Pernyataan Profesional (sebelum praktikum)
Praktikum
ialah latihan praktik yang merupakan komponen wajib dalam program pendidikan
guru. Praktikum memberi peluang kepada guru pelatih untuk mengamalkan
pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi
sebenar bilik darjah dan sekolah. Pelaksanaan program peringkat ini memberi
tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran dengan bimbingan pensyarah
pembimbing dan guru pembimbing melalui perkongsian pintar.
Sebelum
menjalani tempoh latihan praktikum, saya telah mengikuti empat peringkat
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) semasa semester satu hingga empat. PBS ini
merupakan syarat yang perlu disempurnakan terlebih dahulu sebelum menjalani
praktikum. Saya juga telah mendapat taklimat daripada unit praktikum di dewan
Kirby pada 4 Februari 2016. Saya telah diberitahu bahawa latihan praktikum akan
dijalankan selama 1 bulan iaitu dari 15 Februari 2016 hingga 11 Mac 2016.
Penempatan
sekolah telah ditetapkan oleh pihak IPGM sendiri tetapi kami berpeluang memilih
pasangan sendiri. Dalam hal ini, setiap sekolah hanya dibenarkan
sekurang-kurangya dua orang sahaja untuk satu sekolah bagi setiap opsyen. Saya
dan rakan saya Chiah Jing Wen telah ditempatkan di SJK(C) Chung Hwa 2, Jalan
Bagan 1, Taman Bagan, 13400 Butterworth, Pulau Pinang.
Dua
minggu sebelum ke SJK (C) Chung Hwa untuk melapor diri, saya dan rakan saya
telah pergi meninjau lokasi sekolah tersebut. Kami telah bertegur sapa dengan
guru besar sekolah itu dan juga guru pembimbing kami. Sebagai seorang guru
pelatih, bimbingan serta tunjuk ajar dari guru yang berpengalaman amat penting
dalam melatih guru pelatih menjadi guru yang berjaya. Nasihat serta bimbingan
yang padu amat penting kepada saya sebagai seorang guru praktikal yang baharu
di sekolah tersebut. Bukan itu sahaja, kami juga cuba mengambil catatan masa
perjalanan dari institut kami ke sekolah. Hal ini demikian kerana dapat
memudahkan kami untuk ke sekolah menjalani praktikum. Masa perjalanan kami
hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja, lebih kurang 16-20 kilometer
dari institut kami.
Sebelum menjalani praktikum, saya mendapatkan pelbagai
tips tentang kaedah bagaimana mengawal bilik darjah dengan bijak melalui buku dan
laman web. Tambahan pula, saya juga telah membuat perancangan awal berkenaan
peraturan-peraturan yang perlu mereka patuhi sepanjang sesi pengajaran dan
pembelajaran yang saya jalankan. Saya akan mendenda murid jika mereka melanggar
peraturan. Sebaliknya, saya juga akan menghadiahi mereka hadiah sekiranya
mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa pengajaran dan pembelajaran
saya dijalankan. Saya turut merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang menarik minat murid dalam pembelajaran mereka di dalam bilik
darjah.
Akhirnya, saya mempunyai beberapa harapan terhadap
praktikum saya kali ini. Saya berharap praktikum yang akan saya jalani pada 15
Februari 2016 hingga 11 Mac 2016 akan berjalan dengan baik sepertimana yang
telah saya rancangkan.Saya berharap dapat menunjukkan peribadi dan sahsiah yang
baik sebagai seorang guru dan menjadi contoh baik kepada murid-murid SJK (C)
Chung Hwa 2. Saya juga berharap dapat bergaul mesra dengan guru-guru,
kakitangan sokongan sekolah dan ibu bapa serta penjaga murid-murid penduduk
sekitar jika berkesempatan. Walau bagaimanapun, sebagai seorang guru, saya
mestilah sentiasa bersedia dalam menghadapi segala cabaran yang datang kerana
sesungguhnya seseorang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan
atau tindakan, adalah sukar baginya untuk berjaya.
No comments:
Post a Comment