Wednesday 20 July 2016

Pernyataan Profesional (sebelum praktikum)

Pernyataan Profesional (sebelum praktikum)

            Praktikum ialah latihan praktik yang merupakan komponen wajib dalam program pendidikan guru. Praktikum memberi peluang kepada guru pelatih untuk mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar bilik darjah dan sekolah. Pelaksanaan program peringkat ini memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran dengan bimbingan pensyarah pembimbing dan guru pembimbing melalui perkongsian pintar.

            Sebelum menjalani tempoh latihan praktikum, saya telah mengikuti empat peringkat Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) semasa semester satu hingga empat. PBS ini merupakan syarat yang perlu disempurnakan terlebih dahulu sebelum menjalani praktikum. Saya juga telah mendapat taklimat daripada unit praktikum di dewan Kirby pada 4 Februari 2016. Saya telah diberitahu bahawa latihan praktikum akan dijalankan selama 1 bulan iaitu dari 15 Februari 2016 hingga 11 Mac 2016.

            Penempatan sekolah telah ditetapkan oleh pihak IPGM sendiri tetapi kami berpeluang memilih pasangan sendiri. Dalam hal ini, setiap sekolah hanya dibenarkan sekurang-kurangya dua orang sahaja untuk satu sekolah bagi setiap opsyen. Saya dan rakan saya Chiah Jing Wen telah ditempatkan di SJK(C) Chung Hwa 2, Jalan Bagan 1, Taman Bagan, 13400 Butterworth, Pulau Pinang.

            Dua minggu sebelum ke SJK (C) Chung Hwa untuk melapor diri, saya dan rakan saya telah pergi meninjau lokasi sekolah tersebut. Kami telah bertegur sapa dengan guru besar sekolah itu dan juga guru pembimbing kami. Sebagai seorang guru pelatih, bimbingan serta tunjuk ajar dari guru yang berpengalaman amat penting dalam melatih guru pelatih menjadi guru yang berjaya. Nasihat serta bimbingan yang padu amat penting kepada saya sebagai seorang guru praktikal yang baharu di sekolah tersebut. Bukan itu sahaja, kami juga cuba mengambil catatan masa perjalanan dari institut kami ke sekolah. Hal ini demikian kerana dapat memudahkan kami untuk ke sekolah menjalani praktikum. Masa perjalanan kami hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja, lebih kurang 16-20 kilometer dari institut kami.
           
Sebelum menjalani praktikum, saya mendapatkan pelbagai tips tentang kaedah bagaimana mengawal bilik darjah dengan bijak melalui buku dan laman web. Tambahan pula, saya juga telah membuat perancangan awal berkenaan peraturan-peraturan yang perlu mereka patuhi sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan. Saya akan mendenda murid jika mereka melanggar peraturan. Sebaliknya, saya juga akan menghadiahi mereka hadiah sekiranya mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa pengajaran dan pembelajaran saya dijalankan. Saya turut merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik minat murid dalam pembelajaran mereka di dalam bilik darjah.


Akhirnya, saya mempunyai beberapa harapan terhadap praktikum saya kali ini. Saya berharap praktikum yang akan saya jalani pada 15 Februari 2016 hingga 11 Mac 2016 akan berjalan dengan baik sepertimana yang telah saya rancangkan.Saya berharap dapat menunjukkan peribadi dan sahsiah yang baik sebagai seorang guru dan menjadi contoh baik kepada murid-murid SJK (C) Chung Hwa 2. Saya juga berharap dapat bergaul mesra dengan guru-guru, kakitangan sokongan sekolah dan ibu bapa serta penjaga murid-murid penduduk sekitar jika berkesempatan. Walau bagaimanapun, sebagai seorang guru, saya mestilah sentiasa bersedia dalam menghadapi segala cabaran yang datang kerana sesungguhnya seseorang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, adalah sukar baginya untuk berjaya.  

No comments:

Post a Comment