berpasukan merujuk kepada kaedah pengajaran yang dijalankan oleh sekumpulan guru yang pakar atau mahir dalam pelbagai bidang dengan membentuk sebuah pasukan pengajaran. Mereka akan bersama-sama merancang untuk melaksanakan dan menilai semua aktiviti pengajaran dari mula hingga akhir. Mereka juga dikehendaki membincang, membuat refleksi dan mencuba pendekatan pengajaran yang lebih baik seperti apa yang dilakukan oleh murid kita.
Tambahan pula, terdapat juga jenis kolaborasi yang terdiri daripada pelbagai guru yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Mereka boleh mengongsikan pedagogi, pendekatan, bahan dan sumber PdP antara satu sama lain. Mereka juga boleh membincangkan masalah yang dibawa daripada inovasi dan perubahan-perubahan kurikulum serta minta tunjuk ajar daripada guru cekap atau guru pakar. Sebagai contoh, terdapat guru yang masih tidak mahir mengguna Frog VLE walaupun telah menghadiri bengkel berkenaan. Beliau boleh melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dan akhirnya cara-cara mengatasi masalah ini mungkin timbul daripada perbincangan dan pertukaran idea sesama rakan sekerja. Justeru, jelaslah bahawa tekanan guru dapat dikurangkan dengan melibatkan diri dalam aktiviti kolaboratif.
Sehubungan dengan itu, guru juga patut mengekalkan cara hidup yang sihat dengan bersenam, menjaga soal pemakanan dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan masa dengan keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok, minum arak, berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat. Badan yang cergas akan membentuk otak yang cerdas. Segala tekanan dapat dilepaskan apabila kita bersenam atau beriadah. Hal ini kerana beriadah dapat mengurangkan stres seseorang dengan mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Sebagai contohnya, guru boleh menyertai kelas aerobik dalam masa lapangan kerana aktiviti ini mampu menenangkan fikiran kita dan menghilangkan stres seperti aktiviti yoga yang telah menjadi aktiviti kegemaran orang ramai.
 Seperkara lagi, bersenam merupakan ubat semula jadi untuk mengurangkan kegelisahan dan juga mengubati penyakit kesukaran untuk tidur. Seandainya seorang guru boleh tidur dengan lenyuk dan mempunyai masa tidur yang mencukupi, mestilah emosinya menjadi lebih tenang dan air mukanya juga akan dipenuhi dengan perasaan gembira setiap hari. Dengan itu, guru tersebut akan menjadi lebih yakin dan bersifat terbuka semasa menghadapi masalah. Sehubungan dengan itu, kita perlulah memastikan makanan yang kita ambil seharian mempunyai zat yang berguna kepada kestabilan kesihatan mental dan fizikal kita. Hal ini kerana pengambilan atau amalan makan makanan yang berlebihan dan tidak teratur akan mengakibatkan kita mengalami berat badan atau obesiti, kandungan kolestrol yang terlalu tinggi yang mana punca kepada beberapa penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Bebanan kerja dan masalah kesihatan akan membuatkan seseorang itu mengalami simptom stres dan kemurungan. Justeru, langkah yang berkesan untuk mengelakkan terjadi masalah ini adalah mendapatkan nasihat daripada pakar–pakar pemakanan yang diiktiraf.
Akhirnya, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah stres. Hal ini demikian kerana agama dapat memberi sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres dengan baik dengan meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan agama. Keyakinan diri yang tinggi pula dapat mengelakkan diri terpengaruh dengan hasutan-hasutan daripada pihak yang berfikir negatif seperti rakan–rakan sejawat kita atau ibu bapa murid yang berkemungkinan tidak berapa menyukai kita atau cemburu dengan kejayaan kita. Serentak dengan itu, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan juga dapat dipertingkatkan dan beliau akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam kehidupan. Dengan itu, para guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian kerana ia dapat memberikan perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan.




4.0         Kesimpulan
Tuntasnya, tekanan emosi guru semakin serius dan banyak isu telah muncul di sekolah disebabkan globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Sekiranya stres ini tidak dibendung dan dihadapi dengan waras, implikasi yang buruk akan menyerang diri dan mendatangkan keburukan kepada diri, keluarga, masyarakat lebih-lebih lagi murid kita yang terpaksa menanggung akibatnya. Maka isu stres guru perlu diberi perhatian dan langkah awal perlu diambil oleh semua pihak seperti masyarakat, pihak sekolah, JPN dan KPM sebelum ia merebak dan menjadi sinonim dengan profesion keguruan. Permuafakatan semua pihak ini mesti dapat implikasi yang positif dan membantu pemecutan kemajuan bidang pendidikan negara.



Bibliografi
Abdul Ghoni Ahmad. (2017, Mac). Jom Ke Sekolah. Pendidik, 109, 16-18.
Ages, V. D. (2011). Teacher perceptions on stress and retention. Walden
            University.
Bapa: ‘Cikgu boleh sepak kepala’, kata guru selepas tampar murid. (2016, April
             14). MalayMail Online Dicapai dari
             http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/cikgu-
             boleh-sepak-kepala-selepas-tampar-murid-dakwa-bapa
Bass, R. (1995). Leadership and Performance Beyond Expectation. New York, NY:
            Free Press.
Blake, R. R. & Mouton, J. S. (1964). The Managerial Grid: The Key to Leadership
            Excellence
. Houston: Gulf Publishing Company.
Burn, J. M. (1978). Leadership. New York, NY:  Harper Row.
Center, D.  B. & Steventon, C. (2001). The EBD Teacher Stressors Questionnaire.
             Education & Treatment of Children, 24(3), 323.
Davis, R. B. (1984). Learning mathematics: the cognitive science approach to
             mathematics education.
New Jersey: Ablex Publishing Corporation.
Fontana, D. & Abouserie, R. (1993). Stres levels, gender and personality factors
             in teachers. British Journal Education Psychology, 63, 261-270.
Gold, Y. & Roth, R. A. (1993). Teachers Managing Stress and Preventing
             Burnout - The Professional Health Solution
. London: The Falmer Press.
Hasliza Hashim, Siti Munira Mohamad Nasri & Zarina Mustafa. (2016). Cabaran
            Yang Dihadapi Oleh Guru Dalam Pelaksanaan Persekitaran
             Pembelajaran Maya Frog Di Bilik Darjah. Asia Pacific Journal of
             Educators and
Education, 31, 115–129.
House, R. J. & Howell, J. H. (1977). Personality and Charismatic Leadership.
            Leadership Quarterly, 3(2), 81-108.
Ibrahim Ahmad Bajunid. (1995). Amalan dan Cabaran Pengurusan Pendidikan Di
            Malysia: Satu Tinjauan Kritikal. Jurnal Pengurusan Pendidikan, 5(1), 1-13.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Laporan awal pelan pembangunan
             pendidikan Malaysia (2013-2025).
Putrajaya: Penerbitan KPM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan
             Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepasan
             Menengah).
Kuala Lumpur: KPM.
Laughlin, A. (1984). Teacher Stress in an Australian Setting: The Role of Kementerian Pelajaran Malaysia. (2013). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
             2006-2010.
Dicapai dari 
            Biographical Mediators. Educational Studies, 10 (10), 7-22.
Lieberman, M. A. (1986). Social supports--the consequences of psychologizing: A
            commentary. Journal of Consulting and Clinical Psychology, 54, 461-465.
Lunenburg, F. C. & Ornstein, A. C. (2000). Educational Administration Concepts
             and Practice (
3rd ed.).  Belmont, CA: Wadsworth Thomson Learning.
Mohamad Fadzil Abu Bakar. (2005). Tekanan Guru Dalam Pendidikan Dan
             Resolusi Penyelesaiannya. Seminar Pendidikan 2005. Fakulti
             Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia.
 Mohamad Hussairy Sidek. (2006, March 29). Ramai Guru Berpenyakit Akibat
              Stres.              Utusan               Malaysia.             Dicapai                   dari

Mohamad Salleh Lebar. (1994). Asas Psikologi Perkembangan. Kuala Lumpur:
               Utusan Publication & Distributors.
Muzdalifah Mustapha. (2017, Jun 21). 402 Sekolah Dalam Pemerhatian.
              Utusan Malaysia. Dicapai dari
              http://www.utusan.com.my/berita/nasional/402-sekolah-dalam
              pemerhatian-1.495732
Najeemah Mohamad Yusof. (2011). School Principals Leadership and Teachers
              Stress in Malaysia Primary Schools. International Journal of Educational
              Studies, 4
(1), 63-82.
Norhannan Ramli & Jamaliah Abdul Hamid. (2006). Gaya kepimpinan pengetua
              wanita dan hubungannya dengan tahap motivasi guru sekolah menengah.
              Jurnal Pendidikan, 31, 3-69.
13,359 Pelajar Terlibat Salah Laku Disiplin Berat. (2014, November 11). Utusan
             Malaysia.
Dicapai dari http://www.utusan.com.my/berita/nasional/13-359-
             pelajar-terlibat-salah-laku-disiplin-berat-1.21677

Sabariah Sharif, Juninah Dullah, Khaziyati Osman & Salina Sulaiman. (2010).
             Headmaster’s Leadership style and Teacher Commitment in Malaysia
             Rural Primary Schools,
16(12), 229-244.
 Sapora Sipon. (2007, July 27). Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi. Utusan
             Malaysia.
Dicapai dari
Sergiovanni, T. J. (1992). Moral Leadership: Getting to The Heart of School
             Leadership.
San Francisco: Jossey-Bass.
Shahrin Abdullah. (2009). Kepemimpinan pengetua dan tekanan kerja guru di
             sebuah sekolah di daerah Kuala Lipis, Pahang
. Kertas Projek Sarjana
             Kepengetuaan yang tidak diterbitkan. Universiti Malaya: Kuala Lumpur.
Shahrin Hashim & Nordin Yahya. (2008). Isu-Isu Kepengetuaan Dan Pengurusan
             Sekolah: Peranan Komunikasi Kepimpinan Diri Dan Organisasi Dalam
             Perspektif Islam.
Johor Bahru: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Tinah Naim. (2007). Gaya kepimpinan pengetua dan hubungannya dengan stres
             kerja guru di sebuah daerah di negeri Johor
. Dicapai dari
             http://www.eprints.utm.my
Troman, G. (2000). Teacher stress in the low-trust society. British Journal of
              Sociology of Education, 21(3), 331.

Weber, M. (1947). The Theory of Social and Economic Organizations. New York,  
             NY: Free Press.
Weidner, P. E. (2002). Stress and the teacher: A comparison of job-related stress
             among public and private elementary teachers
. ProQuest Dissertations   
              and Theses.
Yahaya, A. et al. (2010). Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di
             Empat Buah Negeri Di Malaysia. Jurnal Universiti Teknologi Malaysia, 25,
            
103-136.


No comments:

Post a Comment