Saturday, 9 August 2014

Boneka

          Boneka ialah benda bukan hidup atau figura berupa manusia, haiwan atau apa-apa jenis benda lain yang dianimasikan atau dimanipulasi oleh sekurang-kurang seorang dalang untuk dipersembahkan dalam teater, filem atau televisyen. Boneka merupakan sebarang benda atau objek yang digeraklakonkan oleh pemain sama ada secara sentuhan atau arahan yang bertujuan menyampaikan mesej.Pelbagai objek boleh dijadikan boneka sekiranya objek tersebut digerakkan oleh pemain.Semasa menggerakkan boneka itu, pemain akan mencuba untuk menghidupkan watak sama ada menerusi dialog yang dipertuturkan oleh pemain aksi boneka tanpa suara.

Boneka (dari bahasa Portugis boneca) adalah sejenis permainan yang terdapat dalam pelbagai bentuk, terutamanya manusia atau haiwan, Boneka boleh dikatakan salah satu permainan yang paling tua, kerana permainan ini telah wujud pada zaman Yunani, Romawi ataupun Mesir lagi. Umumnya boneka dibuat sebagai permainan kanak-kanak, namun adakalanya digunakan untuk fungsi ritual yang berhubungan dengan alam atau hal-hal yang bersifat ghaib ataupun mistik contohnya upacara keagamaan pada zaman dahulu.

Selain itu, menurut kamus pelajar, boneka bermaksud barang permainan yang menyerupai orang atau patung orang.  Orang yang dianggap sebagai alat atau barang permainan.  Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi Ke 4 pula, mentakrifkan boneka adalah anak patung, anak-anakan. Patung yang boleh digerakkan dengan tali atau dengan memasukkan tangan ke dalam dan menggerakkannya. Biasanya boneka selalu digunakan untuk mengajar kelas pemulihan dan pra sekolah yang dijadikan sebagai bahan bantuan mengajar.  Selain itu boneka adalah salah satu hiburan untuk orang zaman dahulu seperti wayang kulit.  Boneka juga boleh dijadikan alat permainan untuk anak-anak kecil dan juga boleh dijadikan perhiasan bilik atau rumah terutamanya untuk anak perempuan. 
           

Sejarah ringkas boneka

          Puppet atau boneka berasal daripada perkataan Latin. Ahli sejarah berpendapat bahawa boneka telah mula dijumpai kira-kira 3000 tahun sebelum Masihi oleh orang-orang Mesir dan Cina. Bahan yang digunakan ialah kayu, tanah liat atau tulang binatang. Boneka yang lebih cantik dibuat daripada lilin dan gading gajah.Pada masa itu, boneka bukan dibuat sebagai barang permainan untuk kanak-kanak tetapi banyak digunakan untuk keperluan keagamaan atau upacara adat yang rasmi.

 Pada masa dahulu, bentuk boneka tidak menarik dan dikatakan sangat menyeramkan serta menakutkan sehinggakan kanak-kanak enggan untuk memilikinya.Boneka tersebut sangat kaku dan tidak boleh digerakkan.Boneka dengan kaki dan lengan yang dapat digerakkan dibuat pertama kalinya pada 600 tahun sebelum masihi.Pada abad ke 5 hingga 15, boneka masih tetap digunakan untuk keperluan keagamaan dan ritual.

Boneka Di Barat
Melalui perkembangan boneka dari zaman ke zaman, bolehlah nampaknya kemajuan teknikalnya dalam pembuatan boneka ini. Pada zaman 3000-2000 SM, boneka umumnya dibuat daripada tanah liat, tulang, mahupun patahan kayu dan potongan kain. Bentuknya masih amat sederhana dan memiliki fungsi ritual. Sebagai contohnya di Yunani dan Romawi kuno. Setiap anak perempuan harus memiliki boneka, kemudian dibuatkan bajunya dan wajib menyimpannya hingga menjelang pernikahan. Sebelum seorang perempuan membuat pernikahan, boneka itu wajib diletakkan di altar Artemis (untuk orang Yunani) ataupun altar Diana (untuk orang Romawi) untuk upacara keagamaan. Di Mesir kuno, boneka digunakan sebagai pengganti korban manusia.

Pada zaman 600 SM, terhasil boneka yang bajunya boleh sering ditukar ganti, kaki serta tangannya boleh digerakkan. Fungsi boneka masih sama seperti pada zaman sebelumnya, iaitu untuk upacara ritual. Boneka merupakan gambaran humanis. Semasa abad ke-5 iaitu abad pertengahan, bahan boneka dari kayu mula terhasil. Fungsi ritual boneka masih terasa pada zaman ini. Seperti di Mexico, bonekanya digunakan untuk perayaan Natal. Bagi suku Indian Hopi, boneka menjadi sumber penting dalam upacara kesuburan (memohon supaya diberikan kesuburan atau kemakmuran). Semasa abad ke-14, boneka moden mulai muncul di Eropah dan bentuknya sangat berbeza dengan boneka yang ada sebelumnya. Wajahnya cantik dan halus seperti manusia serta berdada. Pada zaman ini boneka tidak lagi bersifat ritual, Oleh itu, boneka menggunakan baju dan rambut yang benar- benar mirip dengan model pada zaman itu.

Semasa abad ke-15, boneka yang dihasil telah dikomersialkan. Fungsi boneka pun telah bertukar dari ritual menjadi permainan. Dalam sejarah tercatat, pembuat boneka secara komersial pertama berada di Jerman. Kota-kota yang memproduksinya termasuklah NurembergAugsburg, dan Sonneberg. Boneka tersebut diperbuat daripada kayu, lilin, dan tanah liat yang dipakaikan dengan pakaian bagi menggambarkan wanita di zaman itu. Sementara di British, Perancis, Itali, dan Belanda, membuat pakaian khas mengikut daerah bagi boneka daripada jenis yang sama. Boneka-boneka ini biasanya dijual sebagai cenderahati.

Semasa abad ke-16, bahan dan mutu boneka terus diperbaiki. Pada tahun 1636 mulai tercipta boneka yang rambutnya dibuat daripada rambut wanita sebenar. Semasa abad ke-17, boneka bukan hanya berbentuk wanita anggun, tetapi juga bentuk lain seperti bayi dengan baju tidur atau patung kecil dengan kostum kelasi. Penampilan boneka tidak lagi sekaku seperti dahulu dan bahannya juga tidak lagi menggunakan kayu atau tanah liat, tetapi daripada kulit lembut (soft leather) dan lilin supaya kulitnya tampak seperti manusia. Pembuatan boneka mengorak maju apabila  sebuah kilang telah Berjaya mencipta boneka yang dapat menangis pada 1710, manakala boneka yabg dapat berjalan pada 1735. Semasa abad ke-18, permulaan penghasilan boneka yang boleh menyebut perkataan "Papa" dan "Mama" apabila ditekan. Bunyi Ini terhasilkan dari kotak suara rekaan Johann Nepomuk Maelzel pada tahun 1827. Selain itu, bahan yang digunakan untuk membuat boneka semakin variatif seperti lilin, porselin, seramik dan sebagainya.

Perkembangan boneka semakin berkembang maju semasa abad ke-19, Para pembuat boneka saling bersaing untuk menghasilkan yang terbaik. Dengan itu, pelbagai karakter boneka muncul di pasaran. Antara yang terkenal adalah "Kewpie" (1913), boneka anak kecil yang berpipi tembam dan berperut besar buatan Rose O'Neill dari Amerika. "Raggedy Ann" (1918), boneka kain buatan Johny Gruelle yang mencerminkan kebaikan, keberanian, dan kejujuran, serta "Bye-Lo Babby" (1922), boneka bayi baru lahir yang boleh memejamkan mata pada waktu tidur buatan Grace Putnam dari Jerman. Pelbagai ekspresi dan elemen wajah boneka semakin lengkap. Dalam hal ini, Amerika telah berjaya muncul sebagai Negara pengeluar boneka terbesar di dunia pada akhir perang dunia pertama. Antara tahun 1925 dan 1941 industri pembuatan boneka akhirnya telah berjaya mencipta boneka yang hampir sama dengan objek yang ditirunya iaitu dengan mengenakan mata yang dapat mengerdip lengkap dengan bulu matanya, mulut yang dapat dibuka hingga memperlihatkan barisan giginya dan terdapat juga boneka yang dapat makan dan minum sendiri.

 Boneka di pasaran kebanyakan dibuat dari plastik dan vinil semasa abad ke-20. Kelebihan boneka tidak hanya dalam ekspresi tetapi juga stail. Contohnya Barbie yang muncul tahun 1959 diciptakan oleh Ruth Handler. Boneka remaja tersebut memiliki aksesoris, baju dan perlengkapan yang bermacam-macam dan rambutnya juga boleh dicuci, disikat sama seperti rambut manusia.

Boneka Di Malaysia

Suatu ketika dahulu, penggunaan boneka di Malaysia lebih kepada bentuk pemujaan, namun tidak dapat dinafikan boneka juga adalah merupakan alat mainan yang sangat popular di kalangan kanak-kanak, namun kedapatan juga yang dijadikan hiasan atau sebagai koleksi orang dewasa. Boneka seringkali dijadikan hadiah atau cenderahati kepada kanak-kanak terutamanya pada majlis hari jadi. Ia merupakan satu alat mainan yanag digemari oleh kanak-kanak semua bangsa di Malaysia. Terdapat banyak boneka yang hampir menyerupai menusia sehingga kedapatan kanak-kanak yang menjadikan boneka teman mereka. Boneka sebenarnya bukan saja menjadi barang mainan kanak-kanak, malah juga turut menjadi kegemaran sebahagian orang dewasa. Boneka dijual secara meluas di kedai-kedai alatan permainan dalam berbagai bentuk dan rupa, samada dalam bentuk manusia atau haiwan. Boneka yang terdapat di Negara ini diperbuat daripada pelbagai bahan misalnya, kayu, plastic, kapas, kertas, kain dan seumpamanya.


No comments:

Post a Comment