Monday 27 November 2017

Refleksi Projek Pertandingan Mewarna Sempena Bulan Kemerdekaan

Refleksi Projek Pertandingan Mewarna Sempena Bulan Kemerdekaan
Ø  Kekuatan Projek
Terdapat beberapa kekuatan sepanjang tempoh projek berpasangan tersebut dilaksanakan. Antara kekuatan pertandingan ini ialah kami dapat mencungkil bakat murid-murid yang terpendam serta dapat memebantu murid melahirkan perasaan sebenar mereka dalam menghayati bulan Kemerdekaan.
Kekuatan kedua pertandingan ini pula ialah pertandingan ini amat disokong oleh pihak sekolah memandangkan pihak pentadbiran bersedia untuk memberikan peruntukkan yang sewajarnya. Hal ini demikian kerana projek ini membawa manfaat kepada semua murid dan juga pihak sekolah. Misalnya, semangat patriotisme telah dipupuk dalam hati murid dan juga guru-guru. Dengan itu, pihak pentadbiran memberikan hak mutlak kepada kami sepanjang proses persediaan dan pertandingan supaya apa yang dijalankan itu menepati kehendak kami sendiri.
            Kekuatan ketiga projek ini ialah kami mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada guru-guru mata pelajaran Pendidikan Seni dan juga guru pembimbing yang sentiasa memberikan maklum balas yang positif terhadap setiap projek yang telah kami jalankan di sekolah ini. Guru-guru juga tidak pernah lokek untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman mereka kepada kami untuk dijadikan panduan dan sokongan.
            Kekuatan keempat projek tersebut adalah menggalakkan guru pelatih berinisiatif dan aktif dalam melakukan sesuatu aktiviti dengan semangat berpasukan dan bekerjasama yang baik dengan rakan-rakan lain. Kami sentiasa berbincang dan mengongsikan idea sepanjang persediaan pertandingan sehinggalah membuat refleksi dan juga dokumentasi. Kami telah mengagihkan tugas masing-masing dan saling bekerjasama dalam proses pelaksanaan projek berpasangan tersebut supaya lancar dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
            Kekuatan kelima projek tersebut adalah memberikan satu peluang kepada guru pelatih untuk mempelajari cara melaksanakan sesuatu projek termasuk cara menulis kertas kerja, melaksanakan projek yang dirancangkan serta menulis laporan. Kami akan sentiasa memastikan kami melaksanakan langkah seperti yang telah dirancangkan supaya dapat menyiapkan projek tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan. Ini adalah kemahiran dan pengetahuan penting yang membolehkan guru pelatih menguasainya agar dapat digunakan semula pada suatu hari kelak.
Kekuatan keenam projek tersebut adalah menyedari kepentingan membuat refleksi sepanjang tempoh pelaksanaan projek. Refleksi perlu sentiasa dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas sesuatu projek dilaksanakan untuk melancarkan pelaksanaan projek dan mencari tindakan susulan yang sesuai demi menyelesaikan sesuatu masalah.

Ø  Kelemahan Aktiviti
Terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti semasa pertandingan ini  dijalankan. Kelemahan pertama ialah tempat pertandingan yang agak terhad untuk memberi ruang yang selesa kepada murid untuk mewarna. Hal ini demikian kerana murid telah dibahagikan mengikut prestasi pencapaian mereka dalam peperiksaan. Dalam hal ini, terdapat kelas yang menampung 40 lebihan orang murid dan terdapat juga kelas yang menampung 20 lebihan orang murid. Bilangan murid yang agak banyak dalam sesetengah kelas telah menyukarkan pergerakan murid semasa melukis dan mewarna, misalnya terdapat 42 orang murid dalam kelas 5K.
Selain itu, terdapat pergaduhan atau pertelingkahan yang berlaku di dalam kelas semasa pertandingan diadakan. Hal ini demikian kerana terdapat dalam kalangan mereka berasa marah selepas lukisannya ditiru rakannya. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak sebab yang menyebabkan pertelingkahan antara murid seperti kecil hati untuk meminjam barang ataupun rasa tidak dihormat semasa rakan membuat gangguan di tepi sepanjang pertandingan diadakan.
Seperkara lagi, saya mendapati kemahiran melukis majoriti murid adalah sederhana dan mengambil masa yang terlalu lama bagi melukis satu-satu objek. Mereka biasa melukis sesuatu objek dalam saiz yang kecil dan hal ini telah menyukarkan mereka semasa mereka ingin mewarnakannya dengan water colour. Akibatnya, terdapat banyak dalam kalangan mereka tidak sempat menyempurnakan lukisan mereka. 
Seterusnya, masalah kekemasan dan kebersihan kurang dititikberatkan murid. Dalam hal ini, boleh dilihat dengan jelas bahawa mereka telah mengabaikan kebersihan pakaian, kawasan mewarna serta kebersihan alat dan bahan yang digunakan sepanjang mereka melibatkan diri dalam aktiviti. Sebagai contoh, kelalaian murid semasa menakung air dan menukar air telah mengotorkan lantai dan menjadikan suasana dalam kelas lagi kelam-kabut.

Ø  Cadangan Penambahbaikan
Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan telah disenaraikan sebagai usaha untuk menambah baik kualiti pelaksanaan program sebegini pada masa-masa akan datang.  Pada pandangan kami, sewajarnya kami maklumkan terlebih awal kepada murid untuk meneroka lukisan dan lakaran gambar serta membuat latihan melukis yang berkaitan tajuk yang akan dilukis ketika pertandingan dijalankan. Maka, sedikit sebanyak keadaan ini dapat membantu memudahkan murid membuat lukisan kemerdekaan dan tidak mengambil masa yang terlalu panjang untuk berfikir dan merancang lukisan yang hendak dibuat ketika pertandingan sedang dijalankan.

Kedua, kami sebagai pengelola pertandingan sewajarnya meminta peserta menyediakan sendiri baju terpakai atau apron yang akan digunakan ketika hari pertandingan dijalankan. Langkah ini sebagai satu alternatif yang dapat membantu mengurangkan risiko kekotoran dan ketidakkemasan diri, alat dan bahan serta persekitaran sekolah.


No comments:

Post a Comment