1.0 Tugasan 1: Ulasan Kritis
Sepanjang sejarah pembangunan negara, kita
berpandukan cita-cita yang murni pada masa-masa yang penting. Bermula dengan
era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melangkah ke era Wawasan 2020
(1991-2020) dan seterusnya kita perlulah bersedia untuk menghadapi tempoh 30
tahun akan datang. Sejajar dengan hal tersebut, isu pendidikan telah menjadi
topik utama bagi mencapai konsep Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menjadi
dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas
2020. Namun, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan, pelbagai
masalah seperti masalah murid dan bebanan kerja telah muncul dan menjadikan
peranan dan tanggungjawab guru-guru lebih mencabar dan akhirnya membawa
implikasi yang buruk kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP). Maka,
sebelum kita mengorak langkah untuk mengenal pasti langkah yang berkesan untuk mengekalkan
kualiti PdP, marilah kita membincangkan faktor-faktor yang menjadi penyebab
utama kepada masalah ini.
Pertamanya, inovasi dan perubahan kurikulum
dalam pendidikan merupakan penyebab utama yang telah menjadikan bebanan tugas
semakin berat. Pada abad ke 21, negara kita telah menghadapi cabaran baharu
kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Tenaga pengajar dan pengurus
pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses
kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan
(Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Untuk mencapai wawasan 2020 dan juga TN50, Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah sering membuat penandaarasan dengan kurikulum
negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan sentiasa
setanding dengan pendidikan global. Dengan berlandaskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan juga prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR),
penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk organisasi, pedagogi, penegasan
kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) secara berperingkat mulai tahun 2011.
Dalam hal
ini, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijalankan sebagai sebahagian
daripada Program Transformasi KSSR telah membebankan guru. Hal ini kerana
setiap prosedur dan langkah pentafsiran PBS dilaksanakan sepenuhnya oleh guru
dan pihak sekolah yang bermula dari aspek perancangan, pembinaan item,
instrumen pentaksiran, bermula dari aspek perancangan, pembinaan item,
instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan, perekodan dan pelaporannya.
Tugas pelaksanaan PBS yang pelbagai telah menimbulkan suasana yang negatif
kepada guru dan mereka merasakan tugas penilaian PBS memerlukan masa
pelaksanaan yang lama dan kemahiran yang tinggi untuk dilaksanakan. Bukan itu
sahaja, bagi meningkat kemahiran serta maklumat semasa guru, banyak kursus atau
program dijalankan bagi membolehkan guru-guru memperolehi kemahiran dan
maklumat yang terkini. Sebagai contoh, guru dikehendaki mengikuti pelbagai
kursus berkenaan KSSR, PBS, sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah
(SPPBS) dan sebagainya yang dianjur oleh sekolah, KPM, Jabatan Pelajaran Negeri
(JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mereka dapat melaksanakan KSSR
dan PBS di sekolah dengan berkesan.
Sementelahan pula, Kementerian Pendidikan
telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan
matlamat memanfaatkan TMK dalam pengajaran guru. Secara suka atau tidak, para
pendidik dan seluruh sistem pendidikan terpaksa berhadapan dengan perubahan
ini. Sebagai contoh, terdapat satu platform maya yang dikenali sebagai
Persekitaran Pembelajaran Maya-Frog (Frog VLE) telah dikenalkan oleh KPM
melalui Projek 1BestariNet pada tahun 2012. Guru-guru dituntut untuk menyokong
sistem ini kerana berpendapat ia boleh mengintegrasikan konsep pendidikan
konvensional dengan kaedah maya yang mana ia dapat memberi manfaat kepada guru,
murid, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa. Namun, penggunaan Frog VLE ini merupakan
satu perkara baru kepada guru dan murid dan Ia memerlukan pemahaman yang lebih
teliti serta penguasaan yang jitu. Maka, ia ada cabaran dan kesukaran untuk
mengaplikasinya dalam PdP.
Kajian Hasliza Hashim, Siti Munira Mohamad
Nasri dan Zarina Mustafa yang berjudul “Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru Dalam
Pelaksanaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog di Bilik Darjah” telah memaparkan
pandangan-pandangan responden dan mereka berpendapat bahawa pembelajaran
melalui Frog VLE agak rumit dan hanya membuang masa sedangkan guru sekolah
mempunyai beban tugas lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Halangan
seperti capaian internet rendah yang memakan masa lalu membantutkan usaha guru
untuk menggunakannya lagi menambah tekanan mereka dalam PdP. Posey, Burgess, Eason dan Jones (2010) juga
menyatakan bahawa guru merupakan individu yang mempunyai beban tugas yang berat
dan mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara yang tidak mempunyai
kaitan dengan profesion mereka.
Seterusnya, terdapat juga responden yang menyatakan
kesukaran untuk guru dan murid dalam mengaplikasi Frog VLE di dalam bilik
darjah terutamanya bagi guru yang kurang berkemahiran TMK seperti guru yang
masih belum mahir dalam mengakses portal, menyediakan bahan pengajaran,
memproses maklumat melalui laman web dan tidak mempunyai kemahiran untuk
mengendali serta memanipulasi sesuatu alat. Kemahiran yang rendah akan
menyukarkan lagi pengaplikasian terhadap inovasi baharu tersebut. Hal ini
kerana guru seharus mengetahui dan memahami setiap fungsi ikon dalam widgets dan tahu mengendalikan dashboard tersebut sehingga dapat
mewujudkan laman sendiri serta boleh dikongsi dengan guru lain dan juga murid-murid.
Walaupun pihak kerajaan telah memberi latihan dalaman di peringkat sekolah,
namun ianya masih belum mencukupi kerana mereka tidak ilmu pengetahuan yang
berkaitan dan mereka terpaksa belajarnya dari mula ke akhir. Akibatnya, mereka terpaksa
menggunakan masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri mereka dengan meneroka pendekatan
baharu ini. Berdasarkan contoh-contoh yang dibincang tadi, jelaslah bahawa
perubahan demi perubahan yang dilaksanakan telah menyebabkan stres dalam
kalangan guru-guru secara tidak langsung.
Selain itu, Fadzil (2005) telah menyatakan
bahawa salah laku pelajar yang berlaku seperti ponteng kelas, bising, bertindak
biadap terhadap guru, melanggar peraturan sekolah, bergaduh, tidak menyerahkan
kerja sekolah dan sebagainya merupakan satu punca yang menyebabkan stres dalam
kalangan guru. Yahaya et al. (2010) juga menjelaskan faktor salah laku atau
disiplin pelajar adalah satu punca stres kerja dalam kalangan guru. Hal ini
kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai salah laku dan kerenah murid
yang berasal daripada pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi serta
peringkat umur. Beban kerja telah ditingkatkan secara ketara kerana beban
mereka bukan sahaja terhad kepada mengajar, mendidik dan membimbing, malah
mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengawal keseimbangan moral murid-murid. Bagi
guru yang tidak mampu mengendali masalah-masalah ini, pastilah kestabilan emosi
guru dan kualiti PdP akan dijejaskan. Justeru, jelaslah bahawa faktor sikap dan
disliplin murid telah menyumbang kepada stres guru.
KPM dalam Laporan Utusan Malaysia pada
(2014) telah menyatakan bahawa terdapat sebanyak 13359 pelajar sekolah rendah
dan menengah di seluruh negara telah terlibat dalam salah laku disiplin berat
atau aktiviti yang berunsur jenayah bagi tempoh Januari hingga Jun 2014.
Seterusnya, Utusan Malaysia (2017) juga memaparkan bahawa terdapat sebanyak 402
buah sekolah menengah dan rendah sedang dalam pemerhatian Kementerian
Pendidikan berikutan isu disiplin murid. Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk
Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah itu sebanyak 311 buah sekolah merupakan
sekolah yang mempunyai masalah disiplin.
Sementara sebanyak 91 buah sekolah lagi dikategorikan
sebagai sekolah tumpuan (hot spot) iaitu sekolah-sekolah yang cenderung
mempunyai masalah disiplin.
Menurut beliau, satu jawatankuasa yang dianggotai Polis
Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
dan pertubuhan bukan kerajaan telah diwujudkan bagi melaksanakan program
tertentu untuk memastikan isu tersebut tidak menjadi lebih teruk. Akibat kerenah
murid, guru sering keletihan dan tidak bersemangat untuk mengajar dan mungkin
burnout bagi situasi yang lebih serius.
Sesungguhnya, setiap sekolah akan
mengalami masalah salah laku murid yang berbeza. Sebagai contoh, salah laku
murid orang asli di semenanjung Malaysia dan juga di pedalaman Sabah dan
Sarawak lebih cenderung kepada tidak hadir ke sekolah. Kebanyakan daripada
mereka tidak ada motivasi untuk belajar, tidak mendapat sokongan ibu bapa malah
terpaksa membantu ibu bapa mengutip hasil pertanian di hutan atas desakan
hidup. Justeru, sebagai seorang guru yang prihatin, beliau dikehendaki sentiasa
mengambil inisiatif untuk melawat murid-murid tersebut malahan terpaksa
menempuh hutan tebal atau menyusuri sungai bagi memujuk murid-murid agar
kembali ke sekolah.
Bagi murid di SMK pula, salah laku yang
biasa dilihat termasuklah sikap biadap atau tidak menghormati dan menghargai
guru ketika guru sedang mengajar seperti membuat bising, memanjat pagar untuk
lari dari sekolah, berbual-bual, tidak membuat latihan yang diberikan selain
keluar kelas tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar. Tindakan murid yang
sebeginilah telah menyebabkan prestasi pencapaiannya merosot dan juga memberi
suatu tekanan kepada guru-guru di sekolah. Dalam hal ini, tekanan emosi
guru-guru ditambah lagi semasa dipertanggungjawab untuk mencari jalan
penyelesaian bagi membendung salah laku murid. Walau bagaimanapun, situasi ini
menjadi lebih teruk dan sukar dikawal atas desakan ibu bapa yang menolak
sebarang hukuman dikena atas anak-anak mereka. Dengan contoh-contoh yang
dinyatakan tadi, jelaslah bahawa tekanan guru semakin bertambah akibat salah
laku murid-murid.
Seterusnya, kajian Laughlin (1984) telah
mendapati bahawa tekanan masa dan kekangan sumber merupakan penyumbang utama
kepada tekanan kerja guru. Ages (2011) juga telah menyatakan bahawa kekangan
masa telah menjadi penyumbang kepada belakunya tekanan emosi dalam kalangan
guru. Dalam hal ini, kekangan masa ditakrifkan sebagai masa yang tidak
mencukupi untuk berehat dan menjalankan tugas berkaitan pengajaran dan
pembelajaran seperti tidak masa yang cukup untuk menghabiskan sukatan murid,
membuat persediaan mengajar, memberi tumpuan kepada murid secara individu dan
menanda buku. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang-kala
memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar.
Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh
sebelum ini dan hal ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru
tersebut.
Bagi faktor kekangan sumber pula,
kekurangan sumber seperti kekurangan kemudahan elektrik dan air bersih, peralatan,
bilik darjah, makmal komputer, bengkel, bilik muzik, perpustakaan, kemudahan PdP
dan perisiannya telah menyusahkan guru dan telah mengundang implikasi yang
buruk kepada mutu dan kualiti pengajaran guru. Dalam hal ini, persekitaran
kerja yang tidak kondusif seperti ruang kerja yang sempit dan sesetengah kelas
yang terlalu panas dan tidak selesa boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada
guru. Dalam hal ini, KPM (2011) telah menjalankan Kajian Semula Pelan
Pembangunan Pendidikan ke atas 10,000 sekolah di Malaysia dan mendapatkan hasil
kajian yang tidak begitu positif. Hasil kajian telah memaparkan bahawa terdapat
2000 buah sekolah tidak mempunyai makmal sains, 2700 buah tidak mempunyai
makmal komputer, 1500 buah tidak mendapat air bersih dan 300 buah tiada bekalan
elektrik 24 jam.
Sejajar dengan itu, kemudahan-kemudahan
sekolah yang tidak mencukupi untuk keperluan diri dan muridnya terutamanya sekolah
di kawasan pedalaman akan menyebabkan guru tersebut semakin stres. Hal ini
demikian kerana kekurangan sumber dalam sesuatu sekolah menyebabkan murid dikehendaki
mengilir-gilir untuk menggunakan peralatan-peralatan dan akhirnya menjadikan
sukatan pelajaran ditundahkan. Tambahan pula, murid juga akan sukar memahami
dan belajar sesuatu teori dalam mata pelajaran sekiranya alat bahan mengajar
atau perisian yang diperlukan tidak mencukupi. Sebagai contoh, murid tidak
dapat mempraktikkan kemahiran kerja tangan mereka kerana tiada bengkel
kemahiran hidup di sekolah. Dengan itu, mereka terpaksa mempelajari sesuatu kemahiran
bergantung kepada teori semata-mata.
Selain itu, menurut laporan KPM (2005), terdapat
5,077 (66.8%) buah sekolah rendah dan 792 (39.0%) buah sekolah menengah di luar
bandar. Sekolah rendah dan menengah khususnya di luar Bandar masih kekurangan
infrastruktur serta kemudahan pendidikan. Terdapat 5,951 (78.3%) sekolah rendah
dan 870 (42.9%) sekolah menengah berusia melebihi 30 tahun dan memerlukan
penyelenggaraan tinggi. Di kalangan sekolah tersebut, terdapat sebanyak 1,639
buah sekolah rendah tidak mempunyai bilik sains dan 42 buah sekolah masih menumpang
di sekolah lain. Bagi sekolah menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal
komputer, 25 buah tidak mempunyai makmal sains dan 26 buah masih menumpang di
sekolah lain (PIPP). Data-data ini merupakan bukti yang nyata dengan
menunjukkan statistik-statistik kekurangan sumber sekolah di Malaysia.
Di samping
itu, gaya kepimpinan guru besar mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap
sekolah dalam pelbagai perkara antaranya termasuklah komitmen guru (Sabariah
Sharif, Juninah Dullah, Khaziyati Osman dan Salina Sulaiman, 2010) dan juga tekanan
kerja guru (Najeemah Mohamad Yusof, 2011). Dalam hal ini, setiap guru besar
mempunyai gaya kepimpinan sendiri seperti kepimpinan autokratik, demokratik,
Laissez-Faize. Setiap gaya ini mempunyai kelebihan dan kelemahan dan ada
kalanya gaya-gaya ini perlu digunakan bersama sekali dalam sesuatu organisasi
supaya matlamat sekolah dapat dicapai malah tidak mengabaikan kebajikan guru. Walau
bagaimanapun, terdapat juga guru besar yang bertingkah laku keterlaluan dalam
mengamalkan kepimpinan autokratik. Guru besar sebegini cenderung untuk mengawal
semua kuasa yang diberikan kepadanya, banyak memberi arahan tanpa menghiraukan
ketidakpuasan guru-guru bawahannya dan juga membuat keputusan secara diri
sendiri tanpa mengadakan perbincangan atau mesyuarat bersama semua guru. Hal
ini telah menambahkan beban tugas guru kerana guru terpaksa menerima dan
menyesuaikan diri serta tidak dapat menyuarakan pandangan dan bantahannya.
Sehubungan dengan itu, tingkah laku
kepimpinan guru besar juga menjejaskan tahap tekanan emosi guru. Menurut Blake
dan Mouton (1964), teori tingkah laku yang berdasarkan Grid Pengurusan telah melihatkan
gaya kepimpinan guru besar dari dua dimensi iaitu dimensi berstruktur dan
dimensi timbang rasa. Sesuatu kepimpinan boleh dikatakan berjaya atau tidak bolehlah
dilihat dari gaya atau orientasi kepimpinan mereka iaitu adakah guru besar itu
memimpin secara bertimbang rasa atau mementingkan tugas yang berstruktur. Bagi
pemimpin yang bertimbang rasa, mereka akan mempunyai hubungan mesra dengan
kakitangan, yakin dengan kebolehan pekerja, menghormati idea, mendengar
pandangan dan memberi perhatian terhadap perasaan pekerja. Namun, bukan semua
sekolah mempunyai seorang guru besar yang bertimbang rasa, terdapat kebanyakan
guru besar telah mengamalkan gaya kepeminpinan yang mementingkan tugas yang
berstruktur. Mereka terlalu menekankan tugasan sehingga mengabaikan hubungan
mesra dan perasaan guru-guru. Kajian Norhannan & Jamaliah (2006), Tinah
(2007) dan Shahrin (2009) juga mendapati bahawa guru besar lebih cenderung
mengamalkan gaya kepemimpinan dimensi menstruktur tugas berbanding dimensi
timbang rasa.
Bukan itu sahaja, kajian Lunenberg &
Ornstein (2000) juga mendapati bahawa tingkah laku kepimpinan yang dipraktikan
oleh pemimpin sekolah mempunyai pengaruh yang besar terhadap kepuasan kerja
seseorang guru. Sebagai pemimpin, guru besar tidak lepas dari berinteraksi dan
bergaul mesra dengan staf bawahannya secara positif. Kenyataan ini disokong
Shahrin dan Nordin (2008) dengan menyatakan bahawa guru besar seharusnya
memberi perhatian kepada guru dengan membentuk suasana tempat kerja yang kondusif
untuk melahirkan sekolah yang cemerlang. Hal ini kerana mereka mendapati faktor
pengurusan dan kepimpinan guru besar sekolah sangat mempengaruh aspek kepuasan
dan keselesaan guru. Sekiranya guru besar sekolah kurang mengambil kira
kecenderungan atau faktor ketidakpuasan hati guru, maka prestasi pencapaian
guru akan dikurangkan dan tekanan emosi juga akan ditingkatkan. Dengan itu, jelaslah bahawa gaya kepimpinan
merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah sekolah kerana tingkah laku
kepimpinan guru besar yang efektif dapat mengurangkan tekanan kerja yang
dihadapi oleh guru-guru dalam memastikan kejayaan dan keberkesanan sesebuah
sekolah.
Berdasarkan faktor-faktor yang diulaskan
tadi, bebanan guru yang terlalu berat akan mewujudkan isu stres yang boleh
membawa implikasi kepada mutu dan kualiti PdP. Menurut Mohamad Salleh (1994), stres
adalah reaksi fizikal dan mental emosi seseorang akibat sesuatu situasi yang
menyebabkan seseorang itu tidak mendapat keselesaan hidup. Fontana dan
Abouserie (1993) dalam Mohamad Nor (2007) pula telah menyatakan bahawa stres
atau tekanan adalah sesuatu yang lazim terdapat dalam profesion perkhidmatan
yang berhubungan dengan manusia. Sejalan dengan hal tersebut, profesion
perguruan adalah salah satu tugas yang mempunyai hubungan secara langsung
dengan manusia terutama dengan murid-murid. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) dalam Utusan Malaysia (2006) pula telah menjalankan satu
kajian yang berkaitan dengan stres di dalam kalangan 9328 orang kakitangan
perguruan di seluruh negara pada tahun 2005.
Hasil kajian itu telah menunjukkan terdapat 69 peratus responden
bersetuju bahawa mereka bekerja dalam keadaan stress. Persoalannya, apakah
implikasi-implikasi daripada bebanan guru dan isu stres ini?
Pertamanya,
stres telah menyebabkan emosi guru tidak stabil, selalu berada dalam
kemurungan, kekecewaan dan kebimbangan, peningkatkan risiko penyakit mental
serta cenderung untuk melakukan keganasan. Menurut Sapora Sipon (2007),
guru yang gagal mengawal diri akibat stres akan memberi kesan kepada
perhubungan guru dengan murid dan juga mutu PdP. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kes yang
berkaitan dengan guru sering berlaku dan dilaporkan melalui media massa dalam
era globalisasi ini. Dalam hal ini, terdapat segelintir kes yang telah
menyebabkan kecederaan dan kematian kepada murid atau guru itu diri sendiri dan
hal ini berlaku berkemungkinan disebabkan tekanan emosi yang telah dipendamkan
oleh guru tersebut sehingga dia tidak dapat berfikir dengan waras lalu melakukan
perbuatan yang tidak terkawal yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang
lain seperti melepaskan geram kepada muridnya.
Tambahan pula, emosi guru yang tidak
stabil akan menyebabkan guru itu melampiaskan kemarahan tanpa sebab yang
rasional terhadap murid. Contohnya apabila guru menghadapi masalah keluarga
yang menyebabkan fikirannya tertekan, lazimnya murid-murid di sekolah akan
menjadi mangsa untuk melepaskan kemarahan. Dalam hal ini, murid yang melakukan
kesalahan kecil akan dibesar-besarkan dan kelas yang diajar akan menjadi suram
serta tidak ceria. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah guru yang beremosi
dan tidak dapat belajar dengan suasana tenang dan berkesan. Maka, hal ini telah
membantutkan perasaan murid untuk belajar dan murid tersebut juga akan
mempunyai satu persepsi baharu yang negatif terhadap gurunya.
Sebagai analogi, MalayMail Online (2016) telah memaparkan satu kes deraan murid yang
berumur 10 tahun oleh guru muziknya. Dalam hal ini, bapa murid telah mendakwa
bahawa guru itu menarik rambut dan menempeleng anaknya selepas dia hanya
berdiam diri ketika disoal dan enggan ke depan kelas. Bukan itu sahaja, akhbar
Berita Harian (2016) juga telah memaparkan kes guru sambilan yang didakwa
memukul seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Baling
sehingga patah tulang tangan telah dihentikan perkhidmatannya serta merta. Melalui
kes ini, boleh dilihat dengan ketara bahawa guru tersebut sedang mengalami
stres yang agak serius sehinggalah beliau melakukan sesuatu yang agak ekstrem
dan telah mencemarkan nama baik sekolah tersebut.
Selain itu, guru yang stres juga akan
menyebabkan kesan yang negatif kepada rakan sekerja yang berada di sesebuah
sekolah tersebut. Menurut Sapora Sipon (2010), sesetengah stres adalah normal kerana
dos yang kecil boleh menjadikan sesuatu lebih positif. Walau bagaimanapun,
stres yang kerap berlaku dan berterusan dalam jangka masa panjang boleh mendatangkan
kesan yang negatif serta menjejaskan tahap diri dan mental seperti kemurungan.
Apabila seorang guru yang mengalami stres, pastinya akan berlaku masalah dari
segi sosial dengan guru-guru memandangkan seorang yang murung kebiasaannya akan
memencilkan diri dan mengelakkan diri daripada bergaul dengan sesiapa. Misalnya,
guru menunjukkan wajah masam kepada rakan sejawat ataupun sering menjadikan
kerja berkumpulan kurang bermutu. Secara tidak langsung, suasana akan menjadi
muram dan mungkin menyebabkan rakan tersebut terasa hati. Natijahnya, hubungan
antara rakan sekerja akan menjadi renggang dan suasana bilik guru juga agak
pelik serta tidak harmoni.
Bukan itu sahaja, perkara ini akan menjadi
lebih teruk sekiranya guru yang stres tersebut bertindak di luar jangkaan
seperti mengamuk dan memarahi mereka yang menegurnya memandangkan sesorang yang
menghadapi fenomena stres cenderung untuk bersikap berang. Akibat daripada itu,
keselamatan guru sekerja akan tercabar malah prestasi pencapaian rakan sekerja
juga terpengaruh kerana selalu bimbang akan keselamatan diri. Tambahan pula,
fenomena yang tidak diingini seperti mengumpat, berprasangka buruk dan wujudnya
puak-puak guru juga akan berlaku dalam kalangan guru yang mana bernaung di
bawah satu kerjaya profesional. Dengan itu, inisiatif perlu diambil oleh semua
pihak bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku.
Perkara
akan menjadi lebih serius apabila isu stres ditingkatkan dan bertukar kepada
burnout. Reddy (2007) telah menyatakan bahawa burnout merupakan hasil daripada
gabungan kesan faktor-faktor yang telah mencipta tekanan kerja sehinggalah
menyebabkan psikologi seseorang itu menjadi lemah. Menurut Wahab, Nordin, Ghani
dan Rajab (2010) pula, burnout boleh didefinisikan sebagai satu situasi di mana
seseorang individu tidak dapat merasakan kepuasan kerja dalam melaksanakan
pekerjaan mereka. Dalam hal ini, salah satu simpton burnout yang ketara boleh
dilihat apabila seseorang guru mula ponteng ke sekolah tanpa alasan yang kukuh.
Hal ini kerana guru yang mengalami fenomena burnout ini kebiasaannya kecewa,
tiada minat dan motivasi untuk bekerja di sekolah. Akhiar Pardi dan Shamsina
Shamsuddin (2011) juga telah menyatakan bahawa ponteng kerja merupakan perkara
serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Natijahnya,
ketidakhadiran guru secara suka hati ini telah banyak mengundang keburukan
kepada PdP.
Sebagai contoh, rancangan pengajaran yang
telah ditetap pada awal tahun tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar
dari perancangan asal dan hal ini menyebabkan perancangan baharu perlu disusun
semula. Murid-murid dikehendaki menanggung kesan-kesan negatif apabila mereka
tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik seperti UPSR yang
akan diduduki oleh murid Tahun 6 disebabkan kegagalan guru dalam menghabiskan
sukatan pelajaran. Akibat daripada perbuatan guru ini, kemungkinan besar
murid-murid yang diabaikan ini mendapat keputusan yang tidak memuaskan lantas
akan mengganggu gred sekolah tersebut. Dengan itu, jelaslah bahawa kepentingan
dalam mengatasi isu stres guru supaya murid-murid dan nama sekolah tidak akan menjadi
mangsa kepada masalah ini.
Seperkara lagi, kejadian bersara awal dan
peninggalan professional juga berlaku atas sebab stres dan burnout guru. Maslach
(2001) telah menyenaraikan enam simptom yang terhasil apabila seseorang
mengalami burnout dan salah satu daripadanya adalah bersara awal. Berdasarkan
kajian yang dijalankan oleh Sapora Sipon (2010) pula, tekanan kerja merupakan
penyumbang kepada guru untuk meninggalkan profesion perguruan. Sesungguhnya, fenomena guru mengambil keputusan bersara awal dan peninggalan
professional sering dikaitkan dengan
perubahan kurikulum baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Perubahan ini
dikatakan menyebabkan senarai tugas guru semakin panjang dan harapan masyarakat
kepada guru semakin tinggi, sedangkan keadaan lain tidak banyak berubah (Amla
Mohamad Salleh, 1994). Guru yang tidak bersedia dalam menghadapi perubahan ini akan
berasa amat kecewa kerana tidak mampu menangani tugas. Natijahnya, perasaan
tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional dan akhirnya membuat keputusan
untuk meletakkan jawatan, bertukar ke profesion lain atau memohon bersara awal
dari profesion perguruan.
Sebenarnya,
kes-kes bertukar ke profesion lain, persaraan awal atau peninggalan
professional akibat beban guru ini bukanlah
isu yang baharu lagi malah telah berlaku dari awalnya hingga masa sekarang.
Sebagai contohnya, menurut data Kementerian Pendidikan dalam tahun
1980, terdapat seramai 122 orang guru sekolah rendah dan 144 orang guru sekolah
menengah telah beralih ke bidang lain manakala pada tahun 1984 pula seramai 303
orang guru sekolah rendah dan 180 orang guru sekolah menengah juga mengambil
tindakan yang sama. Seterusnya, terdapat lebih kurang 6000 guru dari seluruh
negara memohon bersara awal setiap tahun dengan purata 500 permohonan setiap
bulan berdasarkan data yang diperolehi oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (KPPK) pada tahun 1999. Mengikut Ong Shi Fatt dalam akhbar China
Press (2014) pula, ststistik masa kini telah menunjukkan terdapat lebih kurang
10 peratus guru di Malaysia memilih bersara awal. Berita dalam akhbar China
Press (2016) juga menyatakan bahawa terdapat ramai guru memilih bersara awal
disebabkan tekanan yang diberi KPM dan juga ibu bapa murid-murid. Seorang guru yang
ditemu bual telah menyatakan bahawa keterlaluan beban tugas ini menyebabkan
beliau merasa tidak motivasi untuk mengajar. Beliau juga berkata bahawanya telah
bertimbang untuk bersara awal sejak enam tahun sebelum ini atas stres yang
dihadapinya.
Sehubungan dengan itu, pentadbir terpaksa
mengambil guru ganti bagi menggantikan kekosongan guru yang telah bersara awal
ataupun peninggalan profesional. Dalam hal ini, pihak sekolah selalu mengamalkan
pengambilan guru ganti yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar lepasan SPM
atau STPM yang tidak mempunyai pengalaman mengajar dan juga latihan ikhtisas
serta tiada kelayakan akademik yang sesuai bagi mengatasi kekosongan sementara
ini. Natijahnya, guru yang tiada kelayakan akademik ini akan menjejaskan
seluruh rancangan pengajaran yang telah ditetap pada awal tahun kerananya tidak
tahu pedagogi, pendekatan, kaedah dan juga teknik yang sesuai dalam membantu
murid-murid untuk mencapai hasil pembelajaran. Perkara ini seterusnya akan
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan serta membantutkan
usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap
kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikannya.
Memandangkan peningkatan kualiti dan
kecemerlangan pendidikan amat bergantung kepada golongan pendidik iaitu
guru-guru, maka, sewajarnya pihak-pihak seperti sekolah, JPN dan KPM perlu peka
dengan permasalahan beban kerja yang dihadapi oleh golongan ini. Hal ini kerana
golongan guru telah diklasifikasikan sebagai golongan terpenting yang
dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan impian dan matlamat negara untuk
menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Berdasarkan faktor-faktor dan
implikasi yang telah dibincangkan tadi, banyak usaha dan rancangan untuk
mencari penyelesaian yang sesuai hendaklah dijalankan agar mengatasi tekanan
emosi guru sekolah yang disebabkan beban tugas agar isu ini tidak akan
berterusan dan menjadi semakin serius. Persoalannya, apakah cadangan dan cara
yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah ini?
Pertamanya, kekuatan kepimpinan dalam
pengurusan sekolah amat penting dalam menangani isu beban tugas ini. Dalam hal
ini, guru besar yang mengamalkan konsep kepemimpinan berkarisma sering dapat
meningkatkan prestasi pencapaian dan imej sekolah di masyarakat. Hal ini
demikian kerana pemimpin yang berkarisma tidak hanya berorientasikan
pencapaian, malah juga bertenaga, penglibatan diri yang tinggi, bertimbang rasa
dan sensitif (House dan Howell, 1992). Menurut Weber (1947) pula, pemimpin
berkarisma mempamerkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah atau
mengharungi sesuatu krisis dengan berjaya. Apabila hal ini berlaku,
pengikut-pengikutnya akan mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi
terhadapnya. Tambahan pula, sikap keterbukaan pentadbir juga dapat mewujudkan
komunikasi berkesan antara guru dengan pihak pentadbir. Kesanggupan guru besar
untuk menerima teguran yang membina, bersedia mendengar dan menerima pendapat
serta mudah diajak berbincang dapat menyukakan hati para guru. Dengan itu,
tekanan guru akan dikurangkan kerana mereka boleh meluahkan perasaan, emosi dan
pendapat kepada pihak atasasn tanpa rasa ketakutan atau kebimbangan.
Selain itu, pemberian sokongan yang
maksimum daripada pentadbir juga merupakan salah satu langkah yang berkesan. Menurut
kajian terhadap guru-guru di sekolah rendah swasta yang dilaksanakan oleh
Weidner pada 2002, beliau telah mendapat maklum balas bahawa guru-guru yang
mendapat sokongan daripada pihak pentadbir didapati kurang berasa stres dalam
melaksanakan tugasnya. Hal ini demikian kerana guru akan merasa dilindungi,
dihargai, dimotivasi dan bukanlah beliau sahaja seorang yang menghadapi
masalah. Beliau akan berasa lega kerana terdapat sepasukan guru berganding bahu
bersamanya dalam menghadapi masalah-masalah. Bukan itu sahaja, sokongan fizikal
yang boleh diberi oleh pentadbir bersama pihak kerajaan termasuklah menaik
taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah terutamanya di kawasan pedalaman agar
menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif bagi guru. Kemudahan asas
sekolah juga perlu dilengkapkan dan program pemprosesan data dapat diringkaskan
serta penambahbaikan dilaksanakan ke atas semua sistem TMK agar urusan data
guru atau murid dapat dilaksanakan secara berpusat. Seterusnya, pihak sekolah
juga boleh mengaplikasi amalan perkongsian kemudahan dan infrastruktur dengan
sekolah lain dalam komuniti setempat misalnya padang, gelanggang ataupun perisian
dan makmal komputer. Dengan itu, kekangan sumber yang dinyata tadi boleh
diatasi dengan cara perkongsian sumber antara sekolah.
Di samping itu, pentadbir yang menunjukkan
rasa hormat dan sentiasa menghargai orang bawahannya sememangnya disenangi
semua guru. Dalam hal ini, ganjaran yang setimpal perlu ditawarkan kepada
guru-guru agar mereka merasa kerja dan usaha mereka dihargai. Peluang kenaikan
pangkat yang lebih banyak dan terbuka kepada semua guru tanpa mengira
pengalaman mengajar harus diwujudkan. Terdapat banyak anugerah perkhidmatan
seperti Anugerah Guru Gemerlang telah dilaksanakan namun tidak semua guru
diberi peluang untuk merasai anugerah tersebut akibat sifat pengetua dan guru
besar yang terlalu memiih kasih dan menetapkan sasaran yang terlalu tinggi
untuk guru-guru akademik. Pengharagaan seperti ini amat perlu diwujudkan di
setiap sekolah agar guru-guru merasai diri mereka dihargai oleh pihak pentadbir
dan masyarakat.
Dalam hal ini, teori kepemimpinan yang
disaran kepada pentadbir di sekolah termasuklah teori Kepimpinan Transformasi
yang dipelopori oleh Burns pada tahun 1978 untuk menggambarkan satu situasi
yang ideal antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut beliau, pemimpin
transformasi bijak menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk memujuk pengikutnya
supaya membawa perubahan dalam organisasi. Teori ini dicadang untuk diamalkan
di sekolah supaya guru besar menjadi seorang yang mampu menginspirasikan dan
memberikan pertimbangan secara individu, beroperasi berasaskan nilai dan
seterusnya mempengaruh guru-guru beranjak ke aras motivasi dan komitmen yang
lebih tinggi. Mengikut Bass (1985) pula, beliau menyatakan bahawa kepemimpinan
transaksi biasa diamalkan kerana pengikutnya akan mendapat ganjaran sebagai
satu penukaran barter kepada tugas yang dilaksanakan. Dengan itu, guru-guru
akan dimotivasikan untuk mencapai matlamat organisasi. Selepas meneruskan
kerja-kerja ilmiah Burns, Bass (1997) telah menyatakan bahawa gaya kepemimpinan
terbaik melibatkan transaksi dan transformasi supaya pengikutnya boleh mendapat
situasi menang-menang.
Seperkara lagi, Sergiovanni (1992) telah
mendefinisikan kepemimpinan moral sebagai suatu bentuk bimbingan yang
memotivasikan orang lain melalui prinsip-prinsip dan pegangan nilai yang
terpuji. Pentadbir sebegini tidak mementingkan diri dan selalu bertindak demi
kebaikan sejagat. Sekiranya pentadbir sekolah boleh mengamalkan gaya
kepemimpinan ini, maka bebanan dan stres guru-guru akan dikurangkan
memandangkan pentadbir sekolah telah melindungi hak, nilai sosial dan juga memperoleh
kepercayaan para guru. Dengan itu, jelaslah bahawa sikap keterbukaan pihak
pentadbir, sokongan yang maksimum dan juga penghargaan kepada guru akan
mendorong guru bekerja semakin bersungguh-sungguh dan mereka juga akan
menganggap stres sebagai tenaga serta kekuatan untuk mencapai kecemerlangan
sekolah.
