Sunday, 15 May 2016

BIG Sem 5 Laporan Reflektif :Bengkel


Laporan Reflektif :Bengkel
Saya sangat bersyukur kerana saya diberi peluang untuk mengikuti program seminar ceramah mengenai “Budaya Keluarga” bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di IPGKTB pada 20 April 2016 yang lepas. Seminar ceramah yang disampaikan oleh Encik Ravindran ini mengambil masa kira-kira dua jam, iaitu dari pukul 2.00 petang sehingga pukul 4.00 petang. Sebenarnya saya sentiasa menanti-nantikan seminar bengkel ini. Sebenarnya, saya telah mendapat banyak ilmu pengetahuan daripada ceramah ini.

Seminar yang dimulakan dengan ceramah yang bertajuk “Budaya Keluarga” ini begitu menarik perhatian saya dari awal lagi. Semasa sesi ceramah, penceramah telah banyak menyedarkan saya tentang budaya baik yang perlu diamalkan dalam sesebuah keluarga untuk menjamin kebahagiaan. Sebagai contohnya, sebagai seorang ahli keluarga, kita harus taat kepada ibu bapa dan selalu mengamalkan amalan saling menghormati dan juga kasih sayang dalam keluarga.

Penceramah juga memberi teguran kepada para guru pelatih tentang ketidaksetiaan terhadap ibu bapa. Beliau menyatakan bahawa ibu bapalah orang yang membesarkan kita, kita seharusnya menghormati mereka dan tidak boleh bergaduh dengan mereka. Walaupun pendapat mereka kadang-kala telah tidak sesuai dengan masyarakat masa kini, namun kita juga harus bersopan dan bersantunan semasa berkomunikasi dengan mereka. Beliau juga minta kami membayangkan perasaan sekiranya anak kita tidak menghormati pada masa depan. Teguran dan nasihat ini sebenarnya banyak menyedarkan saya di mana situasi sekarang amat bertepatan dengan apa yang disampaikan oleh penceramah tersebut.

Saya telah mengenal pasti kekuatan bagi aktiviti ini iaitu aktiviti ini telah memberi peluang kepada semua guru pelatih untuk berfikir dan berbincang sesuatu isu secara bersama-sama. Contohnya, kami dikehendaki menjawab soalan yang ditujukan oleh penceramah. Selain itu, tempat berceramah di Dewan Kirby ini juga telah memudahkan proses penyampaian ceramah. Hal ini demikian kerana kedudukan para peserta yang berdekatan dengan kedudukan penceramah memudahkan kontrak mata di antara kedua-dua pihak. Dengan adanya kontrak mata yang berkesan, para peserta dapat memberikan fokus terhadap ceramah yang ingin disampaikan. Selain itu, kerjasama semua guru pelatih dalam menjayakan program ini juga merupakan salah satu kekuatan BIG ini. Walaupun bukan semua guru pelatih terlibat sebagai ahli jawatankuasa, namun arahan yang diberikan oleh pengerusi BIG telah dipatuhi oleh semua peserta. Kami juga sedaya upaya menjaga tingkah laku dan memberi kerjasama kepada penceramah. Apabila penceramah bertanyakan soalan, kami akan memberi respon dengan pantasnya

Kelemahan dan ancaman aktiviti ini pula termasuklah masa yang ditetapkan untuk aktiviti ceramah adalah tidak bersesuaian iaitu pada pukul 2.00-4.00. Hal ini kerana murid mudah tergantuk dalam waktu ceramah diadakan iaitu pada pukul 2.00 petang sehingga pukul 4.00 petang. Hal ini demikian kerana guru pelatih berasa letih selepas menghadiri kuliah sepanjang pagi hari itu. Mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup dan terpaksa menghadiri ceramah ini selepas kuliah. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa pengerusi aktivti ini boleh mencari suatu masa yang lebih sesuai bagi menjalankan seminarnya supaya guru pelatih tidak akan tergantuk dan dapat memberi perhatian yang lebih semasa ceramah diadakan.

Sementelahan pula, peluang yang saya peroleh melalui ceramah ini adalah saya dan para guru pelatih berpeluang untuk memahami dengan lebih jelas lagi mengenai budaya yang perlu diamalkan dalam sesebuah keluarga. Kami juga didedahkan tanggungjawab sebagai seorang anak terhadap sesebuah keluarga.

Secara tuntasnya, saya telah mendapat satu pengalaman yang bermakna dan juga menimba ilmu pengetahuan yang banyak selepas menghadiri ceramah ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya yang ada dalam aktiviti ini dengan meminta tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Saya berharap mendapat peluang lagi untuk menyertai aktiviti yang sebegini pada masa depan. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment