Punca Utama Masalah Disiplin
“Berikan aku 100 orang tua, aku akan mampu
menggoncangkan perahu tertangkup tetapi kalau aku diberikan 10 orang pemuda,
nescaya aku mampu menggoncangkan dunia.” Demikianlah kata-kata mantan Presiden
Indonesia tentang kepentingan golongan remaja dalam memacu sesebuah negara.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Demikianlah satu proklamasi yang
menggambarkan kepentingan golongan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi
Y dalam menerajui kepimpinan negara suatu ketika nanti. Usia remaja merupakan
tahap kritikal kerana pada peringkat ini mereka berada dalam tempoh peralihan
menuju alam dewasa. Namun, sayang seribu
kali sayang, dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang
mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan sahmura ini.
Menurut kajian yang sahih antara masalah yang membabitkan golongan ini sehingga
menjadi buah mulut orang ramai dan menimbulkan kontroversi ialah gejala
vandalisme, buli, gangsterisme dan entah seribu satu macam lagi gejala.
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah
disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan
membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena
ini. Sejak beberapa tahun yang lalu, masyarakat heboh memperkatakan tentang
segelintir pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pecah
rumah, ponteng sekolah, terlibat dalam gangster, bakar kereta guru dan juga kes
melarikan diri dari rumah. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita,
apakah punca utamanya masalah disiplin? Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang
mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.
Pertamanya, sebab masalah disiplin dominan
adalah dari aspek diri murid. Perkembangan kognitif, emosi, sosial dan fizikal
kanak-kanak berlaku pada kadar yang berbeza. Maka, setiap murid mempunyai
perkembangan yang berbeza dan juga tahap kemahiran mereka yang berbeza. Namun,
terdapat sesetengah murid yang akan menghadapi kesukaran dalam mengikut
pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-rakannya. Sesetengah murid mempunyai
kekuatan dalaman atau sokongan ibu bapa untuk menghadapi cabaran ini dan terus
berusaha. Tetapi, sesetengah murid akan respons dengan bersikap putus asa atau
cuba menutup kelemahan melalui helah bela diri, misalnya tidak menghiraukan pelajaran
atau ponteng kelas tersebut. Hal ini berlaku kerana tingkah laku seperti
ponteng kelas atau sekolah merupakan cara murid mengelakkan kegagalan, teguran
sinis daripada guru atau situasi yang mungkin menimbulkan perasaan malu. Bukan
itu sahaja, perasaan rendah diri yang timbul dari hati murid juga menyebabkan
murid mengasingkan diri, tidak bergaul dengan rakan dan tidak melibatkan diri
dalam kerja kumpulan.
Selain itu, keperluan fisiologi manusia
seperti makan, minum, tidur, keselamatan, kasih sayang, pengiktirafan, perasaan
kesepunyaan, perkumuhan dan penghormatan juga menjadi salah satu faktor yang
menyebabkan masalah disiplin dalam aspek diri murid. Hal ini demikian kerana sekiranya
keperluan-keperluan ini tidak dapat dipenuhi, maka murid akan berusaha untuk
memenuhi keperluan ini. Dalam hal ini, murid mungkin menimbulkan masalah di
dalam bilik darjah, misalnya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya untuk
mendapat perhatian gurunya.
Seterusnya, kanak–kanak di sekolah rendah memiliki
sifat ingin tahu dan keinginan untuk mencuba sesuatu baharu yang tinggi. Mereka
mungkin mudah dipengaruhi dan tertarik dengan pakaian, gaya bertutur, mimik
muka atau gaya berjalan yang dianggap “cool” yang telah diperhatikan oleh
mereka terhadap individu lain atau daripada media massa. Dengan percubaan gaya
baharu yang tidak sepatutnya, masalah tingkah laku telah ditimbulkan. Bagi
murid yang telah lama mengamal tingkah laku yang tidak sepatutnya, mereka
mungkin akan mempengaruhi rakannya. Kebosanan dengan aktiviti kelas juga telah
mendorong mereka melanggar peraturan, menipu atau mengganggu rakan dalam kelas
tanpa tujuan yang munasabah. Sekiranya perbuatan mereka dibiarkan, mereka
mingkin berasa seronok kerana terlepas daripada peneguhan dan hukuman.
Di samping itu, masalah emosi dalam kalangan
murid turut menyumbang kepada masalah disiplin dan tingkah laku di dalam bilik
darjah. Masalah ini boleh bersifat dalaman dan mingkin tidak jelas kepada guru.
Murid seperti ini tidak mempunyai kawan, sukar menyiapkan tugasan, kerap tidak
hadir ke sekolah, menunjukkan sikap afektif yang kurang sesuai misalnya
menangis, perasaan yang kerap berubah, tidak cergas atau malu. Sebaliknya
masalah emosi yang bersifat luaran lebih jelas kerana tingkah laku murid
menarik perhatian guru kepadanya. Murid ini menunjukkan sikap agresif, tidak
mengendahkan amaran guru, kerap tidak hadir ke sekolah, merosakkan harta benda,
membuli, mudah marah dan kurang perasaan empati atau perasaan belas kasihan.
Sekarang, mari kita lihat punca utama masalah
disiplin dari aspek latar belakang murid. Dalam hal ini, asuhan yang diterima,
taraf ekonomi keluarga, bilangan ahli keluarga, tempat tinggal, jiran dan
sebagainya telah banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku murid terhadap
sekolah. Sebenarnya, kekurangnya kawalan oleh ibu bapa dikatakan menjadi punca
utama berlaku tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana anak diibaratkan
sebagai sehelai kain putih dan ibu bapa yang mewarnakannya. Mengikut kajian
Sapora Sipon (2005), faktor pendapatan keluarga, kelas sosial, etnik, pengaruh
rakan sebaya, penyalahgunaan dadah, ketidakstabilan keluarga kesemuanya
menyumbang kepada masalah ponteng sekolah. Beliau juga menunjukkan bahawa
kebanyakan ibu bapa tidak sedar anak mereka ponteng sehingga guru membuat
aduan. Ibu bapa juga sering kali terpedaya dengan anak yang pandai berpura-pura
berkelakuan baik ketika berada di rumah. Kebanyakan ibu bapa tidak tahu bahawa
anak mereka sering melakukan salah laku di sekolah atau luar sekolah.
Sesungguhnya, kawalan daripada ibu bapa
terhadap anak yang bersekolah amat sukar dilakukan kerana dalam kehidupan kini
kedua-dua ibu dan bapa bekerja. Dalam kajian Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad
menunjukkan kesibukan harian inilah mengakibatkan banyak ibu bapa terpedaya dan
mengambil ringan terhadap tugas mengawas anak terutama anak yang masih di
bangku sekolah. Bagi pendapat mereka, sekolah sudah cukup bagi mendisiplinkan
pelajar dan menjaga anak pada waktu siang. Sedangkan dalam hal ini, guru hanya
dapat mengawal pelajar ketika waktu persekolahan sahaja. Di luar sekolah, tugas
itu amat sukar atau boleh jadi mustahil bagi guru membuat pengawasan dan
mengambil tindakan kerana guru juga mempunyai keluarga, anak, kawan dan
kehidupan mereka. Walaupun seseorang guru mencuba yang sebaik bolehnya, dia
tetap tidak dapat menggantikan tempat ibu bapa.
Sebenarnya ibu bapa atau penjaga sangat
berperanan dalam pembentukan dan pengawalan disiplin anak-anak mereka. Secara
tidak formal, kanak-kanak menerima didikan awal di rumah dari ibu bapa. Sebab
itulah anak diumpamakan seperti kain yang putih bersih maka ibu bapanyalah yang
banyak mempengaruhi pembentukan keperibadiannya. Dalam hal ini, terdapat
sesetengah ibu bapa yang bersikap tegas terhadap anak-anak mereka manakala
terdapat juga sesetengah ibu bapa yang jarang menunjukkan kasih sayang,
misalnya tidak memegang tangan atau memeluk anak mereka. Kanak-kanak yang
dibesarkan dalam institusi keluarga yang penuh dengan kasih sayang amat penting
dalam mengelakkan berlakunya masalah disiplin di sekolah. Hujah ini memang
tepat kerana cara asuhan yang berbeza amat mempengaruhi sahsiah murid-murid.
Sebagai analogi, murid-murid daripada keluarga penyayang lebih menunjukkan
kasih sayang kepada orang lain dan disenangi oleh rakan sebaya dan tidak
terlalu menuntut perhatian. Manakala murid yang kurang mendapat kasih sayang
atau perhatian di rumah akan cuba mendapatkannya daripada guru atau rakan sebayanya
dengan cara menimbulkan masalah disiplin di sekolah atau selalu melanggar
peraturan sekolah.
Sementelahan pula, Buku Developmental
Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Patterson
yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal dalam
keluarga yang dianggapkan sebagai tempat melahirkan tingkah laku antisosial dan
menentang. Feldman & Weinberger (1994) juga menerangkan bahawa penampilan
sikap negatif oleh pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah. Keluarga
yang selalu bertengkar, sentiasa mabuk, main judi, kaki perempuan, suka
berleter dan suka mengongkong anak-anak dan mengamal sikap benci-membenci akan
menyebabkan anak-anak mereka bersikap negatif tanpa disedari oleh masyarakat.
Konflik dalam keluarga, pergaduhan ibu bapa,
penceraian atau kehadiran adik baharu boleh mengganggu emosi kanak-kanak jika
perubahan ini tidak diurus dengan baik. Terdapat sesetengah ibu bapa suka
melepaskan geram kepada anak-anak atau meninggalkan anak dengan pengasuh serta
mengamalkan pilih kasih. Segala kerenah ini menjadi ikutan anaknya. Masalah
tersebut akan disalurkan melalui tingkah laku yang tertantu. Dalam hal ini, perasaan
kerisauan, perasaan marah atau kecewa yang terpendam akan dibawa ke sekolah. Anak-anak
sebegini akan mulai berani menentang ibu bapa dan keluarga sendiri untuk
mengurang tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku
akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka
kepada masyarakat nanti. Misalnya, perasaan marah terhadap ibu disalurkan
kepada guru perempuan atau rakan sebaya di dalam bilik darjah. Mereka mencari
jalan keluar secara drastik iaitu memberontak, melawan, kurang ajar, mengambil
dadah, hidu gam dan menjadi samseng. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan
juga lemah dalam pelajaran dalam kalangan mereka menyebabkan mereka selalu
dihukum dan gagal dalam peperiksaan yang seterusnya menyebabkan mereka tawar
hati untuk terus belajar.
Selain itu, kanak-kanak daripada keluarga
bertaraf sosioekonomi rendah mungkin tinggal di kawasan yang sesak, rumah yang
sempit dan perlu dikongsi bersama-sama adik-beradik yang ramai. Makanan dan peluang
penjagaan kesihatan yang diberi oleh ibu bapa juag sangat terhad. Dalam hal
ini, mereka berkemungkinan tidak mendapat segala yang dikehendaki seperti
rakan-rakan lain di sekolah. Kanak-kanak sebegini mungkin hadir ke sekolah
dengan pakaian yang kurang kemas, penggunaan dialek dan juga kurang pengalaman
dengan buku-buku atau bahan pembelajaran. Sesetengah guru tidak meletakkan
harapan yang tinggi terhadap kanak-kanak ini dan rakan sebaya juga mungkin
mengejek mereka tentang kemiskinan keluarganya. Hal ini akan menyebabkan mereka
merasakan diri mereka tidak pandai dan mempunyai perasaan rendah diri serta menghadapi
kesukaran dalam pergaulan harian.
Tambahan pula, kawasan tempat tinggal murid
turut mempunyai kesan ke atas tingkah laku mereka di sekolah. Sekiranya jiran
murid terdiri daripada golongan yang telah tercicir daripada sekolah,
kanak-kanak ini mungkin akan berpendapat bahawa dia sedang membuang masa di
sekolah dan tidak sabar untuk mula bekerja seperti kawan sejirannya. Dorongan
untuk keluar dari alam persekolahan bertambah sekiranya murid itu menghadapi
kesukaran dalam mengikuti pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Murid
tersebut akan lebih yakin terhadap pendapatnya dan mungkin menimbulkan masalah
di dalam kelas.
Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam
meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui
media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang
tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan
televisyen dan akhbar menunjukkan masalah disiplin remaja berlaku selepas
menonton filem berunsur ganas. Perkara ini perlu diberi tumpuan kerana ia
membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka terhadap sesuatu
perkara. Bukan itu sahaja, filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang
memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan
mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan. Kesannya akan meresap
secara halus ke dalam diri mereka tanpa disedari kerana remaja banyak belajar
melalui pemerhatian. Dengan itu, tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan media
massa memang mendorong masalah ini memuncak dengan drastik.
Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam
peningkatan masalah disiplin pelajar. Hal ini kerana golongan remaja kini
banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Ahli
sosiologi telah mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak
ataupun kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama. Kumpulan rakan
sebaya ini memainkan peranan sebagai agensi tidak formal yang memberikan
pengalaman yang tidak dapat diperoleh daripada keluarga dan juga di sekolah.
Bagi para murid, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan
pengganti ibu bapa terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah. Justeru,
mereka amat mementingkan rakan-rakan dan juga akan mencuba sesuatu yang baharu
dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri didorong
atas sifat ingin tahu. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan menyebabkan
disiplin pelajar itu turut merosot dengan drastiknya. Sudah terang lagi
bersuluh, murid perlulah bijak dalam memilih rakan jika tidak ingin terlibat
dalam masalah ini.
Terdapat juga faktor masalah disiplin
daripada aspek sekolah. Mengikut Waller (1939), asas segala
masalah disiplin di sekolah ialah pertentangan pendapat di antara guru dan
murid mengenai sesuatu keadaan di sekolah atas sebab mempunyai kemahuan yang
berlainan masing-masing. Gragey (1970), Maslow dan Rogers (1962), Boysen (1973)
dan Gordon (1974) berpendapat bahawa persekitaran persekolahan yang ketat
kawalannya akan meimbulkan keadaan tidak berdisiplin kerana murid-murid akan
menentang kawalan ketat ini dengan pelbagai kelakuan buruk seperti tidak menghormati
guru, tidak bersopan dan juga menentang guru. Jika guru terlalu garang sehingga
murid terlalu takut kepadanya, maka pertentangan terus tidak dibuat tetapi
perasaan geram akan disalurkan kepada orang ketiga yang tidak bersalah.
Kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan
telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini.
Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak
mahu imej sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan sesetengah murid beranggapan
bahawa tindakan mereka yang melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak
sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah juga menyebabkan pelajar semakin berani
melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah
disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin murid. Seterusnya, ketiadaan
program selepas sekolah yang sesuai dengan murid turut menjadi punca masalah
ini terus berleluasa. Hal ini demikian kerana program yang menarik dapat
menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan
terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Tuntasnya, peranan sekolah memang tidak boleh diabaikan.
Bukan itu sahaja, peranan guru juga amat
penting dan boleh menyebabkan berlakunya masalah disiplin murid. Hal ini
demikian kerana guru merupakan rol model dan sentiasa diperhatikan oleh
muridnya. Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab, tidak dapat mengawal
sendiri atau tidak menghormati murid, maka ada kemungkinan besar murid akan
menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Dengan itu, guru perlu
menunjukkan sikap yang baik dengan cara pertuturan dan bahasa yang baik dan
sopan kerana bahasa yang tidak sesuai boleh mencetuskan perasaan tidak puas
hati dan menyinggung perasaan murid dan murid juga akan meniru dan mengikut
gaya komunikasinya. Seperkara
lagi, guru perlu menunjukkan minat dan mengambil berat tentang muridnya. Jika
seseorang guru menunjukkan sikap tidak peduli, murid akan merasakan diri mereka
tidak penting dan kehadiran mereka tidak bermakna kepada guru tersebut. Murid
tersebut mungkin akan menunjukkan sikap disruptif semata-mata untuk mendapatkan
perhatian guru.
Izharnya, terdapat banyak faktor yang
mendorong kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun
demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak memainkan peranan
masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara
tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti
tinggi pada tahun 2020 dapat dicapaikan.
Pendekatan
Menangani Masalah Disiplin
Peranan
dan Tanggungjawab Ibu Bapa
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Setiap
ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi insan yang baik dan sempurna. Insan
yang baik ini diharapkan akan sekaligus menjadi anggota masyarakat dan warganegara
yang berguna. Namun, sayang seribu kali sayang. Kajian-kajian tentang masalah
disiplin di kalangan pelajar banyak menunjukkan kecondongan anak-anak yang
melakukan kesalahan berasal daripada keluarga yang tiada kejelekitan, terlalu
membiarkan atau terlalu keras dengan disiplin, kurang penyeliaan dan
sebagainya. Oleh itu, keutuhan institusi keluarga begitulah penting dalam usaha
menangani gejala sosial lantaran institusi keluarga diibaratkan seperti batu
bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam
usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara
besar-besaran. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita, apakah peranan
yang perlu dilaksanakan oleh institusi keluarga dalam menangani masalah yang
menjadi duri dalam daging ini?
Peranan yang dianggap dominan ialah golongan
ibu bapa wajar mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Mengapakah
dikatakan begitu? Hal ini kerana ibu bapa bertanggungjawab mengasuh anak-anak
mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak
sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh
kasih sayang dan kesabaran. Menurut Teori Maslow, salah satu keperluan
anak-anak ialah keperluan kasih sayang. Pemberian kasih sayang daripada ibu
bapa kepada anak-anak adalah amat penting dalam membentuk kestabilan emosi,
personaliti anak, kepuasan hidup dan sebagainya. Kasih sayang yang diberikan
oleh kedua-dua ibu dan bapa adalah sama penting. Namun, terdapat sikap
sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis
sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan atau materialistik yang
ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan urusan kerja
mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Sebagai uswah, ibu bapa perlulah
meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama dengan
anak-anak mereka pada hujung minggu. Ibu bapa haruslah sedar bahawa anak-anak
diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.
Remaja memerlukan perhatian, penghargaan dan
masa daripada ibu bapa. Ibu bapa patut menerima anak mereka sepenuhnya dan
bukannya membandingkan dengan anak orang lain. Hal ini demikian kerana kekuatan
rasa disayangi boleh menangani masalah disiplin yang dihadapi. Terdapat juga
ramai ibu bapa beranggap bahawa anak mereka sudah jelas dengan kasih sayang ibu
bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa kurang menyatakan perkataan “I love you” kepada
anak-anak walaupun amat sayang akan mereka. Menurut Jayesh Maniar (1998), ibu
bapa patut bukan sahaja menunjukkan kasih sayang melalui gerak geri tetapi juga
melalui perkataan. Dalam hal ini, tanda pemberian kasih sayang yang berkesan
ialah apabila anak itu dapat membalas dan menunjukkan kasih sayang mereka
kepada ibu bapa dan seterusnya kepada orang lain, misalnya kepada adik-beradik.
Dari semasa ke semasa, keperluan kasih sayang
anak-anak berubah. Persepsi kasih sayang remaja dan anak kecil adalah berbeza.
Misalnya, remaja akan beranggappan bahawa ibu bapanya menyayanginya jika
memberinya kebebasan yang lebih luas. Sebaliknya, ibu bapa mempunyai persepsi
yang berbeza tentang persepsi kasih sayang. Pada pendapat ibu bapa, kebebasan
yang diberi kepada anak mereka mungkin akan mendatangkan mudarat kelak. Pada
amnya, remaja akan bersikap ganas dan cuba menentang apa saja yang pada
anggapan mereka mengongkong kebebasan. Dalam hal ini, ibu bapa yang menghadapi
kerenah anak remaja seperti ini harus bersabar dan meneliti semula kesilapan
sendiri. Meskipun pada peringkat awal remaja memang sukar dikawal, tetapi jika
kesilapan diperbaiki dengan cara yang sesuai dan lembut, anak-anak akan memahami
kasih sayang ibu bapa dan juga menghormati mereka.
Bukan itu sahaja, pada masa yang sama,
golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang
sempurna. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Lantaran itu, ibu bapa perlulah menekankan kepentingan
ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral
mampu mendorong remaja membezakan antara intan dengan kaca lantas melatih
remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa
tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan
minum kepada anak-anak mereka adalah tidak betul. Sebenarnya, mereka juga harus
memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai
analoginya, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama
kepada anak-anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Justifikasinya, didikan agama yang dibekalkan dapat memastikan
anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan
rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam kancah maksiat atau tindakan yang mampu
memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.
Seterusnya, mengurus
dan mengawal tingkah laku anak-anak adalah tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa.
Dalam hal ini, ibu bapa harus selalu mengawal dan menyelia tingkah laku anak
mereka dan tidak boleh terlalu manjakan anak. Ibu bapa harus bertegur dengan
tegas jika anak melakukan perbuatan yang salah supaya mereka tidak akan
mengulangkannya lagi. Misalnya ibu bapa perlu menegur anak jika mereka bertengkar
dengan orang tua atau menggunakan bahasa yang biadap semasa pertuturan. Walau
bagaimanapun, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu memanjakan anak telah
mentafsirkan gelagat biadap seperti ini sebagai ‘cute’ dan hal ini akan membawa
tingkah laku yang lagi buruk pada masa depan.
Seperkara lagi, ibu bapa juga harus menyelia
program-program televisyen yang ditonton oleh anak supaya mereka tidak
dipengaruhi oleh unsur
negatif, misalnya menghalang mereka daripada menonton filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama,
akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Ibu bapa juga boleh memainkan peranan
dengan memberi komen-komen yang mengajar mana satu perbuatan yang baik dan mana
yang buruk sambil menonton. Dengan cara sedemikian, ibu bapa dapat berkomunikasi
dengan anak-anak mereka sambil merapatkan lagi tali perhubungan keluarga.
Sementelahan pula, ibu bapa harus sentiasa
bersaing dengan pihak-pihak lain untuk mendapatkan perhatian anak-anak. Cara
untuk mendapatkan perhatian termasuklah mewujudkan talian berkomunikasi yang
sihat dengan anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa tidak hendak mendengar
pendapat atau penjelasan anak-anak semasa berlakunya sesuatu perkara.
Lama-kelamaan, anak-anak akan tidak suka berkomunikasi dengan ibu bapa kerana
berasa ibu bapa tidak menghormati pendapat mereka. Dengan itu, kehilangan
peluang untuk berkomunikasi dalam sesebuah keluarga mendorong anak-anak mencari
tempat lain untuk mencurahkan perasaan. Orang yang paling suka didekati mereka
adalah teman-teman sebaya yang sanggup memberi sokongan moral dan simpati.
Topik-topik yang sering dibincangkan sesama sendiri termasuklah nilai minatnya,
seperti fesyen pakaian, gosip, hiburan, seks dan perkara-perkara yang
menyeronokkan. Kesan yang buruk termasuklah mereka mungkin berkongsi pendapat
dan mengukuhkan nilai-nilai negatif dalam kalangan mereka. Justeru, begitu
pentinglah ibu bapa dalam memainkan peranan memastikan talian komunikasi dengan
anak-anak berterusan. Ini bererti ibu bapa mendengar apa yang dicakapkan oleh
anak-anak, begitu juga anak-anak mendengar apa yang dicakap oleh ibu bapa.
Dengan itu, barulah ibu bapa dapat memahami segala masalah yang dihadapi oleh
anak-anak mereka dan cuba membantu mereka dalam menyelesaikan masalah mereka.
Sebenarnya, peranan ibu bapa dalam
mengatasi masalah disiplin mendatangkan banyak kebaikan. Hal ini demikian ibu
bapa merupakan orang yang terdekat kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga merupakan
orang pertama yang memasuki hidup sosial anak-anak. Mereka mendapat lebih
banyak peluang berinteraksi dengan anak-anak berbanding orang lain. Dengan itu,
patutlah mereka memainkan peranan dominan dalam mengurus dan mengawal tingkah laku anak-anak. Seterusnya,
kebaikan melibatkan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin termasuklah
mereka boleh menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapalah yang
dapat selalu berteman di sekeliling mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala
perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya
sedar bahawa mereka merupakan cermin kepada anak-anak. Cuba kita bayangkan,
dapatkah ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok mendidik
anak-anak mereka agar tidak merokok juga? Jelaslah bahawa ibu bapa sendiri yang
berkuasa untuk membentuk satu budaya keluarga yang sihat semasa mengasuh anak
mereka dan juga berusaha untuk mengelakkan anak-anak terdedah kepada amalan
yang kurang sihat. Mereka dapat membuat keputusan sama ada menjadi diri sebagai
teladan atau sebaliknya. Izharnya, cara-cara mengatasi masalah disiplin yang
diambil oleh ibu bapa adalah lebih efisien yang konsisten.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan
dalam mengatasi masalah disiplin murid jika ibu bapa memberi kebebasan yang
melampau dan bersikap yang terlalu lembut kepada anak mereka. Anak-anak yang
mempunyai ibu bapa sedemikian akan menjadi terlalu manja dan tidak menghormati
orang tua. Akibatnya, mereka tidak dapat hidup berdikari sepenuhnya dan juga sudah
tentunya akan memalukan keluarga misalnya mereka sering melakukan kesilapan
berulang kali sehingga ibu bapa terpaksa masuk campur dalam urusan mereka. Oleh
itu, untuk mengimbangi pertumbuhan anak pada peringkat awal remaja, ibu bapa
harus bertindak lembut dengan penuh pengertian dan kasih sayang. Layanan ibu
bapa hendaklah sesuai dengan pertumbuhan fizikal mereka. Tindakan yang mungkin
memalukan mereka hendaklah dielakkan. Dalam hal ini, ibu bapa patut lebihkan
memujuk daripada mengarah. Hal ini kerana remaja lebih suka mendengar pujukan
ibu bapa berbanding dengan arahan tegas yang diberi oleh ibu bapa mereka. Sudah
terang lagikan bersuluh, ibu bapa perlu menggunakan cara yang betul untuk
mengawal dan menjaga keperluan anak-anak supaya mereka tidak berberontak dan
dapat merasakan kasih sayang daripada ibu bapa.
Secara holistiknya, gejala sosial yang
menjadi api dalam sekam perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana api kecil
baik dipadam. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang
drastik dan ampuh bagi memastikan golongan remaja tidak akan dijangkiti
sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada
masa hadapan. Sesungguhnya, mereka perlu dibimbing agar menjadi modal insan
yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk
melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan dan
bukan retorik semata-mata.
Peranan
dan Tanggungjawab Sekolah
Apakah peranan sekolah dalam mengatasi
masalah disiplin murid? Sebenarnya,
peranan sekolah dalam mengatasi masalah disiplin juga mendatangkan banyak
kebaikan. Hal ini demikian kerana peranan institusi
sekolah adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan dalam membentuk
mental dan rohani pelajar. Menurut Noran Fauziah (1986), sekolah merupakan
sebuah institusi sekunder dalam masyarakat yang mempunyai fungsi formal bagi
mensosialisasikan generasi muda supaya mereka dapat mengambil alih peranan
generasi tua pada suatu hari nanti.
Dalam menghadapi arus globalisasi dan cabaran
alaf baru, pendidikan moral dalam kalangan generasi muda perlu diperhebat bagi
memupuk tingkah laku serta budaya hidup yang murni, di samping mewujudkan
persekitaran dan suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak yang murni
bagi melawan arus budaya kuning yang begitu kuat melanda persekitaran sekarang.
Sekolah perlu dapat menyediakan persekitaran fizikal yang kemas dan selesa.
Segala kemudahan yang diperlukan oleh murid-murid haruslah mencukupi seperti
kerusi meja, guru-guru, buku dan makmal. Ruang untuk bersukan dan rekreasi lain
juga harus pada tahap yang memuaskan.
Di
samping mempunyai fungsi mengekalkan kebudayaan, sekolah juga menjadi agen perubahan
sosial kerana melalui kemajuan dalam bidang pendidikan banyak teknologi baru
yang telah dicipta. Lazimnya ciptaan teknologi baru ini akan membawa kepada
perubahan nilai pula. Pendidikan moral juga perlu diajar kepada pelajar bukan
Islam, manakala pelajar Islam pula mempelajari moral atau akhlak dalam mata pelajaran
agama. Pendidikan moral atau akhlak ini bukan sahaja diberi secara langsung
sebagai satu mata pelajaran akademik, tetapi seharusnya juga dilaksanakan
secara implisit atau tersembunyi. Bukan itu sahaja, mata pelajaran sivik telah
diperkenalkan untuk membantu masyarakat mencapai keharmonian, toleransi dan
kefahaman yang mendalam terhadap tanggungjawabnya sebagai warganegara. Dengan
itu, masalah disiplin sekolah seperti merosakkan harta awam dan membuang sampah
sesuka hati akan dikurangkan dengan adanya kesedaran sivik yang tinggi.
Selain itu, pelaksananan disiplin di sekolah
perlulah tegas dan adil. Strategi melaksanakan dan mengawal disiplin perlu
bersesuaian dengan pelajar kerana pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang berlainan.
Pihak sekolah boleh menubuhkan satu perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
Dalam hal ini, guru yang pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat
menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar
murid yang terlibat dalam masalah disiplin berinsaf dan seterusnya mengikut
peraturan sekolah yang ditetapkan.
Namun,
sesetengah murid mungkin kurang terangsang
untuk berubah jika memberi kaunseling sahaja. Tanggungjawab menegakkan disiplin
tidak terhad kepada guru disiplin atau pengetua sahaja, bahkan memerlukan
kerjasama antara semua pihak. Dalam hal ini, semua guru adalah guru disiplin.
Bagi kes-kes tertentu seperti tingkah laku antisosial seperti merokok, ponteng
sekolah, mencederaan pelajar lain, tidak hormat guru atau melakukan jenayah
harus melaksanakan hukuman rotan ke atas pelajar-pelajar. Ini disebabkan murid yang
melakukan kesalahan disiplin tidak akan berasa sedih dan menyesal sekiranya
tidak dihukum atau dirotan. Mereka mungkin terus mengulangi kesalahan yang sama
jika hanya dinasihati dengan nada yang lembut. Dengan itu, hukuman rotan harus
dilaksanakan supaya murid lain dapat mengambil iktibar dan teladan apabila
melihat rakan mereka dihukum rotan. Pendek kata, kaunseling lebih baik
bertindak sebagai pemberi kesedaran manakala hukuman rotan adalah sebagai
pengajaran kepada kesalahan yang telah dilakukan oleh murid. Maka, pembentukan
seorang pelajar yang berdisplin memerlukan gabungan pendidikan secara lembut
iaitu kaunseling dan pendidikan keras iaitu rotan
Sementelahan pula, murid juga digalakkan
menyertai kokurikulum yang disediakan oleh sekolah sama ada dalam kegiatan
pasukan beruniform, kegiatan persatuan akademik atau pun kegiatan sukan. Hal
ini kerana dapat mengelakkan murid daripada menghabiskan masa dengan sia-sia di
kompleks beli-belah, panggung wayang atau tercebur dalam masalah disiplin yang dapat
merosakkan akhlak. Kebaikannya termasuklah kokurikulum mampu menyemai semangat
kekitaan dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan
agama serta mampu membina disipin pelajar yang kukuh. Dengan itu, dibuktilah
bahawa kokurikulum baik untuk memulihkan disiplin pelajar yang kian merosok
ini. Seperkara lagi, kegiatan persatuan yang dijalankan dapat mengembangkan
bakat murid dari segi berpidato, berbahas, berpantun serta kemahiran-kemahiran
berucap. Kelab–kelab sukan juga membantu murid meminati sesuatu permainan dan
dapat mengembangkan potensi mereka dalam permainan tersebut. Misalnya, Program
Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan
untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah.
Tuntasnya, jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum ini sedikit sebanyak dapat
membina sikap dan keperibadian murid dan serta mencegah murid-murid daripada
terlibat dengan perkara-perkara yang negatif.
Dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar,
guru turut memainkan peranan yang amat penting. Hal ini kerana guru boleh
dikatakan merupakan orang yang paling rapat dengan murid selain ibu bapa. Murid selalu menghormati dan percaya kepada guru.
Dengan itu, seseorang guru mestilah bersikap adil semasa mengendali sesuatu
perkara atau masalah disiplin murid dan menyiasat dengan teliti supaya tidak menyalahkan
orang yang tidak bersalah dan juga tidak terpedaya dengan tipu helah mereka.
Guru perlu diingatkan bahawa hanya guru yang bersikap adil akan dihormati dan
dipandang mulia oleh murid-murid.
Tambahan pula, guru haruslah mempunyai
perwatakan yang baik. Hal ini demikian kerana guru merupakan rol model dan
sentiasa diperhatikan oleh muridnya. Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab,
tidak dapat mengawal sendiri atau tidak menghormati murid, maka ada kemungkinan
besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Dengan
itu, guru perlu menunjukkan sikap yang baik untuk mengatasi masalah disiplin
murid. Sebenarnya, seseorang guru perlu mempunyai dua sikap yang bertentangan
iaitu tegas dan penyayang sekiranya ingin menjadi seorang pendidik yang baik. Hal ini kerana guru juga harus bertanggungjawab
membetulkan kesilapan dan kesalahan murid selain menyampaikan ilmu pengetahuan
dan memupuk kemahiran. Dengan itu, seseorang guru harus bertegas dengan
peraturan, prinsip dan kepercayaan. Guru yang tegas adalah guru yang cekap dan
mengambil tindakan susulan ke atas apa yang disuruh atau diarahkan. Guru juga
harus selalu membimbing dan membantu murid yang bersalah dengan menasihati mereka
dengan sabar dan penuh kasih sayang. Dengan mempunyai dua sikap ini, barulah
seseorang guru dapat menyakini pelajar mereka.
Peranan
dan Tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Setiap institusi sekolah tidak dapat
dipisahkan dengan PIBG yang dianggap sebagai penghubung pihak sekolah dan
masyarakat khususnya kalangan ibu bapa. Penubuhan PIBG adalah untuk memberi peluang
kepada guru-guru dan ibu bapa untuk berbincang dan merancang program
peningkatan serta memperbaiki pencapaian pelajar dalam sekolah. Dalam hal ini,
peranan PIBG dalam menyelesaikan masalah disiplin tidak boleh diabaikan. Secara
khusus, PIBG juga bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana persekitaran yang baik
bagi membolehkan pelajar mencapai perkembangan jasmani, rohani, akhlak dan
pemikiran yang seimbang. Dengan itu, bebanan dan tekanan murid dapat
dikurangkan selain kadar masalah disiplin diturunkan.
Di samping itu, PIBG juga haruslah mengadakan
aktiviti-aktiviti atau program sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik
mahupun prasarana sekolah. Selain mendapat permuafakatan dalam melaksanakan program-program
sekolah ini, hubungan antara ibu bapa dan guru juga boleh terjalin dengan rapat
dan pengawasan mereka terhadap anak-anak mereka akan menjadi lebih berkesan. Ibu
bapa juga boleh memahami tindak-tandus anak-anak mereka dalam sekolah. Jadi,
pelbagai masalah disiplin sekolah dapat diatasi melalui kerjasama dan perbincangan
kedua-dua pihak dan PIBG haruslah bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha memantapkan
peranan untuk menyampaikan ilmu, maklumat, kemahiran, pengalaman dan nilai
murni kepada pelajar.
3.4 Peranan
dan Tanggungjawab Kerajaan
Pihak kerajaan boleh memainkan peranan yang
penting dalam menangani masalah disiplin murid. Hal ini kerana pihak kerajaan
mempunyai autoriti dalam negara kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan
boleh menggubal undang-undang. Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan
dilaksanakan secara berterusan agar nilai-nilai murni dapat diamalkan oleh
golongan remaja. Sebagai contohnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
adalah satu program yang baik kepada remaja di Malaysia. Bagi remaja yang
melanggar undang-undang negara, tindakan tegas hendaklah diambil oleh pihak
kerajaan bagi membendung perlakuan negatif tersebut. Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan juga selalu menyokong
program sekolah dan juga memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti Kelab
Pencegahan Jenayah dan Disiplin untuk melatih dan memberi kesedaran dalam
kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya.
Tuntasnya, peranan dan tanggungjawab kerajaan sangat
besar dan tidak boleh dipandang remeh. Semua pihak haruslah bekerjasa untuk
mengatasi masalah disiplin murid ini supaya dapat membentuk modal insan yang
berguna pada masa depan.
Penutup
Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah
lama diperkatakan oleh masyarakat dan juga sering dihadapi oleh guru-guru
semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Bukannya mudah untuk
menguruskan masalah tingkah laku dalam kalangan murid-murid. Adakalanya ia
dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh menyebabkan
lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Namun, jika semua pihak
memainkan peranan masing-masing dengan menggemblengkan tenaga serta saling
berganding bahu bagai aur dengan tebing, pastilah dapat membentuk modal insan
yang berkuailiti dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi wawasan 2020.
内容丰富,完美,很少遇到会华语却国语也棒棒哒的,真的谢谢你,terima kasih x100000>~<
ReplyDeleteRibuan terima kasih. Jarang nampak orange yang faaih dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Cina. 真的很荣幸可以遇到你的作品:)
ReplyDelete内容丰富,完美,很少遇到会华语却国语也棒棒哒的,真的谢谢你,terima kasih x100000>~<
ReplyDelete不客气 哈哈 我也是参考很多人的再加加自己的
Delete