Seterusnya, pihak pengurusan sekolah juga
harus memainkan peranannya dengan cekap iaitu prihatin dan selalu bersikap adil
dalam pengagihan tugas. Dari sudut prihatin, pihak sekolah sememangnya perlu
sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke
semasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah
tersebut. Contohnya, pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti
guru-guru yang mempunyai potensi mengalami tahap stres yang tinggi dan
seterusnya bekerjasama dengan kaunselor agar mengadakan sesi pertemuan untuk
membantu guru yang berkenaan untuk memahami dirinya dan orang lain, di samping
mendapatkan jalan penyelesaian alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam
menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan. Dari sudut
keadilan pula, pengagihan tugas yang sama rata dan jelas oleh pihak pentadbir
amat penting bagi menggalakkan kesamaran tugas. Sebagai contoh, pihak sekolah
harus merancangkan waktu jadual para guru dengan berpandukan kekosongan jawatan
di sekolah dan juga kemampuan akaunbiliti guru masing-masing.
Sementelahan pula, pihak kerajaan dan
sekolah seharusnya memainkan peranan dominan dengan mengadakan pelbagai bengkel
atau kursus untuk membantu guru dalam menangani masalah atau menyelesaikan
masalah. Dalam hal ini, jenis program atau kursus boleh dibahagi kepada dua
jenis iaitu salah satu untuk membantu guru menangani emosi atau pengurusan diri
dan satu lagi untuk membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan abad
ke-21. Bagi jenis bengkel pertama, ia amat diperlukan dan amat penting untuk
semua guru kerana guru merupakan harta negara kita. Pendidikan menjamin
terbentuknya modal insan dan juga kewibawaan negara masa depan. Sekiranya pihak
kerajaan tidak mempedulikan tekanan gangguan emosi guru dan tidak mengambil
apa-apa tindakan terhadapnya, mestinya kualiti pengajaran dan pembelajaran akan
terjejas dan generasi kita juga terpaksa memikul implikasinya.
Menurut Gold dan Roth (1993),
program-program ini secara umumnya bertujuan untuk mengelakkan kemunculan
situasi bekerja yang stres atau mengurangkan kekerapan masalah ini berlaku,
meningkatkan kesedaran guru-guru terhadap masalah-masalah stres kerja dan
merawat atau memulihkan individu-individu yang telah mengalami stres kerja. Dalam
hal ini, KPM, JPN dan PPD haruslah menganjurkan seminar, bengkel atau kursus
yang berkaitan dengan stres kerja dan cara-cara mengatasi atau mencegahinya.
Pihak sekolah juga harus melibatkan diri secara aktif dalam rancangan-rancangan
sebegini dengan memberi kerjasama yang maksimum supaya program yang dirancang
dapat diimplementasi dengan lancar dan berkesan. Pakar-pakar dalam bidang ini
perlu dijemput untuk merunding supaya segala strategi dan usaha yang
dilaksanakan berkesan dan dapat memanfaatkan guru-guru. Sebagai contohnya,
seseorang guru dapat memahami kekuatan dan kelemahan dirinya, mempunyai fikiran
yang serta bersiap sedia dan bersikap terbuka untuk menghadapi sebarang masalah
dan perubahan selepas menyertai bengkel pengurusan diri dan bengkel kerjaya.
Sehubungan dengan itu, terdapat juga program
atau bengkel yang bertujuan membantu guru dalam menangani cabaran pendidikan
abad ke-21. Dalam hal ini, kerajaan boleh mengadakan pelbagai program yang
boleh meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan guru serta
memperkenalkan strategi atau pendekatan baharu penyelesaian masalah supaya guru
boleh menyesuaikan diri dalam sebarang perubahan sistem pendidikan. Hal ini
kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa yang lebih kuat daripada pihak lain dan
juga mempunyai kuasa autokratik dalam membuat sebarang polisi atau perubahan. Dengan
itu, pihak kerajaan boleh mewajibkan semua guru sekolah untuk menghadiri
program atau bengkel-bengkel yang diadakan supaya mereka dapat dimanfaatkan
daripadanya.
Sekadar mengambil contoh, Program Jom Ke
Sekolah Peringkat Kebangsaan tahun 2017 telah dilancarkan oleh Menteri
Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala
Nerang, Kedah pada 5 Februari 2017. Menurut Mahdzir, program ini diharapkan
dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah laku
disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang
menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar
sekolah. Selain itu, terdapat juga
banyak kursus yang diadakan antaranya termasuklah Kursus Frog VLE, Bengkel
Pelaksanaan Sistem Pengurusan Inisiatif Sekolah ICTS dan sebagainya.
Sementelahan pula, guru seharusnya
mempunyai minat, ikhlas dan mempunyai harapan untuk memajukan diri. Hal ini
kerana professional perguruan bukanlah sesuatu kerjaya perkhidmatan awam yang
mudah, waktu kerja mereka bukanlah tetap dan kadang-kala memerlukan pergorbanan
masa dan wang diri sendiri untuk kebaikan murid. Sekiranya seorang guru tiada
amanah dan jiwa yang berkobar-kobar untuk berkorban untuk murid, pastinya
beliau mudah putus asa dan mengalami fenomena burnout. Sebaliknya, jika guru
tersebut mempunyai niat untuk memajukan diri sendiri, barulah beliau akan
berusaha mencari dan menghadiri bengkel-bengkel yang dirasanya sesuai dengan
diri sendiri dan bukan dalam bentuk paksaan. Sebagai contohnya, guru boleh
menghadiri kursus yang berkaitan dengan kemahiran pengurusan masa dan kemahiran
berkomunikasi seandainya ingin mengatasi kelemahannya. Dengan itu, jelaslah
bahawa minat dan sikap semula jadi seseorang amat penting dalam menghadapi
tekanan yang diundang daripada kerjaya.
Seterusnya, guru juga harus selalu
melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dengan rakan sekerja. Hal ini kerana
masalah yang dihadapi boleh dibincangkan bersama dan sikap-sikap positif
seseorang juga boleh mempengaruhi rakan sekerjanya yang pasif. Menurut Lieberman (1986), guru boleh
berkembang secara professional melalui kolaborasi kerana keupayaan untuk
berkolaborasi akan menggandakan keberkesanan terhadap sesuatu yang diusahakan. Kaedah
kolaborasi ini juga telah membawa banyak manfaat kepada ahli kumpulan antaranya
termasuklah boleh membina hubungan interaksi sosial yang lebih baik, membina
sikap sentiasa menghargai orang lain, membantu untuk mengikis sikap negatif
seperti sombong, bongkak, ego dan membenarkan komunikasi terbuka serta
memanfaatkan aktiviti perkongsian maklumat. Dalam hal ini, terdapat banyak
jenis kolaboratif dan salah satu adalah pengajaran berpasukan. Menurut Davis
(1984), pengajaran berpasukan merujuk kepada kaedah pengajaran yang dijalankan
oleh sekumpulan guru yang pakar atau mahir dalam pelbagai bidang dengan
membentuk sebuah pasukan pengajaran. Mereka akan bersama-sama merancang untuk
melaksanakan dan menilai semua aktiviti pengajaran dari mula hingga akhir.
Mereka juga dikehendaki membincang, membuat refleksi dan mencuba pendekatan
pengajaran yang lebih baik seperti apa yang dilakukan oleh murid kita.
Tambahan pula, terdapat juga jenis
kolaborasi yang terdiri daripada pelbagai guru yang mempunyai kecerdasan yang
berbeza. Mereka boleh mengongsikan pedagogi, pendekatan, bahan dan sumber PdP
antara satu sama lain. Mereka juga boleh membincangkan masalah yang dibawa
daripada inovasi dan perubahan-perubahan kurikulum serta minta tunjuk ajar
daripada guru cekap atau guru pakar. Sebagai contoh, terdapat guru yang masih
tidak mahir mengguna Frog VLE walaupun telah menghadiri bengkel berkenaan.
Beliau boleh melibatkan diri dalam aktiviti kolaborasi dan akhirnya cara-cara
mengatasi masalah ini mungkin timbul daripada perbincangan dan pertukaran idea
sesama rakan sekerja. Justeru, jelaslah bahawa tekanan guru dapat dikurangkan
dengan melibatkan diri dalam aktiviti kolaboratif.
Tambahan pula, seseorang guru patut
mengekalkan cara hidup yang sihat dengan bersenam, menjaga soal pemakanan
dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan masa dengan
keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok, minum arak,
berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat. Badan yang cergas akan
membentuk otak yang cerdas. Segala tekanan dapat dilepaskan apabila kita
bersenam atau beriadah. Hal ini kerana beriadah dapat mengurangkan stres
seseorang dengan mengalih fikiran mereka terhadap kerisauan dan kebimbangan
mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk menyelesaikan sebarang
masalah yang dihadapi. Sebagai contohnya, guru boleh menyertai kelas aerobik
dalam masa lapangan kerana aktiviti ini mampu menenangkan fikiran kita dan
menghilangkan stres seperti aktiviti yoga yang telah menjadi aktiviti kegemaran
orang ramai.
Seperkara
lagi, bersenam merupakan ubat semula jadi untuk mengurangkan kegelisahan dan
juga mengubati penyakit kesukaran untuk tidur. Seandainya seorang guru boleh
tidur dengan lenyuk dan mempunyai masa tidur yang mencukupi, mestilah emosinya
menjadi lebih tenang dan air mukanya juga akan dipenuhi dengan perasaan gembira
setiap hari. Dengan itu, guru tersebut akan menjadi lebih yakin dan bersifat
terbuka semasa menghadapi masalah. Sehubungan dengan itu, kita perlulah
memastikan makanan yang kita ambil seharian mempunyai zat yang berguna kepada
kestabilan kesihatan mental dan fizikal kita. Hal ini kerana pengambilan atau
amalan makan makanan yang berlebihan dan tidak teratur akan mengakibatkan kita
mengalami berat badan atau obesiti, kandungan kolestrol yang terlalu tinggi
yang mana punca kepada beberapa penyakit seperti darah tinggi dan kencing
manis. Bebanan kerja dan masalah kesihatan akan membuatkan seseorang itu
mengalami simptom stres dan kemurungan. Justeru, langkah yang berkesan untuk
mengelakkan terjadi masalah ini adalah mendapatkan nasihat daripada pakar–pakar
pemakanan yang diiktiraf.
Sehubungan dengan itu, penglibatan diri
dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu cara bagi seseorang guru
untuk menangani masalah stress. Hal ini demikian kerana agama dapat memberi
sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Seseorang
guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres
dengan baik dengan meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti-aktiviti yang
berkaitan dengan agama. Keyakinan diri yang tinggi pula dapat mengelakkan diri terpengaruh
dengan hasutan-hasutan daripada pihak yang berfikir negatif seperti rakan–rakan
sejawat kita atau ibu bapa murid yang berkemungkinan tidak berapa menyukai kita
atau cemburu dengan kejayaan kita. Serentak dengan itu, penampilan guru dari
segi sifat rohaniah dan kejiwaan juga dapat dipertingkatkan dan beliau akan
lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik dalam
kehidupan. Dengan itu, para guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam
hal-hal kerohanian kerana ia dapat memberikan perspektif yang betul tentang
kehidupan dan pekerjaan.
Secara keseluruhannya, cabaran pendidikan
ke-21 ini telah mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada kita memandangkan
strategi dan cara kita dalam menghadapinya. Terdapat cabaran yang boleh diatasi
dan menjadikan guru lebih positif dalam menjalankan PdP. Sebaliknya, terdapat
juga cabaran yang tidak boleh diatasi yang telah banyak mengundang keburukan
kepada guru. Walau bagaimanapun, minat dan kemahiran penyesuaian diri dalam
sebarang situasi amat diperlukan oleh guru untuk mengadaptasi dan menyelesaikan
pelbagai masalah masa kini. Tuntasnya, guru boleh berhidup dengan lebih
bermakna dan mempunyai pembelajaran sepanjang hayat sekira beliau cekap dalam
menghadapi inovasi dan perubahan pendidikan ini.
No comments:
Post a Comment