Saturday 14 May 2016

Sem 5 BIG Laporan Reflektif: Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Cemerlang SK Sungai Dua


Laporan Reflektif: Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Cemerlang SK Sungai
                                Dua
Saya sentiasa menanti-nantikan program BIG kali ini sepanjang semester ini kerana program BIG khidmat masyarakat pada semester lepas telah memberikan peluang kepada saya untuk belajar dan berinteraksi dengan keluarga angkat saya. Saya percaya program BIG kali ini akan memberikan satu pengalaman yang luar biasa dan mendalam bagi saya.

 Untuk BIG kali ini, guru-guru pelatih yang terlibat ialah dari 5 PISMP RBT dan PSV Ambilan Jan 2014, seramai 33 orang akan menjalankan program BIG di SK Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang. Sebelum menjalani program ini, kami menerima taklimat daripada pensyarah yang bertanggungjawab. Seterusnya, kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa dan juga mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh, lokasi dan aktivti-aktiviti yang berkenaan. Kami telah melaksanakan tugas masing-masing dan juga selalu mengadakan mesyuarat untuk tukar-menukar informasi sebelum hari itu sampai. Setelah perbincangan dibuat, kami telah bersetuju untuk memilih Sk Sungai Dua iaitu salah sebuah sekolah berprestasi tinggi untuk dijadikan tempat program BIG dilaksanakan. Ahli jawatankuasa bagi lawatan penanda aras ini telah berbincang serta memohon kebenaran bagi mengadakan lawatan penanda aras ke sekolah tersebut. Pihak Sk Sungai Dua telah memberi maklum balas yang positif untuk kedatangan kami ke sana. Kami berasa bangga dan terharu dengan penerimaan itu.

Sekolah Kebangsaan Sungai Dua merupakan sebuah sekolah berprestasi tinggi. Untuk makluman, sekolah ini telah mendapat pengiktirafan sebagai sekolah cemerlang bagi bidang Bahasa Melayu dan juga sukan bola sepak. Pogram Bina Insan Guru kali ini adalah agak istimewa kerana kami diberi peluang untuk meninjau dalaman dan luaran sebuah sekolah yang cemerlang. Program lawatan penanda aras ini bertujuan memdedahkan kami kepada alam persekolahan yang sebenar yang mana pembentukan iklim dan budaya kerja serta kepimpinan sekolah yang berkesan akan menjamin produktiviti sesebuah sekolah sebagai satu institusi pendidikan.

Pada 14 April 2016, guru pelatih yang melibatkan diri telah bertolak dari IPG Kampus Tuanku Bainun pada pukul 8 pagi. Sebaik sahaja tiba di SK Sungai Dua, kami telah disambut oleh PK Hem SK Sungai Dua dan beliau juga menjemput kami ke bilik mesyuarat untuk sesi seterusnya. Beliau telah menerangkan tentang sejarah sekolah, kemudahan yang ada di SK Sungai Dua dan pencapaian sekolah ini dalam bidang akademik mahupun sukan. SK Bandar Maharani telah mendapat pelbagai anugerah di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Ini dapat menunjukkan betapa guru-guru di sekolah ini bekerja kuat demi mengharumkan nama sekolah.

Setelah mendengar penerangan daripada guru penolong kanan, maka sesi kami disusuli dengan sesi bersoal jawab di antara pihak pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun dengan pihak sekolah. Kemudian, kami juga berpeluang melawat sekitar kawasan sekolah. Antara kawasan yang dilawati ialah bengkel kemahiran hidup, prasekolah, bilik gymnasium, sudut pembelajaran, bilik kaunseling dan bimbingan, makmal dan lain-lain lagi. Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang menjalankan sesi soal jawab dengan murid cemerlang bagi SK Sungai Dua. Kami telah menyoalkan pelbagai soalan untuk lebih memahami pemikiran dan cabaran yang dihadapi oleh murid cemerlang SK Sungai Dua. Akhirnya, kami telah makan petang bersama beberapa guru SK Sungai Dua selepas menghadiri majlis penutupan di dewan terbuka.

Terdapat beberapa kekuatan yang boleh saya dapati sepanjang melaksanakan program ini. Antaranya termasuklah semangat kerjasama dan bersungguh-dalam melaksanakan program ini. Kami telah berganding bahu dalam menyumbangkan idea, fikiran dan tenaga supaya program dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Selain itu, dengan adanya program sebegini secara tidak langsung saya dapat menambah dan mendalami dengan lebih mendalam mengenai bagaimana untuk berurusan dengan pihak luar.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa lubang-lubang kelemahan yang perlu diperbaiki supaya hasil dan objektif program yang direka dapat dicapai. Antara kelemahan yang ada pada program ini ialah aktiviti yang agak kurang dan pengurusan masa yang tidak sempurna. Aktiviti yang dirancang itu agak kurang dan menyebabkan kami terpaksa memanjangkan masa dengan mencari lebih banyak soalan untuk ditujukan kepada guru-guru di sana. Keadaan seperti ini sepatutnya perlu dielakkan pada BIG sem depan. Berdasarkan kelemahan yang telah dinyatakan di atas, saya mencadangakan bahawa pihak yang bertanggungjawab atas aktiviti boleh mengambil perhatian kepada pengurusan masa. Ajk-ajk juga perlu bekerjasama mencurahkan usaha yang lebih dalam penyediaan aktiviti yang lebih menarik dan padat untuk mewujudkan suasana interaksi yang lebih aktif dengan memastikan aktiviti yang disediakan adalah berkualiti dan menarik.

Seterusnya, terdapat juga ancaman yang ada dalam program ini. Cuaca hari itu agak panas dan semua guru pelatih berasa sangat panas dan letih semasa melawat sekitar sekolah itu. Kami berpeluh banyak dan berasa dahaga atas cuaca yang agak panas itu. Walaupun aktiviti amat meletihkan, namun ia merupakan suatu pengalaman yang cukup hebat, bermakna dan menyeronokkan.

Kesimpulannya, saya telah mendapat satu pengalaman yang baharu dan berharga semasa melaksanakan aktiviti ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya yang ada dalam aktiviti ini dengan meminta tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Saya berharap mendapat peluang lagi untuk menyertai aktiviti yang sebegini pada masa depan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment