Sunday, 15 May 2016

BIG Sem 5 Penilaian kendiri: Sekolah Cemerlang


Penilaian kendiri: Sekolah Cemerlang
Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 5 ini telah meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya dan ia merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikut program Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Cemerlang SK Sungai Dua bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) Fasa 5 yang telah dilaksanakan di SK Sungai Dua pada 14 April 2016. Sesungguhnya, saya telah mendapat banyak pengalaman dan kebaikan menerusi aktiviti BIG ini.

Pertamanya, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang baik seperti sikap keterbukaan, kerjasama, tolong-menolong, kerajinan dan sebagainya dalam diri saya. Hal ini demikian kerana kami perlu menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan supaya masa untuk aktiviti tidak dijejaskan. Dengan itu, kami mesti bekerjasama, tolong-menolong dan juga rajin semasa melakukan kerja. Sebagai contohnya, pihak SK Sungai Dua telah meminta kami menyediakan satu persembahan untuk mempersembahkannya dalam majlis penutupan. Walaupun kami ada banyak kerja yang perlu dibuat dalam masa yang sama, namun, kami telah meluangkan masa untuk menyediakan persembahan itu.

Bukan itu sahaja, program ini juga secara tidak langsung dapat membantu kami mengenali rakan-rakan yang berasal dari kumpulan dan bangsa yang lain. Hal ini demikian kerana kami telah pergi ke sekolah tersebut untuk menjalankan program BIG bersama-sama dengan kumpulan yang lain, iaitu kelas PSV yang terdiri daripada 13 orang guru pelatih berkaum India. Saya sedar dan mengaku bahawa biasanya kumpulan kami yang terdiri daripada semua guru pelatih berbangsa Cina kurang bergaul dengan kumpulan-kumpulan lain, lebih-lebih lagi guru-guru pelatih yang berbangsa lain disebabkan oleh kursus pengajian dan masa kuliah yang tidak sama. Namun, dengan adanya program BIG ini, kami berasa bertuah kerana berpeluang bergaul dan berkongsi pendapat dengan mereka yang berasal dari kumpulan yang dinyatakan tadi. Daripada pergaulan dengan guru-guru pelatih yang berasal dari kumpulan lain sepanjang program ini, kami berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam mengenali masalah yang dihadapi, amalan budaya dan tradisi mereka, cara pergaulan mereka dalam kumpulan mereka dan sebagainya.

Sementelahan pula, cara pengurusan sekolah tersebut amat bagus dan boleh dikatakan cemerlang. Cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malahan dari segi kokurikulum. Guru-guru sekolah ini saling menghormati dan sanggup berkorban banyak untuk sekolah mereka. Mereka telah meluangkan masa dan tenaga yang banyak untuk mencungkil potensi murid serta mengasah bakat mereka. Selain itu, semangat waja dan budaya sekolah tersebut juga begitu mengkagumkan saya. Guru-guru di sekolah tersebut selalu memberi galakan, sokongan dan bimbingan yang aktif bagi melatih murid-murid mereka dalam bidang akademik atau sukan supaya murid-murid mereka menjadi lebih cemerlang dan dapat mewakili sekolah, daerah, negeri, negara dan antarabangsa dengan matlamat untuk mengharumkan nama sekolah. Mereka sangup datang ke sekolah walaupun waktu sesi persekolahan sudah tamat semata-mata untuk melatih anak didik mereka dan mereka inginkan kejayaan daripada hasil didikan itu. Hal ini secara tidak langsung telah menyedarkan saya bahawa sebagai seorang guru, kita tidak boleh terlalu berkira ketika diberikan sesuatu amanah dan setiap amanah tersebut hendaklah dilakukan dengan seikhlas hati serta bersungguh-sungguh.

            Tambahan pula, guru besar di sekolah tersebut juga memainkan peranan yang besar dalam menjadikan sekolah tersebut sebagai sekolah kluster dan sekolah berprestasi tinggi. Tanpa usaha dan galakkan daripada guru besar, sekolah tersebut tidak akan mampu mencapai apa yang mereka capai sekarang. Bukan itu sahaja, peranan setiap guru di sekolah tersebut juga sangat penting dan telah memberi impak besar kepada sekolah kerana tanpa kesudian mereka sekolah tersebut juga tidak akan Berjaya dan juga tidak akan mencapai prestasi yang tinggi. Hal ini secara tidak langsung telah menyedarkan saya bahawa tanpa kerjasama daripada semua pihak, kita tidak akan dapat berdiri sendiri. Jadi, hubungan yang erat antara pihak pengurusan dengan rakan sekerja sangatlah penting untuk menjadikan kita selesa bekerja di bawah satu bumbung yang sama.

Bagi cara-cara penambahbaikan pula, saya berpendapat program BIG ini akan menjadi lebih menarik jika terdapat aktiviti-aktiviti menarik lagi merangsang yang melibatkan murid-murid bersama. Dengan itu, berulah guru pelatih berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti itu dan berinteraksi dengan mereka secara aktif. Kekuatan saya dalam program ini adalah saya menjadi seorang yang lebih toleransi dan sabar. Hal ini demikian kerana saya perlu mengamalkan sifat-sifat ini semasa bekerjasama dengan orang lain. Dengan itu, barulah tugasan dapat disiapkan dengan sempurna dalam tempoh yang ditetapkan. Kelemahan saya pula termasuklah saya lemah dalam berkomunikasi dengan orang yang berbangsa lain. Hal ini demikian saya tidak fasih dalam berbahasa Melayu dan Inggeris. Saya perlu memikir panjang sebelum bertuturan. Saya akan mengatasi masalah ini dengan mempraktik menggunakan bahasa yang lain dalam pergaulan kehidupan seharian saya.

Jadi, ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan sepanjang lawatan ini. Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat akan saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Secara keseluruhannya, program BIG ini berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Saya berharap program ini bukanlah merupakan suatu penamat tetapi permulaan yang baik serta perlu diteruskan pada masa yang akan datang. Akhiranya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program BIG ini. Saya berharap aktiviti seterusnya dapat dijalankan dengan lebih bermakna dan saya berupaya menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi program BIG seterusnya.

No comments:

Post a Comment