Wednesday 22 April 2015

Jenis Nilai Moral

Nilai Instrumental (Ektrinsik)

Nilai instrumental dirujuk sebagai nilai ekstrinsik. Makna nilai membawa maksud suatu kualiti yang diterima atau ditolak sebagai alat mencapai sesuatu matlamat. Nilai ini akan bergantung kepada nilai lain untuk mencapai sesuatu matlamat dan juga boleh dikategorikan sebagai nilai peringkat kedua (second order value), misalnya sikap jujur, berani, rajin, hormat-menghormati dan sebagainya. Oleh itu, nilai instrumental merupakan pembentukan suatu nilai bagi mewujudkan satu nilai yang lain. Dalam hal ini, matlamat sesuatu perkara boleh dicapai dengan pembentukan nilai yang memerlukan nilai yang lain. Nilai instrumental juga dijadikan satu kepiawaian kepada apa yang dilaksanakan, membantu dalam menunjukkan arah dan menjadi penentu dalam membuat pilihan. Nilai ini amat menegaskan unsur teguh beriman dan bertakwa dalam setiap tindakan.

Terdapat beberapa contoh yang boleh dikaitkan dengan nilai instrumental ini. Misalnya Albert berpura-pura rajin di depan ibunya untuk mengambil hati ibunya.               Nilai di atas (mengambil hati) bergantung kepada nilai lain (rajin) untuk mencapai matlamatnya. Bagi contoh lain termasuklah Merry belajar bertungkus lumus untuk mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang. Dalam hal ini, kita boleh tahu bahawa nilai rajin yang diamalkan adalah untuk mencapai kejayaan hidupnya. Seterusnya, contoh yang berkaitan dengan nilai ini termasuklah hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah adalah untuk menghapuskan perbuatan mengedar dadah kepada rakyat di negara kita.

Selain itu, Cikgu Lee telah mendenda Ali kerana dia gagal dalam Bahasa Cina. Dalam hal ini, kita boleh menganggap tindakan Cikgu Lee tersebut adalah positif kerana tindakan Cikgu Lee adalah bertujuan meningkatkan semangat memajukan diri Ali dan juga mengharapkan prestasi Ali dapat bertambah baik pada ujian yang akan datang. Ini membolehkan remaja berfikiran jauh bahawa terdapat niat baik sebelah dendaan dan mengikis perasaan dengki atau benci antara murid dengan guru.

Di samping itu, contoh yang biasa dilihat adalah pihak sekolah mengenakan tindakan disiplin kepada pelajar yang datang lewat ke sekolah dan juga pelajar yang merokok demi menjaga tatatertib para pelajar. Tindakan sekolah ini bukan sahaja boleh menjaga tingkah laku murid-murid, malah ia juga dapat membentuk nilai moral dalam kalangan murid serta membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademik. Jelaslah bahawa nilai-nilai di atas bergantung kepada nilai lain untuk mencapai matlamatnya.

Tambahan pula, pihak kerajaan Malaysia telah mengenakan hukuman penjara dan sebatan kepada individu yang membuat hubungan seks dengan gadis bawah umur bagi mengelakkan kejadian rogol secara berleluasa. Jika nilai ini dilihat dari sudut baik, kita akan mendapati bahawa hukuman berat yang dikenakan itu dapat mencegah hubungan luar nikah dan menjaga hak asasi kanak-kanak dan wanita.


Nilai Instrinsik

Nilai instrinsik  boleh didefinisikan sebagai nilai yang tidak perlu bergantung kepada nilai lain untuk mencapai matlamatnya kerana nilai itu sendiri merupakan matlamat akhir. Kualiti bagi nilai diterima atau ditolak semata-mata ia berniat baik atau buruk dan tanpa mengira kesannya. Nilai ini merupakan nilai peringkat pertama (first order value), misalnya baik hati, kasih saying, keadilan dan sebagainya.

Sesungguhnya, nilai ini mempunyai fungsi tersendiri, antaranya ialah menjadi penentuan dalam membuat pilihan atau tindakan. Nilai ini juga menegaskan menyempurnakan tugas dan amanah serta mengutamakan keadilan dalam setiap perbuatan. Contoh yang boleh dikaitkan dengan nilai ini adalah seperti situasi Musan sebagai pengadil dalam pertandingan banner antara kelas. Rakan sekelasnya telah menyuruhnya memberi markah yang lebih tinggi kepada kelas mereka. Namun, Musan tidak berbuat demikan kerana dia menilai semua karya dengan teliti dan adil tanpa dipengaruhi oleh permintaan rakan-rakanya. Contoh ini dapat memberi gambaran kepada remaja supaya bertindak dengan saksama dalam segala hal.

Selain itu, contoh yang boleh diambil termasuklah kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Dalam hal ini, kasih sayang ibu bapa adalah lahir semula jadi dan bukan kerana untuk mendapatkan balasan daripada anak mereka. Sama juga seperti kasih sayng anak terhadap ibu bapanya. Azhar amat menyayangi ibu bapanya dan sanggup berkorban apa sahaja demi kesenangan ibu bapanya. Azmi tidak pernah mengharapkan harta warisan kerana dia berpendapat bahawa seseorang anak berkewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Bukan itu sahaja, hakim menjatuhkan hukuman mati kepada seorang penagih dadah atas kewajipan dan undang-undang, tetapi bukan keinginannya yang ingin membasmi kegiatan pengedaran dadah. Hal ini sama seperti seorang hakim yang menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara kepada perogol setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Jelaslah bahawa nilai-nilai di atas bukan bergantung kepada nilai lain untuk mencapai matlamat.

Tambahan pula, contoh yang berkaitan dengan nilai intrinsik termasuklah situasi semasa Kelvin duduk di taman permainan kanak-kanak. Tiba-tiba, seorang kanak-kanak berlari ke arahnya lalu menyorok di belakang pokok berhampiran dengan Kelvin dengan wajah penuh ketakutan. Satu minit selepas itu datang dua orang kanak-kanak yang lebih besar bertanyakan Kelvin tentang lokasi kanak-kanak tadi. Kelvin menggelengkan kepala dan tindakan ini telah menyelamatkan kanak-kanak tadi daripada menjadi mangsa buli walaupun dia tidak berniat untuk membanteras kegiatan buli di tempat tinggalnya.


Nilai Subjektif

Definisi bagi nilai subjektif adalah nilai (kualiti) yang diterima atau ditolak oleh seseorang individu dengan berdasarkan kepada pandangannya sendiri terhadap sesuatu benda atau perkara. Sebenarnya, nilai subjektif adalah berasal daripada “dunia dalaman” individu, iaitu berpunca daripada dalaman individu. Berdasarkan maklumat, boleh dirumuskan bahawa nilai subjektif mempunyai beberapa fungsi yang penting. Antaranya termasuklah dapat membayangkan keinginan, minat dan harapan terhadap sesuatu benda atau perkara. Nilai subjektif juga berperanan dalam membayangkan perasaan gemar atau tidak gemar bagi individu terhadap sesuatu perkara atau benda.

Terdapat banyak contoh yang boleh dikaitkan dengan nilai subjektif dalam proses pembentukan moral individu, antaranya termasuklah pengunaan buku teks dalam pengajaran Pendidikan Moral. Secara amnya, penggunaan buku teks Pendidikan Moral adalah membantu pelajar mengkaji perkara-perkara yang dibincangkan. Pelajar boleh memberi nilai atau pendapatnya berdasarkan kehendak soalan-soalan dalam buku tersebut dan ini dapat membentuk yakin diri dalam pelajar sendiri. Namun, terdapat juga sesetengah kumpulan berpendapat bahawa buku itu tidak nilai bagi mereka kerana segala pengajaran atau maklumat dalam buku adalah tidak relevan dalam kehidupan dan kurang wujud dalam kehidupan mereka.

Selain itu, kes hukuman rotan ke atas murid di khalayak ramai juga merupakan salah satu contoh yang hangat dibincangkan dalam isu pendidikan. Terdapat pihak yang mencadangkan supaya hukuman rotan di khalayak ramai dikuatkuasakan kembali bagi memberi pengajaran kepada murid yang membuat salah dan menjadi pengajaran kepada murid lain. Namun begitu, terdapat juga pihak yang tidak bersetuju dan berpendapat bahawa hukuman rotan akan memberikan kesan negatif seperti memalukan pelajar dan melanggar hak asasi kanak-kanak. Contoh ini menunjukkan dua isu nilai iaitu satu pandangan hukuman rotan untuk mendidik tetapi satu pihak lain melihat hukuman ini merupakan tindakan yang memberi kesan negatif kepada murid.

Sementelahan pula, terdapat juga satu contoh yang berkaitan dengan nilai subjektif iaitu perbuatan melepak. Abu seorang remaja yang baik. Walau bagaimanapun apabila dia penat belajar, dia selalu melepak di pusat beli belah berhampiran dengan rumahnya. Dia berpendapat bahawa melepak tidak salah kerana dia dapat melepaskan tekanan. Contoh ini telah menjelaskan bahawa nilai subjektif yang diterima atau ditolak oleh seseorang individu dengan berdasarkan kepada pandangannya sendiri terhadap sesuatu benda atau perkara. 

            Tambahan pula, contoh nilai subjektif termasuklah Amerika Syarikat dan sekutunya bercadang menyerang Negara Iran. Britain berpendapat bahawa Amerika Syarikat menyerang Iran adalah betul kerana telah menghalang Iran daripada membuat senjata nuklear. Tujuannya untuk menjaga keamanan dunia daripada kesan senjata nuklear jika Iran menggunakannya untuk tujuan peperangan. Rusia pula tidak menyokong cadangan serangan ini kerana berpendapat bahawa Iran hanya membuat penguraian uranium bagi tujuan penjanaan kuasa kegunaan tempatan dan jika diserang akan berlaku pertumpahan darah. Contoh ini menjelaskan dua pihak yang melihat nilai dari dua sudut yang berbeza. Satu pihak melihat dari sudut tujuan serangan dan satu pihak melihat dari aspek kesan peperangan dan kebenaran isu.


Nilai Objektif

Nilai objektif merupakan nilai yang bebas daripada pilihan peribadi dan ia diterima atau ditolak berdasarkan pengalam dalaman yang dialami atau berpunca dari aspek luar yang dipersetujui oleh kebanyakan orang.  Nilai objektif menegaskan bahawa setiap barangan atau objek tersebut mempunyai bentuk dan kegunaan tersendirinya. Dengan mengenalpastikan bentuk atau kegunaan objek, maka kita dapat membuat pertimbangan selanjutnya.

Contoh yang berkaitan dengan nilai objektif adalah banyak. Pertamanya termasuklah kegiatan pemerdagangan manusia perlu dibanteras. Jika dianalisis dari contoh ini didapati wujud kriteria nilai iaitu kegiatan pemerdagangan perlu ditolak. Dalam hal ini, kebanyakan orang telah bersetuju bahawa kegiatan ini perlu dihapuskan bagi kesejahteraan manusia.

Seterusnya, contoh lain seperti pandangan tentang penderaan haiwan adalah tidak mencerminkan nilai perikemanusiaan.  Agama Buddha juga ada menasihatkan siswa-siswaNya mengamalkan kasih sayang suci bukan sahaja  terhadap manusia tanpa mengira kasta, kepercayaan atau warna kulit tetapi juga kepada haiwan. Tiada seorang pun yang berhak memusnahkan nyawa makhluk hidup lain kerana nyawa adalah sesuatu yang sangat berharga kepada semua. Sebenarnya, semua makhluk gentar pada saat kematian, semua makhluk takut kepada hukuman dan ingatilah bahawa kita adalah seperti mereka dan jangan membunuh atau melakukan penyembelihan. Dengan itu, patutlah semua orang mempunyai perasaan belas kasihan terhadap haiwan dan jangan mencederakan haiwan.

Sementelahan pula, AIDS merupakan suatu isu moral. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), AIDS mengancam nyawa setiap individu, termasuklah
kanak-kanak dan ia merupakan suatu penyakit yang amat berbahaya. Dalam hal ini, pandangan berkenaan AIDS merupakan nilai-nilai yang diterima dan dipersetujui kebanyakan orang.

            Seperkara lagi, peperangan adalah ibarat ‘menang jadi arang kalah jadi abu’. Hal ini demikian peperangan merupakan satu tragedi yang dahsyat. Ia akan mengakibatkan kemusnahan nyawa yang amat  berharga dan juga menjejaskan kehidupan orang ramai. Pandangan sebegini telah diterima berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui oleh semua atau kebanyakan orang.


Nilai Relatif

Nilai relatif boleh didefinisikan sebagai nilai yang diterima atau ditolak dengan berdasarkan peraturan masyarakat untuk mencapai matlamat masyarakat. Nilai relatif ini adalah bersifat arbitrary, iaitu tidak tertentu, tidak sempurna dan berbeza antara masyarakat yang berlainan.

Jadi, nilai relatif ini boleh berubah mengikut masa dan kriteria nilai sama ada benar atau salah bagi sesebuah masyarakat untuk dibincangankan atau dibahaskan. Seterusnya, nilai relatif juga membolehkan semua manusia membentuk nilai norma masyarakat yang berbeza mengikut kesesuaian pandangan masyarakat masing-masing. Nilai ini mampu mengubah nilai norma masyarakat mengikut masalah yang dihadapi dan juga pemikiran manusia. Dengan itu, perubahan nilai dalam sesebuah masyarakat mungkin terjadi apabila terdapat perubahan pandangan mengikut perubahan zaman.

Contoh bagi nilai relatif ini adalah seperti situasi pergaulan bebas antara remaja yang berleluasa serta menjadi isu hangat pada masa kini. Walaupun perkara ini adalah biasa di negara barat, tetapi ia adalah masalah sosial yang hangat di Malaysia.  Negera barat berpendapat bahawa perkara ini adalah tidak bersalah dari sisi undang-undang, manakala Malaysia berpandangan serius tentang isu ini kerana ia membawa kesan seperti orang yang terlibat akan dipandang keji dan dikutuk oleh orang lain. Ini membawa pengajaran kepada remaja supaya mengamalkan nilai relatif yang mengutamakan pandangan dan peraturan dalam masyarakat yang mana dia berada.
Selain itu, pembentukan keluarga di Malaysia dan kebanyakan negara ASEAN melibatkan prinsip perkahwainan. Nilai perkahwinan ini bergantung kepada agama yang dianuti. Dalam hal ini, seorang lelaki dan wanita perlu melakukan upacara perkahwinan bagi disahkan sebagai pasangan suami isteri. Bagi mereka yang tinggal bersama tanpa nikah adalah dianggap sebagai perbuatan yang melanggar nilai atau adat setempat. Namun, keadaan ini berbeza dengan beberapa bahagian negeri di Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, didapati pasangan lelaki perempuan boleh menjalani kehidupan sebagai suami isteri tanpa berkahwin. Berdasarkan contoh ini didapati terdapat dua nilai relatif iaitu masyarakat Malaysia dan ASEAN melihat hidup berkeluarga mesti melalui proses perkahwinan terlebih dahulu. Proses inilah yang dianggap oleh masyarakat sebagai nilai relatif yang mempunyai moral yang perlu dipatuhi. Berbeza dengan nilai di Amerika Syarikat yang membenarkan keluarga dibina tanpa ikatan perkahwinan. Keadaan ini dilihat sebagai nilai relatif yang telah diterima oleh masyarakat tersebut.

Di samping itu, contoh kebebasan memilih pasangan perkahwinan pada dahulu dan kini. Pasa masa dahulu, orang tiada kebebasan untuk memilih pasangan hidupnya. Tetapi, remaja masa kini diberi bebas untuk memilih pasangannya. Menerusi contoh ini, dapat dilihat perubahan zaman membawa ubahan dan pemikiran remaja masa kini harus selaras dengan faham masyarakat dan bukannya mementingkan hasrat diri sahaja.

Seperkara lagi, penggunaan Bahasa Inggeris di papan tanda juga merupakan salah satu contoh nilai relatif.  Pandangan berkenaan pada satu ketika dahulu dianggap sebagai tidak patrioktik. Tanggapan sedemikian berubah apabila kerajaaan memartabatkan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan hari ini. Seterusnya, terdapat juga contoh bermain mercun dalam masyarakat kini. Bermain mercun merupakan sebahagian daripada amalan penting dalam sambutan Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, masyarakat Cina mula menerima pengharaman bermain mercun yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sebagai tindakan rasional pada masa kini.


Nilai Mutlak (Absolute)

Nilai mutlak adalah nilai yang dihargai dan tidak terikat kepada sesuatu kebiasaan bagi sesebuah masyarakat. Segala idea atau fakta dapat diterima secara umun dan diuji atau terbukti sama ada nilai itu baik ataupun buruk. Nilai ini adalah berkekalan sepanjang masa dan di semua tempat serta hampir sama bagi semua situasi norma masyarakat. Nilai ini berfungsi sebagai satu standard yang konsisten dan kukuh bagi seseorang individu atau masyarakat untuk bertindak supaya seseorang dapat bertindak secara rasional dan tidak keterlaluan.

Contoh yang berkaitan dengan nilai mutlak ini adalah seperti gambaran hidup berkeluarga adalah kehidupan yang baik. Ini memberi gambaran yang positif kepada remaja kini supaya mengamalkan amalan hidup berkeluarga yang sihat. Hal ini demikian kerana hidup berkeluarga dapat mendatangkan keharmonian antara ahli keluarga serta menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan negara. Justeru, pengamalan nilai yang baik akan mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan pihak lain.

Selain itu, contoh yang biasa seperti tindakan membunuh tanpa sebab adalah perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar hukum kemanusiaan. Dalam hal ini, hukuman mati akan dikenakan kepada pesalah yang didapati membunuh seseorang yang lain. Hal ini demikian kerana nilai keadilan dianggap mutlak dalam hal sebegini. Jika perkara ini berlaku pada masa dan tempat yang lain, hukuman yang sama juga akan dijatuhkan terhadap pembunuh. Dengan itu, remaja haruslah sentiasa berniat baik dan mempunyai batasan dalam segala tindakan.

Akhirnya sekali, contoh nilai mutlak termasuklah budaya menghormati ibu bapa dan orang tua-tua. Dalam hal ini, anak dituntut untuk menghormati ibu bapa kerana tanpa mereka siapakah mereka. Anak yang tidak menghormati ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka dan dipandang keji oleh orang lain. Seterusnya, orang remaja atau pemuda juga harus menghormati orang yang lebih tua. Mereka tidak boleh mengherdik atau memarahi orang tua-tua kerana perbuatan itu dianggap kurang ajar.


Penutup

            Nilai merupakan satu aspek penting dalam mencorakkan budaya hidup manusia. Sistem nilai terbentuk melalui proses pengukuhan dan penerimaan nilai dan sistem sosial. Ia adalah penting dalam hubungan sosial antara individu dengan masyarakat untuk menjamin kestabilan masyarakat dan kehidupan yang baik sesama manusia. Individu yang menghayati sesuatu nilai akan melakukan sesuatu yang berkaitan dengan nilai itu dan tidak melakukan sesuatu yang dirasakan bercanggah dengan nilai yang diamalkannya. Tuntasnya, semua orang harus mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupannya supaya menjadi modal insan yang dapat merealisasikan aspirasi Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment