Wednesday 22 April 2015

Hubungan etnik masyarakat Malaysia kini, banding beza Malaysia dengan Vietnam, cadangan mengukuhkan hubungan etnik dan refleksi

1.0    
        Berdasarkan suasana kehidupan pelbagai masyarakat di Malaysia, jelaskan situasi hubungan etnik masa kini.

1.1       Politik
Dari segi politik, Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Dengan mengamalkan demokrasi berparlimen, rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara dan menentukan hala tuju politik negara. Hal ini demikian kerana rakyat berpeluang membentuk kerajaan sendiri kerana sistem demokrasi berparlimen ini telah memberi ruang dan peluang kepada rakyat memilih pemimpin. Dalam hal ini, rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya dan mereka berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam proses pengundian semasa pilihan raya. Sistem yang mengamalkan pengkongsian kuasa ini dapat memastikan pemimpin tidak berkuasa mutlak dan keadaan ini telah menjamin masa depan negara yang lebih baik.
Di Malaysia, terdapat tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC. UMNO didominasi oleh orang-orang Melayu, MCA didominasi oleh orang-orang Cina dan MIC didominasi oleh orang-orang India. Walau bagaimanapun, perpaduan etnik telah membentuk parti perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Parti perikatan terus berlangsung sehingga kini walaupun wujud persaingan dengan parti pembangkang yang lain Permuafakatan ini telah diperkemaskan lagi dengan penyertaan beberapa buah parti yang lain dan diubah namanya kepada Barisan Nasional(BN). Kejayaan BN adalah bertitik tolak dari formula tolak ansur antara etnik. Ia telah berjaya mewujudkan keharmonian etnik dan ini telah memberi peluang kepada kerajaan untuk memberi fokus kepada soal pembangunan negara.
 Sebenarnya, sistem demokrasi berparlimen ini telah memperkukuhkan perpaduan. Hal ini demikian kerana semua kaum akan berasa hak mereka terpelihara dan pentadbiran yang diamalkan juga sangat adil dan saksama. Dengan itu, kestabilan politik dapat dihasilkan dan hubungan etnik rakyat juga menjadi lebih rapat kerana kebajikan semua kaum telah dijaga. Buktinya rakyat Malaysia berbilang kaum tetapi mereka saling menghormati budaya dan agama masing-masing. Seterusnya, Perlembagaan Malaysia juga telah menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Selaras dengan peredaran masa, beberapa pindaan perlembagaan dibuat untuk menyesuaikan sistem pentadbiran dengan perkembangan politik semasa.  Dengan itu, jelaslah bahawa sistem demokrasi berparlimen di negara kita berjaya mengekalkan kerajaan yang adil, sejahtera, dan stabil.
Akhirnya, Malaysia juga telah menubuhkan beberapa jabatan untuk menjamin kestabilan politik dan perpaduan semua kaum. Contohnya, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional merupakan salah satu agensi yang cuba menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Jabatan ini bertanggungjawab memupuk persefahaman dan semangat muhibbah antara masyarakat ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan beridentiti nasional. Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan juga berperanan menyalurkan informasi dan maklumat mengenai kenegaraan dan isu-isu semasa melalui Portal Pusat Maklumat Rakyat. Melalui portal ini, masyarakat dapat mengetahui pelbagai maklumat kenegaraan seperti dasar-dasar, perlembagaan, undang-undang, fakta dan sejarah di Malaysia. Penyebaran maklumat dan fakta ini seterusnya dapat meredakan sedikit ketegangan kaum dan politik di Malaysia.

1.2       Ekonomi
Sebelum merdeka, ekonomi Tanah Melayu agak mundur kerana bidang ekonomi telah dikuasai penjajah dan etnik Tanah Melayu juga terpisah-pisah kepada pelbagai bidang pekerjaan untuk mengelakkan perpaduan rakyat Tanah Melayu. Contohnya, kaum Melayu telah melibatkan diri dalam pertanian sama ada menjadi petani atau pun nelayan. Manakala kaum Cina bekerja sebagai peniaga dan kaum India bekerja sebagai buruh lading atau penoreh getah.  Setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha untuk membaiki keadaan tidak seimbang tersebut. Antaranya termasuklah Dasar Ekonomi Baru(1970) yang bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi, Dasar Pembangunan Nasional (1991) yang bertujuan untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang bersadu padu, Dasar Wawasan Negara(2001) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi Malaysia, Model Ekonomi Baru(2010) yang bertujuan untuk mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing dan membangunkan tenaga kerja berkualiti serta Polisi Ekonomi Bumiputera(2013) yang memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah oleh bumiputera. Semua dasar dan program pembangunan dirangka dan dilaksanakan demi untuk mencapai kemajuan menyeluruh meliputi semua lapisan etnik di negara ini.
