Thursday, 8 May 2014

Refleksi aktivti dan Penilaian Kendiri BIG 1PISMP

Reflektif: Aktiviti Water Confidence
Pada hari kedua, kami telah menjalankan aktiviti water confidence. Aktiviti ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada kami dengan menyesuaikan diri dalam air. Pada mulanya, saya amat takut dan rasa cemas semasa berada dalam air. Hal ini demikian kerana saya tidak tahu berenang dan takut akan air. Kadang-kala, saya tidak dapat mengawalkan kedudukan saya dan terapung-apung di atas air serta terlanggar-langgar oleh orang lain. Walau bagaimanapun, saya telah mengalakkan diri sendiri supaya menjadi lebih berani dan akhirnya saya telah berjaya menyesuaikan diri dalam air. Dengan bantuan jaket keselamatan, saya berasa menjadi lebih berani untuk berenang di dalam air.
Kekuatan aktiviti ini termasuklah jurulatih-jurulatih telah memberi arahan kepada kami supaya menjaga keselamatan diri sendiri semasa melaksanakan tugasan yang diberi oleh mereka. Jurulatih telah memberi banyak tugasan kepada kami semasa water confidence dijalankan, misalnya mengapungkan diri sendiri di atas air, meletakkan kedua-dua tangan di atas dada, membuat satu bulatan dalam kumpulan sendiri dan sebagainya.
Kelemahan aktiviti ini termasuklah kemudahan jaket keselamatan yang dibekalkan tidak sempurna. Hal ini terdapat beberapa helai jaket keselamatan yang kekurangan wisel. Pada pendapat saya, kelemahan ini dapat diatasi dengan memohon bantuan kerajaan untuk membeli jaket keselamatan yang baru.
Seterusnya, terdapat juga ancaman yang mungkin dihadapi dalam aktiviti ini. Sebagai contohnya, keselamatan diri telah diugut kerana tidak dapat memastikan ada apa benda-benda yang berada di dalam air. Seterusnya, matahari yang terik telah menyebabkan kepeningan sesetengah peserta dan saya juga mengalami ‘sun burn’.
Secara keseluruhannya, walaupun aktiviti air amat meletihkan, namun ia merupakan suatu pengalaman yang cukup hebat, bermakna dan menyeronokkan.

Reflektif: Aktiviti Berkayak
Dalam program Bina Insan Guru ini, saya telah menjalankan satu akitiviti air yang amat bermakna dan seronok. Saya telah berjaya mengaplikasikan nilai toleransi dan semangat kerjasama semasa berkayak bersama pasangan saya supaya aktiviti berkayak dapat dijalankan dengan lebih lancar. Melalui aktiviti ini, saya mendapati komunikasi yang berkesan juga amat penting dalam aktiviti berkayak selain semangat kerjasama. Hal ini kerana saya dan pasangan saya perlu berkayak dalam arah yang sama semasa ingin membuat pusingan atau bergerak ke depan. Dengan itu, barulah kayak dapat bergerak depan dan tidak akan membazirkan tenaga kami masing-masing.
Kekuatan aktivti ini termasuklah saya telah didedahkan kepada kemahiran berkayak dan pelbagai teknik kayuhan seperti maju ke depan, membelok ke kiri dan ke kanan dan mengundur ke belakang. Kekurangan aktiviti ini pula termasuklah masa yang diperuntukkannya agak singkat dan kami tidak sempat menikmati keindahan alam sekitar di atas laut.
Walau bagaimanapun, kami telah menghadapi masalah stamina semasa aktiviti berkayak. Hal ini kerana sesetengah peserta tidak mampu berkayak ke destinasi berkumpul. Mereka sangat penat dan letih lebih-lebih lagi berkayak dalam cuaca yang sangat panas. Pada pendapat saya, kelemahan ini dapat diatasi dengan bertambahkan masa untuk sesi aktiviti ini supaya kami mempunyai masa yang cukup untuk rehat. Selain itu, semua peserta juga harus membawa dan minum air yang banyak.
Kesimpulannya, saya telah mendapat satu pengalaman yang baharu dan berharga semasa melaksanakan aktiviti berkayak ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya dengan meminta tunjuk ajar daripada jurulatih-jurulatih dan rakan-rakan saya. Saya berharap mendapat peluang lagi untuk menyertai aktiviti yang sebegini pada masa depan. Sekian, terima kasih.

Reflektif: Orienteering
Dalam program Bina Insan Guru (BIG) fasa pertama siri 4/2014, kami telah menjalankan aktiviti orienteering pada hari ketiga. Orienteering ialah satu cabang pengetahuan berkaitan dengan teknik-teknik pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan menggunakan kemahiran membaca peta dan kompas.
Kekuatannya termasuklah orienteering merupakan sukan rekreasi yang memerlukan imbangan di antara koordinasi fizikal dan mental dengan baik. Peserta perlu mengemudikan arah dirinya dari satu titik kawalan ke satu titik kawalan yang lain dengan berpandukan kepada peta dan kompas yang diberikan yang telah ditandakan di atas peta dan ditentukan di permukaan bumi mengikut susunan tertentu. Selain itu, taklimat jurulatih yang jelas dan padat sebelum melaksanakan aktiviti ini juga merupakan kekuatannya.
Bagi kelemahan aktiviti ini pula termasuklah kemudahan yang terhad menyebabkan sesetengah peserta tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya. Misalnya, hanya dua kompas yang diperuntukkan dalam satu kumpulan. Dengan itu, orang-orang lain yang terdapat dalam kumpulan itu terpaksa mengikut arahan orang yang berpegang kompas itu dalam menentukan tempat dan membuat penanda. Pada pendapat saya, kelemahan ini dapat diatasi dengan bertukar giliran untuk menggunakan kompas semasa aktiviti dijalankan. Bukan itu sahaja, pihak berkaitan juga boleh memohon bantuan daripada kerajaan untuk membeli kompas secara mencukupi supaya semua peserta dapat menggunakannya.
Kebaikan yang saya peroleh daripada aktiviti ini termasuklah orienteering telah berjaya meningkatkan kecergasan fizikal dan daya tumpuan saya. Selain itu, aktiviti ini juga telah membantu dalam membina sikap positif, memupuk keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran pembacaan peta dan kompas. Saya juga mendapati semangat kerjasama antara ahli kumpulan dan komunikasi yang berkesan adalah sangat penting semasa menjalankan aktiviti ini. Melalui aktiviti orienteering, saya juga telah mempelajari cara menggunakan kompas dan cara menulis petunjuk. Saya dapat memberi arah dan sudut yang betul bagi menentukan sesuatu petunjuk.
Akhirnya sekali, terdapat juga ancaman yang mungkin dihadapi dalam aktiviti ini. Sebagai contohnya terdapat banyak nyamuk Aedes dan binatang-binatang bahaya yang mungkin membahayakan keselamatan peserta di dalam hutan ini.


Reflektif: Aktiviti Kembara
Kami telah menjalankan aktiviti kembara pada hari ketiga. Melalui aktiviti kembara ini, saya telah mendapati semangat kerjasama adalah amat penting dalam satu kumpulan. Sepanjang aktiviti kembara dijalankan, saya dan ahli kumpulan saya telah bekerjasama untuk melepasi segala kesukaran. Walaupun matahari hari itu sangat terik, tiada sesiapa daripada kalangan kami yang berputus asa. Kami telah memberi komitmen sepenuh hati dan teruskan perjalanan aktiviti kami dan tidak mengeluarkan rungutan.
            Saya mendapati ketabahan dan kegigihan amat penting dalam menjalankan aktiviti kembara ini. Hal ini kerana jalan di dalam hutan sangat sempit dan cerun. Kami berasa amat letih semasa sampai ke puncak bukit. Seterusnya, memasak dalam hutan adalah satu aktiviti yang kami perlu jalankan dalam BIG ini. Saya berasa seronok kerana inilah pengalaman pertama kali saya memasak dalam hutan tanpa sebarang peralatan masak.  Saya telah mencari bahan-bahan yang kering untuk menghidupkan api bagi memasak. Saya juga bersyukur kerana cuaca hari tersebut agak baik dan kami tidak mengalami hari hujan. Oleh itu, kami boleh memasak dengan cepat dan berefektif.
             Kekuatannya termasuklah taklimat jurulatih sangat jelas sebelum melaksanakan aktiviti ini. Selain itu, jurulatih juga selalu membimbing kami selama aktiviti dijalankan. Kelemahan pula termasuklah masa bagi aktiviti kembara ini terlalu singkat dan menyebabkan kami tidak sempat menghayati keindahan alam sekitar. Hal ini kerana kami terpaksa berjalan pantas untuk mencapai destinasi dalam masa yang ditetapkan.Saya bercadang untuk memanjangkan masa bagi aktiviti ini supaya kami sempat menikmati keindahan alam sekitar ini.
Akhirnya sekali, terdapat juga ancaman yang mungkin dihadapi dalam aktiviti ini. Sebagai contohnya terdapat tumbuhan-tumbuhan yang berbisa dan berduri yang mungkin membahayakan kesihatan dan keselamatan kami semasa aktiviti dijalankan.

Reflektif: Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) telah dibimbing oleh Encik Omar sepanjang program BIG diadakan. Pada waktu malam bagi hari pertama dan hari kedua kem BIG, kami telah berkumpul di tempat terbuka untuk menjalankan aktiviti LDK. Aktiviti ini telah memberi peluang kepada kami yang terdiri daripada 4 kelas untuk berkenalan antara sama lain.
Aktiviti ini telah berjaya memupuk sifat kerjasama setiap kumpulan. Pada hari pertama bagi aktiviti LDK, Encik Omar telah mengadakan pelbagai permainan kecil. Permainan kecil ini bertujuan untuk memperkenalkan diri sendiri dalam kumpulan yang telah ditetapkan. Kami dikehendaki mengingati lima perkara peribadi bagi ahli kumpulan kami masing-masing. Selain itu, kami juga dikehendaki mencipta satu slogan kata untuk memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan.
Kekuatan aktiviti ini termasuklah terdapat pelbagai aktiviti dijalankan semasa aktivti LDK. Hal ini demikian kerana pensyarah-pensyarah yang berkaitan telah memberi peluang kepada kami untuk bermain dalam kumpulan. Permainan-permainan kecil yang kreatif dan inovatif itu memang mencabar dan menark.
Manakala kelemahan bagi aktiviti ini adalah penglibatan dan respon para guru pelatih kurang meriah. Hal ini demikian kerana mereka berasa letih selepas menjalankan aktiviti lasak sepanjang hari. Di samping itu, kelemahannya termasuklah masa peruntukkan bagi aktiviti ini terlalu singkat dan semua peserta tidak sempat mengenali satu sama lain. Pada pendapat saya, kelemahan ini dapat diatasi dengan memanjangkan masa pengurusan diri supaya mereka dapat berehat secukup-cukupnya.
Ancaman LDK ini termasuklah aktiviti ini dijalankan di tempat terbuka, cuaca yang tidak baik seperti hujan akan menjejaskan kelancaran aktiviti ini. Seterusnya, kemungkinan juga berlakunya kecederaan semasa permainan kecil dijalankan. Hal ini kerana kami selalu berlari semasa bermain dalam kumpulan dan mungkin berlakunya terseliuh atau terluka.
Saya sedar bahawa kerjasama ahli kumpulan adalah amat penting untuk melakukan sesuatu rancangan kumpulan. Sekiranya terdapat sesetengah ahli yang tidak memberi kerjasama dan tidak mengeluarkan idea masing-masing, kumpulan itu pastilah tidak dapat mempersembahkan rancangan yang menarik.
Kesimpulannya, LDK yang dijalankan telah banyak membantu saya untuk lebih yakin apabila bercakap di hadapan orang ramai. Sebagai seorang bakal guru, saya telah mendapat pelbagai idea permainan kecil dan permainan kecil itu dapat saya gunakan pada masa depan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Reflektif: Aktiviti Slot Moral
Aktiviti slot moral bagi BIG siri 1/2014 telah diiringi oleh Encik Eow dan tutor bagi kelas masing-masing. Sesi slot moral dijalankan dua kali dalam sehari, slot yang pertama pada waktu subuh dan slot yang kedua pula pada waktu petang. Sesi ini adalah sesi moral bagi guru pelatih bukan beragama Islam manakala guru pelatih Islam pula menjalankan takhirah.
Kekuatan bagi aktiviti slot moral adalah aktiviti ini telah mengisi masa lapang para guru pelatih dengan berfaedah. Encik Eow telah berkongsi nilai dan pengajaran yang bermakna kepada para guru pelatih. Beliau juga berkongsi pengalaman beliau selama ini dan caranya mengatasi masalah sekiranya menghadapi sebarang cabaran. Saya telah menerapkan nilai yang disampaikan olehnya dan ia amat berguna kepada saya pada masa depan. Bukan itu sahaja, kekuatan aktiviti ini termasuklah kepelbagaian aktiviti yang dilaksanakan dalam waktu slot moral ini. Sebagai contohnya, terdapat ceramah, meditation, yoga dan perbincangan kumpulan dilaksanakan. Pensyarah-pensyarah yang bertanggungjawab telah melaksanakan tugasan dengan sempurna dan saya juga banyak menimba ilmu pengetahuan serta didedahkan dengan kebaikan ‘yoga and meditation’ semasa waktu slot moral.
Namun, tetapi juga kelemahan aktiviti slot moral ini. Terdapat sesetengah guru pelatih tidak menepati masa dan datang lewat semasa slot moral dijalankan. Perkara ini telah menyebabkan aktiviti slot moral bermula dengan lewat. Hal ini demikian kerana kesuntukan masa bagi guru pelatih untuk pengurusan diri. Di samping itu, perbincangan antara pensyarah dengan guru pelatih agak membosankan. Selepas menjalankan aktiviti seharian, guru pelatih sudah berasa letih dan tidak dapat menumpukan perhatian dengan sepenuhnya.
Ancaman bagi aktiviti ini adalah keletihan para guru pelatih telah menyebabkan aktiviti slot moral kehilangan interaksi antara satu sama lain. Sesungguhnya, saya juga berasa mengantuk semasa aktiviti slot moral dijalankan. Saya amat susah menumpukan perhatian terhadap perbincangan Encik Eow kerana saya terlalu letih. Saya bercadang bahawa sesi slot moral boleh dijalankan dengan lebih seronok dengan menjalankan pelbagai permainan kecil untuk menghiburkan para guru pelatih supaya keletihan dapat dihilangkan.
Nilai dan pengajaran yang disampaikan dalam sesi slot moral amat berguna. Nilai seperti taat setia, hemah tinggi dan sebagainya dapat dijadikan sebagai pedoman atau panduan dalam hidup saya supaya saya dapat melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik pada masa depan.
Akhirnya sekali, saya berharap aktiviti slot moral kem yang seterusnya dapat dijalankan dengan lebih lancar dan bermakna.
  
Penilaian Kendiri
Saya bersyukur kerana telah dapat mengikut semua aktiviti semasa kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di IPG Kampus Tuanku Bainun dan D’OMLAND.
Kursus BIG ini sebenarnya merupakan fobia bagi saya selama semester ini memandangkan majoriti kursus BIG ini adalah terdiri daripada aktiviti-aktiviti lasak yang sekaligus menguji ketahanan mental dan fizikal saya. Saya begitu bersyukur dan sangat gembira kerana saya dapat bertahan sehinggalah BIG ini berakhir selepas 4 hari 3 malam. Banyak pengalaman, kebaikan, dan manfaat yang telah saya dapat dan perolehi daripada aktiviti ini.
Pertama sekali, saya sedar bahawa pengurusan masa adalah amat penting demi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dengan masa yang telah ditetapkan. Hal ini penting kerana sekiranya sesuatu aktiviti telah bertangguh atau tergendala, ianya pasti akan menjejaskan atur cara atau aktiviti yang seterusnya. Kesannya, semua perkara terpaksa dijalankan dengan kadar yang lebih cepat dan menyebabkan kami menghadapi kekurangan masa bagi sesuatu sesi atau slot aktiviti.
 Sepanjang BIG ini, saya sentiasa patuh akan masa dan menasihati atau memberitahu akan rakan yang lain supaya membuat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, apabila saya terdengar bunyi wisel yang menandakan tiba masanya untuk pergi berkumpul, saya akan terus melepaskan segala kerja dan tugasan yang saya sedang buat dan berkumpul di tempat yang ditetapkan. Pendek kata, saya berpendapat bahawa sikap menepati masa haruslah dipupuk dari semasa ke semasa bagi memastikan sesuatu aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang baik seperti sikap keterbukaan, toleransi, kerjasama, tolong-menolong, kerajinan, kesabaran, ketabahan, dan sebagainya dalam diri saya. Hal ini demikian kerana sepanjang 4 hari dan 3 malam ini, saya dan rakan-rakan yang lain terpaksa melakukan banyak perkara yang tidak pernah saya lakukan dalam seumur hidup saya, seperti mendirikan khemah, berkayak, menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan di tepi pantai dan sebagainya.
Di samping itu, saya juga sedar bahawa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan adalah amat penting. Hal ini demikian untuk memastikan keselamatan kami terjamin dan demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Contohnya, saya telah didedahkan tentang peraturan dan undang-undang yang harus dipatuhi sepanjang 4 hari 3 malam ini seperti peraturan tentang aspek pengangkutan, pakaian, kawasan larangan, pergerakan, kebersihan, bilik air, menepati masa, tempat makan, adab makan, keselamatan, kecemasan, tazkirah, dan sebagainya. Begitu juga untuk setiap aktiviti, seperti aktiviti air dan aktiviti darat, arahan dan peraturan telah dijelaskan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti.
Aktiviti air dan darat merupakan cabaran yang baharu kepada saya kerana ia merupakan kali pertama saya berkayak di laut dan berkembara di dalam hutan. Saya berpeluang untuk mendekati lautan dan merasai keunikan alam sekitar. Saya turut merasai kesukaran menghidupkan api dan memasak di hutan rimba dan juga di persisiran pantai. Semua ini adalah sebagai persiapan kepada saya selepas menamatkan pengajian sekiranya saya ditempatkan di tempat pedalaman. Walaupun agak susah dan penat, tetapi ia telah membakar semangat saya untuk tabah meneruskan kehidupan dan lebih memahami hutan rimba dan lautan.
            Bagi cara-cara penambahbaikan pula, saya berpendapat program BIG ini akan menjadi lebih menarik jika sesetengah slot dan sesi diisi dengan aktiviti-aktiviti IQ yang mencabar, seperti stesen games, dilemma konflik, main peranan dan sebagainya. Permainan berbentuk stesen games merupakan salah satu cadangan yang sangat digalakkan. Dalam stesen games, setiap kumpulan haruslah menyelesaikan tugasan yang diberikan dalam setiap stesen, sama ada berbentuk fizikal atau mental. Setiap kumpulan hanya boleh pergi ke stesen yang seterusnya sekiranya mereka dapat menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Dengan ini, barulah semangat bekerjasama antara kumpulan dapat dipraktikkan dengan baik.
Tambahan pula, slot moral boleh ditambahbaikan dan dimurnikan dengan mempelbagaikan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Contohnya semasa slot moral dijalankan, kami boleh melakukan aktivti-aktiviti yang lebih menarik seperti berinteraksi, forum, perbahasan dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, program BIG ini merupakan satu program yang meninggalkan kenangan yang bermakna dan satu pengalaman baharu kepada saya. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program BIG ini. Saya berharap pada BIG yang seterusnya, saya akan lebih banyak menimba pengalaman dan ilmu bagi mencapai matlamat saya untuk menjadi seorang pendidik yang gemilang.





No comments:

Post a Comment