Menerusi usaha semua pihak, keadaan ekonomi Malaysia sekarang menjadi lebih mantap dan maju selepas pelancaran pelbagai rancangan-rancangan yang dinyatakan tadi. Semua kaum telah melibatkan diri dalam bidang pekerjaan yang disukainya dengan berdasarkan keupayaan dan kemahirannya.  Masyarakat Melayu di Malaysia kini telah keluar daripada pekerjaan petani dan menghadap ke arah pekerjaan berteknologi tinggi serta pekerjaan berprofesional. Sama juga dengan masyarakat India di Malaysia kini, mereka telah keluar daripada pekerjaan penoreh getah dan telah memegang jawatan-jawatan peringkat tinggi. Mereka telah menceburi dalam pelbagai bidang pekerjaan seperti perubatan, pendidikan, ahli kejuruteraan dan sebagainya. Manakala masyarakat Cina pula, mereka juga melibatkan diri dalam pelbagai pekerjaan yang sama seperti masyarakat Melayu dan India.
  Sebagai buktinya, masyarakat Melayu kini aktif melibatkan diri dalam perniagaan dan perindustrian. Ini dapat dilihat melalui pelbagai kursus keusahawanan dan peluang perniagaan kepada usahawan baru. Pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang fokus kepada melahirkan usahawan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri  manakala Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah pula bertanggungjawab membangun ekonomi luar bandar bagi mengurangkan jurang ekonomi masyarakat dengan menggunakan potensi yang ada di luar bandar. Kesannya, wujudlah banyak usahawan di Malaysia. Terdapat banyak tokoh usahawan yang terdiri daripada orang Melayu. Misalnya, Syed Mokhtar Al-Bukhari yang berasal dari Kedah merupakan tokoh usahawan yang berjaya. Kekayaan beliau telah mencapai RM8.84 bilion dan telah menjadi ke-7 terkaya di Malaysia serta ke-32 terkaya di Asia Tenggara pada tahun 2005. Antara syarikat yang dimiliki beliau termasuklah Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), BERNAS, Gardenia, Bank Muammalat dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga usahawan yang berjaya seperti Datuk Mokhzani Mahathi yang menjalankan perniagaan dalam industri Gas dan Petroleum, Azman Hashim  yang merupakan pengerusi Ambank Group yang merupakan bank ke-5 terbesar di Malaysia dan lain-lain lagi.
Di samping itu, terdapat juga artis-artis yang berbangsa Melayu dan India di Malaysia yang terkenal. Contohnya, Siti Nurhaliza binti Tarudin merupakan seorang penyanyi, penulis lagu, penerbit dan ahli perniagaan berasal dari Malaysia. Sepanjang kerjaya beliau dalam dunia hiburan, beliau telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan juga luar negara. Dato' Sudirman bin Haji Arshad juga merupakan artis yang berbangsa Melayu. Beliau seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia dan mulakan pekerjaannya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976. Manakala Guy Theodore Sebastian pula merupakan seorang artis India yang terkenal. Beliau merupakan pemenang menulis lagu pertama dari Australian Idol in 2003. Selain itu, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor juga merupakan seorang pelakon Malaysia yang menjulang namanya melalui kejuaraan Malaysian Idol musim pertama pada tahun 2004. Beliau dikenali dengan suaranya yang lunak dan bakat menyanyi yang dianggap mantap, bersemangat dan mengagumkan. Artis-artis yang berbangsa Cina di Malaysia termasuklah Tan Sri Michelle Yeoh Choo Kheng yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon Malaysia yang tinggal di Hong Kong. Beliau telah dipilih oleh Majalah People sebagai salah seorang daripada 50 wanita paling cantik di dunia pada 1997.
Seperkara lagi, semua kaum boleh dikatakan telah amat aktif dalam pendidikan. Misalnya Dr Muhammad Afifi al-Akiti merupakan seorang pensyarah pertama yang menjadi tenaga pengajar di universiti terkenal dan paling berprestij dunia iaitu Universiti Oxford. Selain itu, keunggulan pelbagai kaum juga dapat dibukti semasa kebanyakan penerima anugerah tokoh guru dari keturunan kaum Cina, Melayu dan India. Antara penerima anugerah tokoh guru dalam tahun 2012 termasuklah Puan Lim Ai Lee, Tuan Haji Mohd Azman Bin Abdul Rashid, Datuk Mary Yap Kain Ching, Dato’ Haji Ahmad Adzmey Bin Haji Abu Talib dan lain-lain lagi. Jelaslah bahawa ekonomi negara kini lebih mantap dan semua pekerjaan telah dipegang pelbagai kaum dan semua rakyat hidup dan bekerja secara harmonis serta bersatu padu.

1.3       Sosial budaya
Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia kini terjalin erat dan juga dapat hidup secara aman dan harmonis selepas pelancaran pelbagai rancangan oleh pihak kerajaan. Pertamanya, slogan “1 Malaysia” yang dilancar oleh Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia untuk memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Selain itu, Malaysia telah mengamalkan Dasar Sosial Negara(DSN) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat atas kesedaran bahawa pembangunan sosial merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada kemajuan negara. Sesungguhnya, matlamat DSN adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Seterusnya, negara kita juga telah mengamalkan dasar kebudayaan kebangsaan untuk melahirkan cara hidup rakyat yang bersifat keMalaysiaan. Dalam hal ini, kebudayaan nasional menjadi asas kepada pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan etnik. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia yang diwujudkan adalah untuk mengukuhkan perpaduan bangsa, memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan.
Antara amalan masyarakat Malaysia adalah rumah terbuka. Rumah terbuka diadakan oleh semua etnik apabila tiba musim perayaan. Semua etnik kunjung-mengunjungi antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama. Amalan ini memperlihatkan usaha pelbagai etnik untuk mencari keserasian dan kesamaan agar perayaan dapat dirayakan bersama. Contohnya Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Deepavali, Pesta Gawai dan Pesta Keamataan memperlihatkan usaha etnik-etnik bukan melayu serta bukan beragama Islam menyediakan hidangan dan makanan halal agar dapat diraikan oleh masyarakat daripada etnik Melayu. Aktiviti gotong-royong dan jiran tetangga juga merupakan salah satu amalan masyarakat Malaysia. Tuntasnya, sikap toleransi dan pertimbangan antara kaum jelas memperlihatkan keharmonian hubungan etnik terjalin kukuh, saling memahami dan menghormati budaya antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini jelas menunjukkan tentang integrasi sosial antara etnik walaupun berbeza budaya, agama dan bangsa.
Akhirnya, masyarakat Malaysia juga selalu menunjukkan ciri-ciri berbudi bahasa. Masyarakat Malaysia sentiasa mengucapkan terima kasih kepada orang yang menolong mereka dan amat menghargai bantuan mereka. Dengan itu, sebuah lagu yang bertema “Terima Kasih” telah dihasilkan oleh kerajaan untuk menunjukkan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa.
.

2.0      Banding beza suasana sosiopolitik dan kekuatan hubungan etnik dalam negara dengan mana-mana negara lain di rantau Asia.
            Negara yang telah saya pilih untuk membuat bandingan aspek sosial politik dengan Malaysia ialah Vietnam. Nama rasmi bagi Vietnam ialah Republik Sosialis Vietnam. Vietnam merupakan negara paling timur di semenanjung Indochina di Asia Tenggara, bersempadan dengan China di utara, Laos di barat laut, dan Kemboja di barat daya. Dengan bilangan penduduk mencecah 87 juta, Vietnam ialah negara ke-13 teramai penduduknya di dunia. Hanoi merupakan ibu kotanya dan bentuk pemerintahan Vietnam adalah secara republik. Presiden Hp Chi Minh telah membaca proklamasi Kemerdekaan Negara Vietnam pada 2 September 1945 dan mengisytiharkan Hari Kemerdekaan.
Sesungguhnya, politik Vietnam dianggap tidak stabil walaupun presiden Vietnam sudah mengisytiharkan kemerdekaannya. Hal ini demikian kerana Vietnam telah terbahagi kepada dua iaitu Vietnam Utara sebagai sebuah negara Komunis dipisahkan oleh sebuah kawasan bebas tentera (demilitarised zone) dengan Vietnam Selatan. Kerajaan Vietnam Selatan yang didokong oleh Amerika Syarikat, enggan mengadakan pilihanraya yang bertujuan mencantumkan semula Vietnam seperti yang dipersetujui di Persidangan Geneva 1954. Di sebelah utara, wujud Republik Demokratik Vietnam di bawah Viet Minh dan di selatan pula wujud Vietnam, sebuah kerajaan bukan Komunis di bawah Maharaja Bao Dai. Tidak lama selepas itu, Bao Dai digulingkan oleh Ngo Dinh Diem, yang kemudiannya menubuhkan Republik Vietnam atau lebih dikenali sebagai Vietnam Selatan. Seperti ditetapkan samasa Perjanjian Geneva 1954, pembahagian kepada dua bahagian ini adalah sementara sahaja, sementara menunggu keputusan satu pilihanraya untuk memilih ketua negara yang akan diadakan dalam tahun 1956.
Peperangan yang berlaku telah menyebabkan rakyat Vietnam hidup dalam keadaan yang agak susah. Mari kita membincangkan perang yang tercetus dalam Vietnam selepas kemerdekaannya. Perang Vietnam atau Perang Indochina Kedua adalah perang yang terjadi antara tahun 1957 sampai dengan 1975 di Vietnam. Perang ini merupakan sebahagian dari Perang Dingin. Dua pihak yang terlibat itu adalah Republik Vietnam (Vietnam Selatan) dan Republik Demokratik Vietnam (Vietnam Utara). Dalam perang tersebut Vietnam Selatan didukung oleh negara Amerika Serikat, Korea Selatan, Thailand, Australia, Selandia Baru dan Filipina, sedangkan Vietnam Utara yang merupakan negara komunis didukung oleh Uni Soviet dan China.
Satu tragedi yang amat menyedihkan telah berlaku pada pagi hari 16 Maret 1968. Pada saat Perang Vietnam, Provinsi Quang Ngai tepatnya di desa Son My Vietnam Selatan dicurigai oleh pasukan Amerika sebagai tempat perlindungan kaum gerilyawan Angkatan Bersenjata Pembebasan Rakyat dari Front Nasional untuk Pembebasan Vietnam (FNPV). Satu peleton pasukan Amerika yang dipimpin oleh Letnan Willian Calley memasuki dusun My Lai, mereka menemukan sekelompok penduduk yang terdiri dari para perempuan, anak-anak dan laki–laki tua yang sedang melaksanakan kegiatan rutin sehari-hari. Penduduk sipil tersebut kemudian ditembaki secara membabi buta dan banyak wanita diperkosa sebelum dibunuh. Selama serangan, tidak ada suara tembakan atau tidak ada perlawanan dari pihak penduduk sipil yang ada di dusun My Lai. Jumlah korban tewas dalam serangan di dusun My Lai mencapai 500 orang.
Selain membantai ratusan penduduk sipil, pasukan Amerika juga menghancurkan rumah–rumah yang ada di desa Song My, tepatnya di dusun My Lai. Pasukan Amerika menganggap penting bahawa para gerilyawan FNPV harus dimusnahkan. Oleh sebab itu, mereka tidak mengukur berapa banyak wilayah atau lokasi strategis yang direbut atau dikuasai sebagai suatu sasaran operasi. Setahun selepas pembantaian, media massa telah menyiarkan berita ini dan hal ini menjadi catatan sejarah kejahatan perang Amerika di Vietnam, sehingga mengakibatkan kecaman dunia Internasional, menurunkan kewibawaan Amerika dan menurunkan dukungan dari rakyat Amerika itu sendiri. Akhirnya, perang itu berakhir dengan kejatuhan Saigon ke tangan Vietnam Utara pada April 1975. Vietnam yang disatukan semula itu seterusnya mengalami penindasan dalaman dan kemudian dipinggirkan oleh komuniti antarabangsa kerana Perang Dingin yang berterusan dan serangan Vietnam terhadap Kemboja. Pada tahun 1986, Parti Komunis Vietnam mengubah dasar ekonominya lalu memulakan pembaharuan sektor swasta yang seiras dengan apa yang dilakukan di China. Sejak pertengahan 1980-an, Vietnam menikmat pertumbuhan ekonomi yang cukup besar dan sedikit pengurangan dalam penindasan politik, namun laporan mengenai korupsi turut menjadi-jadi.
Hasil dari Perang Vietnam adalah kekalahan terbesar secara Politis dan Militer dari pihak Amerika Serikat. Perubahan dari Perang Vietnam adalah bersatunya Vietnam Utara dan Vietnam Selatan menjadi Negara Kesatuan Vietnam. Kajian telah menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 600.000 jiwa pengorbanan dari pihak Republik Demokratik Vietnam manakala jumlah warga sipil yang tewas mencapai 1.000.000 jiwa. Hal sebegini telah menyakitkan hati semua orang dan terbuktilah politik Vietnam adalah sangat tidak stabil. Dengan itu, sebagai warganegara Malaysia, kita harus bangga atas kestabilan politik negara kita dan selalu mengingatkan kejadian tragedi ini supaya boleh dijadikan iktibar kepada rakyat untuk berusaha memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum ini. ( Berita wartawan Renne R.A Kawilarang, 2012)
Seterusnya, mari kita membuat banding beza bagi aspek sosial antara negara Vietnam dengan Malaysia. Pertamanya, kes bunuh diri di Vietnam agak tinggi berbanding dengan Malaysia. Dalam hal ini, lima kajian telah dijalankan pada tahun 2001 untuk mengkaji kes bunuh diri di Vietnam. Kajian yang dikaji itu telah menyatakan bahawa terdapat 2.6%-25.4% rakyat Vietnam pernah munculkan idea membunuh diri, 1.1%-15.6% rakyat Vietnam pernah merancangkan kaedah membunuh diri dan terdapat 0.4%-4.2% orang telah mencuba membunuh diri. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa pembunuh diri itu banyak terdiri daripada remaja dan juga wanita. Dalam hal ini, 65.8% remaja yang membunuh diri itu adalah berada dalam lingkungan 14 tahun hingga 15 tahun dan 61% dari peratus itu terdiri daripada remaja perempuan.
Di Malaysia, “National Suicide Registry Malaysia” (NSRM) menganggarkan hampir 500 kematian bunuh diri dicatatkan tahun 2012. Dengan purata 60 kejadian bunuh diri setiap bulan. Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti belia yang berumur lingkungan 16 – 25 tahun mempunyai risiko tinggi membunuh diri. Kajian yang dijalankan menyatakan punca bunuh diri ini terdiri daripada mereka yang mengalami masalah mental ekstrem seperti tekanan perasaan, gangguan personaliti, ketagihan alkohol dan skizofrenia.
Sementelahan pula, kes pengguguran bayi di Vietnam juga sangat tinggi. Kajian telah menunjukkan bahawa Vietnam merupakan salah satu daripada lima negara yang mempunyai kadar pengguguran bayi yang tertinggi di dunia dan juga merupakan sebuah negara dengan kadar pengguguran paling tinggi di Asia Tenggara. Menurut laporan daripada seorang doktor Hospital Obstetrik Sentral Hanoi, dianggarkan 40 peratus kehamilan di negara itu berakhir dengan pengguguran iaitu dua daripada lima orang wanita yang menggandung akan menjalankan pembedahan untuk menggugurkan bayi.
Banyak faktor yang menyebabkan wanita Vietnam menggugurkan bayi. Antaranya termasuklah nasihat perancangan keluarga yang lemah, konflik dalam penyampaian mesej mengenai hubungan seks dan kuota melahirkan anak. Sejak berdekad lalu, komunis di Vietnam menguatkuasakan polisi dua orang anak setiap keluarga. Ia merupakan campuran penalti dalam pentadbiran dan perancangan subsidi keluarga untuk mengehadkan pertumbuhan penduduk. Walaupun polisi itu telah lama dimansuhkan, tetapi amalan itu masih diamalkan sehingga kini. Bukan itu sahaja, pengguguran bayi di Vietnam dianggap tidak melanggar undang-undang negara itu. Dalam hal itu, terdapat banyak hospital dan klinik yang disahkan telah membekalkan perkhidmatan menggugurkan bayi. (Dr. Muhammad Ayman Ghaffa, 2015)
 Kami pernah menerima sebanyak 30 janin sehari. Ia merupakan hari yang sibuk,” ujar Van Thao sebagai ketua pasukan sukarelawan Kristian Katolik yang mengumpul janin untuk dilupuskan sebagai sisa perubatan daripada klinik pengguguran bayi di Hanoi sejak sedekad lalu. Jelaslah bahawa kadar pengguguran bayi di Vietnam agak tinggi dibanding dengan Malaysia.
Seperkara lagi, kes keganasan di hospital juga selalu dibincang orang ramai. Kes pekerja perubatan atau doktor ditumbuk selalu berlaku di hospital Vietnam dan isu ini sudah lama dibincang tetapi tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan Vietnam. Contohnya, terdapat kes terkini iaitu tiga doktor pakar telah ditumbuk oleh seorang suami pesakit kerana dianggap sikap kewenang-wenang mereka. Kes ini telah dilaporkan dan disiarkan melalui media massa. Walau bagaimanapun, tiada suatu polisi atau undang-undang konkrit yang diwarta oleh kerajaan Vietnam untuk menjamin kebajikan dan keselamatan ahli perubatan. Bukan itu sahaja, kajian telah menunjukkan bahawa gaji doktor di Vietnam agak rendah sehingga terdapat 56.3% ahli perubatan perlu membuat kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka. Jelaslah bahawa perbezaan suasana sosial di Vietnam yang perlu diperbaikkan. 
Selain itu, walaupun kerajaan di Vietnam mengharamkan warga rakyarnya makan daging kucing, tetapi masih banyak orang suka makan daging kucing dan anjing. Sebagai bukti, surat khabar Sinaran Harian pernah menyiarkan berita tentang seorang lelaki warga Vietnam yang menetap di Jerman dipenjara tiga tahun kerana bertindak kejam terhadap haiwan di bandar Rhineland-Palatinate. Lelaki Vietnam itu membunuh dan membakar kucing tetangganya dan hal ini telah menimbulkan kemarahan aktivis haiwan di bandar berkenaan.Apa salahnya jika saya makan kucing? Amalan itu normal di Vietnam,” katanya ketika di mahkamah tempatan. Hal ini menjelaskan perbezaan budaya orang Vietnam dengan rakyat Malaysia.
Akhirnya sekali, terdapat banyak perbezaan suasana sosial politik antara Malaysia dengan Vietnam. Sebagai warganegara Malaysia, kita seharusnya berasa bangga terhadap negara kita yang maju dan harmonis ini.
3.0       Cadangan bagi menguatkan hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia.
Setiap tahun, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. Rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan yang silih berganti. Sekiranya kita memberi perhatian kepada slogan-slogan itu, kita akan mendapati slogan itu membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain serta saling membantu sesama jiran tetangga.
Hubungan etnik dan integrasi masyarakat yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?
            Saya ada beberapa cadangan yang saya rasa sesuai bagi menguatkan serta mengukuhkan hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia di masa hadapan. Pertamanya, ibu bapa harus menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Dalam hal ini, ibu bapa membelikan anak-anak buku-buku yang bercorak sejarah sejak kecil lagi. Hal ini kerana mereka serba sedikit mula berfikir tentang bahan yang dibacanya dan tidak dapat dinafikan bahawa mereka akan terpengaruh oleh nilai murni yang ada dalam bahan bacaannya.
Seterusnya, anak-anak juga digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari perayaan. Misalnya rumah terbuka diadakan oleh semua etnik apabila tiba musim perayaan seperti Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Deepavali, Pesta Gawai dan Pesta Keamataan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan mereka juga berpeluang bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa ibunda. Hal ini demikian kerana ada kajian yang menyatakan bahawa salah satu faktor yang menyebabkan kekurangan komunikasi berlaku antara kaum ialah ketidakfahaman bahasa kaum-kaum yang lain. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, maka mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah.
Ibu bapa juga boleh menggalakkan dan membawa anak-anak menyertai pertandingan yang berunsurkan semangat patriotisme. Misalnya seperti kuiz sejarah yang soalannya berkaitan dengan tokoh-tokoh negara, nama pemimpin-pemimpin negara, peristiwa bersejarah negara Malaysia dan sebagainya. Hal ini kerana anak-anak akan lebih berusaha untuk mencari jawapan mahupun maklumat yang berkaitan dengan patriotik. Hal ini sekali gus membawa anak-anak mahupun remaja mendalami sejarah negara dan sebarang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dahulu. Kesan daripada penglibatan mereka dalam perkara sebegini adalah dapat meningkatkan daya pemikiran dan menerima sebarang kemajuan serta sentiasa berfikiran terbuka dalam perkara yang positif.
Selain itu, sekolah dan institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Dalam hal ini, sekolah memainkan peranan penting supaya remaja mengingati budi tokoh-tokoh negara yang sanggup berkorban masa, nyawa dan tenaga untuk keharmonian negara. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan patriotisme seperti mengadakan sambutan kemerdekaan, mengadakan kuiz kemerdekaan, memaparkan kisah tokoh-tokoh negara kepada pelajar dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan menanamkan bibit-bibit cinta akan negara dalam diri remaja dan menjadi generasi yang sanggup berjuang untuk pertahankan negara bak kata pepatah, “bahu memikul, hati menyokong”. Dengan itu, setitik semangat patriotik yang ada dalam diri remaja pasti akan menjadi sekepal dan mewujudkan pelajar yang berjiwa bangsa.
Di samping itu, pihak sekolah juga merupakan penjamin masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita agar hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Pihak sekolah mestilah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan melibatkan komuniti pelbagai kaum. Misalnya, pihak sekolah boleh menggalakkan pemakaian pakaian tradisi kaum masing-masing semasa sambuatan-sambutan seperti sambutan Hari Kemerdekaan, perayaan dan sebagainya supaya masyarakat berbilang kaum di negara kita akan dapat merasai nikmat keharmonian dan kemakmuran hidup dalam masyarakat majmuk di negara Malaysia.
Seperkara lagi, guru juga bertanggungjawab dalam menguatkan hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah. Contoh-contoh kerja berkumpulan termasuklah kajian sains, persembahan dan sambutan-sambutan majlis di sekolah. Dengan itu, barulah pelajar mempunyai lebih banyak peluang berinteraksi dan bekerjasama dengan kaum-kaum yang berbeza. Menerusi kerjasama yang diamalkan, hubungan etnik ini akan menjalin dengan lebih erat dan pelajar tersebut akan mendapati kepentingan integrasi masyarakat serta kebaikan yang dibawanya.
Guru-guru juga haruslah bijak dalam membahagikan tempat kedudukan pelajar dengan melibatkan semua kaum pelajar secara rawak. Situasi sebegini amat menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama supaya dapat melahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.
Sementelahan pula, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.
Sesungguhnya, amalan masyarakat juga salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian antara kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Amalan masyarakat yang baik dapat mengamankan masyarakat majmuk di Malaysia. Keamanan masyarakat ini dapat dikekalkan dengan penglibatan pelbagai kaum dan setiap aktiviti yang diadakan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, ketua kampung boleh mengadakan satu aktiviti sukan dengan melibatkan semua kaum. Dalam hal ini, setiap aktiviti sukan perlu disertai pelbagai etnik misalnya permainan bola sepak dan bola tampar. Dengan itu, semua kaum berpeluang berkumpul bersama dan menggemblengkan tenaga untuk berjaya dalam sesuatu aktiviti. Seandainya amalan tradisi dalam sesebuah masyarakat dengan penglibatan pelbagai kaum tidak diamalkan, sudah pastilah keharmonian masyarakat tidak dapat dikekalkan. Pendek kata, amalan tradisi masyarakat dengan penglibatan masyarakat majmuk dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dalam komuniti pelbagai kaum.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan. Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga dan sebagainya untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga setempat dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan bangsa.
Seterusnya, pihak kerajaan adalah antara pihak yang mempunyai tugas untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan remaja atau bak kata pepatah Korea ‘mutiara negara’. Hal ini demikian kerana setiap negara mempunyai pucuk pimpinan yang berhak mentadbir rakyatnya. Pihak kerajaan hendaklah merancangkan program-program yang dapat memupuk perpaduan dan juga mewartakan undang-undang supaya kerusuhan etnik tidak berlaku. Hal ini demikian kerana undang-undang dapat memastikan semua rakyat mematuhi peraturan, menjaga tingkah laku, menjaga percakapan dan menjaga hak asasi orang lain. Dengan itu, keadaan harmonis dapat dibentuk kerana semua rakyat berbudi bahasa dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sebagai penghias bicara akhir, semangat patriotik seharusnya disemai dalam jiwa semua rakyat Malaysia. Sekiranya hubungan etnik dapat dikukuhkan dan berjaya meresap dalam jiwa semua rakyat Malaysia, nescaya negara kita mampu melahirkan lebih ramai individu yang prihatin, bersatu-padu dan bertanggungjawab demi mempertahankan tanah air yang tercinta ini. Dengan itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagai ‘aur dengan tebing’ untuk memupuk semangat patriotik agar dapat melahirkan etnik yang saling menghormati dan dapat merealisasikan aspirasi Wawasan 2020. Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Penutup
Keseluruhannya, bagi mencapai aspirasi dan cita-cita nasional, kestabilan politik, ekonomi dan sosial memainkan peranan yang sangat penting. Pelbagai usaha sudah dirangka oleh kerajaan seperti Gagasan 1Malaysia, Program Tranformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara dan sebagainya untuk memacu negara Malaysia ke arah Wawasan 2020 dan seterusnya menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Dengan itu, semua pihak haruslah menggemblengkan tenaga dan memainkan peranan masing-masing supaya dapat melahirkan etnik yang saling menghormati dan juga merealisasikan aspirasi Wawasan 2020.

4.0       Refleksi
            Saya berasa amat gembira kerana dapat menyiapkan kerja kursus dalam tempoh yang ditetapkan. Semasa menerima kerja kursus ini, saya berasa amat bimbang dan sukar untuk menyiapkan tugasan ini kerana tiada banyak ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan soalan itu. Sebaik menerima tugasan, kolaborasi bersama pensyarah dilakukan untuk lebih memahami kehendak soalan. Pensyarah telah menjelaskan kehendak soalan kerja kursus dan juga membimbing kami membuat kerja kursus dengan memberi idea-idea dan contoh yang bernas.

Setelah mengenalpasti kehendak soalan, saya pun mulakan melaksanakan tugasan ini. Saya telah menghadapi beberapa kesukaran semasa melaksanakan tugasan ini, misalnya saya tidak dapat jelaskan situasi hubungan etnik Malausia masa kini dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini demikian kerana saya tidak begitu peka terhadap perkara-perkara ini. Saya berasa risau dan membuat keputusan untuk menyiapkan tugasan ini dengan sebaik mungkin. Dengan itu, saya telah mencari maklumat yang berkaitan dengan melayari Internet dan juga meminjam buku dari perpustakaan. Bukan itu sahaja, saya juga selalu meminta tunjuk ajar daripada pensyarah dan rakan-rakan yang lain.

Sebenarnya, saya telah memperoleh banyak ilmu pengetahuan melalui kerja kursus ini. Pertamanya, saya lebih faham maksud hubungan etnik dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian sebelum saya menjawab soalan, saya perlu membaca buku atau mencari maklumat yang berkenaan dengan melayari internet supaya lebih faham soalan yang dinyatakan. Seterusnya, saya telah mengkaji dan membuat banding beza suasana sosiopolitik antara negara kita dengan negara Vietnam. Saya juga berasa bangga kerana negara kita mempunyai kekuatan hubungan etnik berbanding dengan negara Vietnam selepas mencari maklumat berkenaan. Dengan itu, saya mendapati kestabilan politik sesebuah negara amat penting dan sukar dikekalkan. Semua rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan mempertahankan negara kita serta bekerjasama membentuk suasana yang hormonis.

Seperkara lagi, saya juga mendapat cadangan-cadangan yang bernas dan sesuai bagi menguatkan serta mengukuhkan hubungan etnik dan integrasi masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Saya berharap semua pihak haruslah berganding bahu bagai ‘aur dengan tebing’ untuk memupuk semangat patriotik agar dapat melahirkan etnik yang saling menghormati dan dapat merealisasikan aspirasi Wawasan 2020.

             Di samping itu, saya telah berjaya mengaplikasi dan mempelajari beberapa nilai murni semasa saya melaksanakan tugasan ini. Pertamanya, saya telah menghayati nilai kerajinan. Hal ini kerana saya juga mendapat banyak tugasan mata pelajaran lain secara serentak. Saya perlu mengamalkan nilai kerajinan supaya dapat menyiapkan tugasan ini dalam tempoh yang ditetapkan. Nilai yang telah saya belajar seterusnya adalah tanggungjawab. Saya telah mengamalkan nilai bertanggungjawab dengan melaksanakan tugasan ini dengan bersungguh-sungguh dan juga menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.


Kesimpulannya, saya telah mendapat satu pengalaman yang baharu dan berharga selama melaksanakan tugasan projek ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya dengan meminta tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Tugasan yang saya buat ini mungkin bukan tugasan yang terbaik tetapi saya telah berusaha dengan bersungguh-sungguh semasa melakukannya. Usaha saya bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga. Dengan itu, saya berharap pengorbanan masa dan tenaga saya ini tidak akan dibazirkan dengan sia-sia itu sahaja. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment