Wednesday 22 April 2015

Laporan reflektif dan penilaian kendiri bagi BIG 3PISMP (khdimat masyarakat dan bengkel ceramah)

Laporan Reflektif Khidmat Masyarakat

Saya sentiasa menanti-nantikan khidmat masyarakat ini sepanjang semester ini kerana program BIG khidmat masyarakat pada semester lepas telah memberikan peluang kepada saya untuk belajar dan berinteraksi dengan kanak-kanak yatim piatu. Saya percaya program BIG kali ini akan memberikan satu pengalaman yang luar biasa dan mendalam bagi saya.

Untuk BIG kali ini, guru-guru pelatih yang terlibat ialah dari 3PISMP RBT dan TESL Ambilan Jan 2014, seramai 41 orang akan menjalankan program BIG di SK Simpang, Taiping. Sebelum menjalani program ini, kami menerima taklimat daripada pensyarah yang bertanggungjawab. Seterusnya, kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa dan juga mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh, lokasi dan aktivti-aktiviti yang berkenaan. Kami telah melaksanakan tugas masing-masing dan juga selalu mengadakan mesyuarat untuk tukar-menukar informasi sebelum hari itu sampai.

Pada 8 April 2015, guru pelatih yang melibatkan diri telah bertolak dari IPG Kampus Tuanku Bainun pada pukul 8 pagi. Sebaik sahaja tiba di SK Simpang, kami menurunkan barang-barang dan berkumpul di sebelah pintu sekolah tersebut. Kami telah disambut oleh PK Hem SK Simpang dan beliau juga menjemput kami di bilik gerakan untuk memberi sedikit taklimat. Puan Chang iaitu PK Hem mengucapkan selamat datang kepada para guru pelatih dan memperkenalkan sedikit tentang SK Simpang. Selepas itu, Puan Chang pun mengagihkan tugas kepada kumpulan-kumpulan. Tempat-tempat yang memerlukan kerja pembersihan ialah 2 bilik Kemahiran Hidup, 2 makmal Sains, stor sukan, bilik BOSS dan pusat sumber. Kami diberikan peralatan-peralatan yang secukupnya seperti penyapu, pengelap lantai, plastik sampah dan sebagainya. Tanpa melengahkan masa, kami memulakan kerja gotong-royong dengan membersihkan kawasan sekolah itu.


Setelah selesai gotong royong selama 2 jam lebih, kami berkumpul sekali lagi di bilik gerakan untuk melaminatkan kertas-kertas mata pelajaran yang diperlukan untuk menghiaskan papan kenyataan yang ada pada kelas. Selepas kerja penghiasan, pengerusi program BIG mengucapkan sepatah kata kepada guru-guru pelatih dan juga menghadiahkan cenderahati kepada pihak sekolah SK Simpang sebagai tanda terima kasih kepada sekolah tersebut. Selepas makan tengah hari di SK Simpang, guru-guru pelatih pun bertolak pulang ke IPG Kampus Tuanku Bainun.

            Kekuatan aktiviti ini termasuklah ia dapat memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari para guru pelatih. Antaranya termasuklah semangat kerjasama dan toleransi yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan guru pelatih malahan juga dalam kalangan murid yang membantu semasa kami menjalankan gotong-royong. Hal ini demikian kerana kami perlu bekerjasama semasa gotong-royong supaya kerja-kerja yang banyak dapat disiapkan dengan cepat. Murid-murid sekolah itu juga selalu menghulurkan bantuan dan bersikap aktif semasa menjalankan tugasan yang diberi. Contohnya murid-murid sekolah itu berkobar-kobar untuk beratur dalam satu garisan dari tempat mengepam bola hingga ke stor sukan untuk memudahkan proses memindahkan bola ke stor sukan. Melalui ini, saya telah nampak sikap kerjasama dan toleransi yang ditunjukkan oleh mereka kerana mereka saling menolong dan bekerjasama demi satu matlamat iaitu berja memindahkan semua bola yang telah dipam ke dalam bilik stor.

Seterusnya, pemilihan kawasan yang sesuai ini juga merupakan kekuatan program ini. Hal ini demikian kerana SK Simpang bukan sekolah yang bersaiz besar dan tidak mempunyai murid serta guru yang banyak. Dengan itu, aktiviti gotong-royong sesuai dijalankan supaya murid-murid sekolah itu dapat belajar dalam persekitaran dan suasana yang kondusif. Semangat murid pasti akan meningkat dan berkobar-kobar untuk mempelajari sesuatu yang baharu daripada guru-guru mereka sekiranya mempunyai sesuatu persekitaran yang kondusif. Jadi, jelaslah di sini bahawa persekitaran sekolah adalah amat penting bagi memotivasikan seseorang murid untuk belajar dan melakukan sesuatu yang terbaik dalam pelajaran mereka. Walaupun terdapat banyak tugas yang perlu dilakukan dalam kerja pembersihan sekolah, namun keadaan ini dapat memupuk daya ketahanan dan kekuatan fizikal, mental dan emosi guru pelatih untuk menyediakan mereka sedia daripada pelbagai aspek untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa lubang-lubang kelemahan yang perlu diperbaiki supaya hasil dan objektif program yang direka dapat dicapai. Antara kelemahan yang ada pada program khidmat masyarakat ini ialah aktiviti yang agak kurang dan pengurusan masa yang tidak sempurna. Aktiviti yang dirancang itu agak kurang dan menyebabkan tertinggalnya banyak masa yang lapang walaupun tempoh program ini belum tamat. Keadaan seperti ini sepatutnya perlu dielakkan pada BIG sem depan. Berdasarkan kelemahan yang telah dinyatakan di atas, saya mencadangakan bahawa pihak yang bertanggungjawab atas aktiviti boleh mengambil perhatian kepada pengurusan masa. Ajk-ajk juga perlu bekerjasama mencurahkan usaha yang lebih dalam penyediaan aktiviti yang lebih menarik dan padat untuk mewujudkan suasana interaksi yang lebih aktif dengan memastikan aktiviti yang disediakan adalah berkualiti dan menarik.

Seterusnya, terdapat juga ancaman yang ada dalam program ini. Cuaca hari itu agak panas dan semua guru pelatih berasa sangat panas dan letih semasa menjalankan gotong-royong di sekolah itu. Kami berpeluh banyak dan berasa dahaga atas cuaca yang agak panas itu. Walaupun aktiviti amat meletihkan, namun ia merupakan suatu pengalaman yang cukup hebat, bermakna dan menyeronokkan.


Kesimpulannya, saya telah mendapat satu pengalaman yang baharu dan berharga semasa melaksanakan aktiviti ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya yang ada dalam aktiviti ini dengan meminta tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Saya berharap mendapat peluang lagi untuk menyertai aktiviti yang sebegini pada masa depan. Sekian, terima kasih.


Laporan Reflektif: Bengkel

Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti program seminar ceramah mengenai “Kesantunan Berbahasa” bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di IPGKTB pada 16 April 2015 yang lepas. Seminar ceramah yang disampaikan oleh Encik Rosnan ini mengambil masa kira-kira tiga jam, iaitu dari pukul 2.00 petang sehingga pukul 5.00 petang. Sebenarnya saya sentiasa menanti-nantikan seminar bengkel ini.

Ceramah pada hari itu adalah berkaitan dengan kesantunan. Melalui ceramah ini, kami telah berpeluang belajar tentang beberapa perkara asas dalam kesantunan berbahasa. Kesantunan berbahasa mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri yang melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Sebagai contoh, gelaran warisan (Raja, Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda, Tengku), dan gelaran kurniaan  (Tun, Toh Puan, Puan Sri, Datuk, Datuk Seri, Datuk Paduka) hendaklah sesuai dan betul mengikut gelaran yang telah diberikan. Sebagai seorang bakal guru pada masa akan datang, penggunaan gelaran kepada individu-individu ini haruslah dikenalpasti dan tidak boleh dipandang remeh kerana ianya melibatkan pangkat dan gelaran seseorang.

Seterusnya, Encik Rosnan telah menasihati kami supaya menjadi seorang pendengar yang baik. Kita haruslah menghormati orang lain dengan tidak mencelah apabila mereka sedang berucap. Kita harus meneliti apa yang diucap oleh mereka dan memberi balasan dengan lembut dan sopan. Encik Rosnan juga menyatakan bahawa sebagai seorang jurucara, tatatertib berucapnya mestilah halus dan bersopan. Jurucara itu perlu menggunakan perkataan yang sesuai semasa ingin memberi sebarang arahan. Misalnya, dia tidak boleh menjerit dan berucap sebegitu, “Hoi, matilah handphone kamu sekarang dan duduk diam-diam.” Percakapan sebegini akan menjatuhkan maruahnya dan dikeji orang. Dengan itu, kita harus berhati-hati semasa berinteraksi atau memberi arahan.

Di samping itu, pelaksanaan program ceramah ini juga telah membuka minda kami tentang kepentingan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian terutamanya apabila bergelar sebagai seorang pendidik pada masa akan datang. Sebagai seorang guru, amat penting untuk kita memahami dan mengaplikasi kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana bukan rakan sejawatan dan murid-murid sahaja yang bergaul dengan kita, malah ibu bapa turut bergaul dengan kita terutamanya pada hari permuafakatan ibu bapa dan guru. Jadi, amat penting untuk kita menggunakan bahasa yang sopan dan bertatasusila apabila berkomunikasi dengan mereka.

Saya telah mengenal pasti kekuatan bagi aktiviti ini iaitu ceramah yang bertempat di Dewan Kuliah C ini telah memudahkan proses penyampaian ceramah. Hal ini demikian kerana kedudukan para peserta yang berdekatan dengan kedudukan penceramah memudahkan kontrak mata di antara kedua-dua pihak. Dengan adanya kontrak mata yang berkesan, para peserta dapat memberikan fokus terhadap ceramah yang ingin disampaikan. Selain itu, kerjasama semua guru pelatih dalam menjayakan program ini juga merupakan salah satu kekuatan BIG ini. Walaupun bukan semua guru pelatih terlibat sebagai ahli jawatankuasa, namun arahan yang diberikan oleh pengerusi BIG telah dipatuhi oleh semua peserta. Kami juga sedaya upaya menjaga tingkah laku dan memberi kerjasama kepada penceramah. Apabila penceramah bertanyakan soalan, kami akan memberi respon dengan pantasnya.

Kelemahan aktiviti ini pula termasuklah kekurangan interaksi antara para guru pelatih dengan penceramah. Dalam hal ini, saya mendapati penceramah telah membuat persiapan awal dan mencari maklumat-maklumat berkenaan sebelum memberi ceramah kerana pertuturan beliau begitu fasih. Namun, beliau kurang menyoalkan soalan yang motivasi dan merangsang. Dengan itu, guru pelatih kurang dirangsangkan dan mereka juga tidak perlu membuat pertimbangan atau penaakulan dalam sesi ceramah itu.  

Seterusnya, ancaman aktiviti yang saya dapati semasa program berlangsung adalah masa yang ditetapkan untuk aktiviti ceramah adalah tidak bersesuaian iaitu pada pukul 2.00-5.00 petang. Dalam hal ini, murid mudah tergantuk dalam waktu ceramah diadakan iaitu pada pukul 2.00 petang sehingga pukul 5.00 petang. Hal ini demikian kerana guru pelatih berasa letih selepas menghadiri kuliah sepanjang pagi hari itu. Mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup dan terpaksa menghadiri ceramah ini selepas kuliah. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa pengerusi aktivti ini boleh mencari suatu masa yang lebih sesuai bagi menjalankan seminarnya supaya guru pelatih tidak akan tergantuk dan dapat memberi perhatian yang lebih semasa ceramah diadakan.

Secara tuntasnya, saya telah mendapat satu pengalaman yang bermakna dan juga menimba ilmu pengetahuan yang banyak selepas menghadiri ceramah ini. Saya berjanji akan terus berusaha untuk meningkatkan kekuatan saya dan juga mengatasi kelemahan saya yang ada dalam aktiviti ini dengan meminta tunjuk ajar daripada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Saya berharap mendapat peluang lagi untuk menyertai aktiviti yang sebegini pada masa depan. Sekian, terima kasih.


Penilaian kendiri: Khidmat Masyarakat

Program Bina Insan Guru(BIG) Fasa 2 ini telah meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya dan ia merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikut program khidmat masyarakat bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) Fasa 2 yang telah dilaksanakan di SK Simpang, Taiping pada 8 April 2015. Sesungguhnya, saya telah mendapat banyak pengalaman dan kebaikan menerusi aktiviti khidmat masyarakat ini.

Yang pertamanya, guru-guru pelatih telah dibahagikan kepada 8 kumpulan yang mempunyai 5 orang ahli kumpulan ditugaskan di tempat yang berbeza-beza seperti stor sukan, bilik BOSS, pusat sumber, bilik Kemahiran Hidup, makmal Sains dan lain-lain. Daripada peristiwa ini, saya mempelajari bahawa pengurusan masa dan sumber tenaga adalah amat penting bagi memastikan semua kerja yang diamanahkan dapat disiapkan pada masa yang telah ditetapkan pada kadar yang efektif dan optimum. Hal ini penting kerana sekiranya sesuatu aktiviti telah bertangguh atau tergendala, ianya pasti akan menjejaskan atur cara atau aktiviti yang seterusnya. Kesannya, semua perkara terpaksa dijalankan dengan kadar yang lebih cepat. Dengan itu, patutlah kami membuat kerja dengan mengikut jadual yang ditetapkan. Kami juga tidak memberikan apa-apa bantahan mengenai posisi pembahagian tugas kerana kami bersepakat bahawa kita harus melakukan apa-apa sahaja dengan sedaya upaya dalam apa jua bidang kerja. Selepas kami membahagikan kerja kami, maka kami pun mula menjalankan tugas kami seperti yang telah diamanahkan.

Selain itu, kursus BIG ini juga berjaya membina keperibadian saya yang baik seperti sikap keterbukaan, toleransi, kerjasama, tolong-menolong, kerajinan, kesabaran dan sebagainya dalam diri saya. Hal ini demikian kerana kami perlu menyiapkan kerja gotong-royong dalam masa yang ditetapkan supaya masa untuk aktiviti tidak dijejaskan. Dengan itu, kami mesti bekerjasama, tolong-menolong dan juga rajin serta sabah semasa melakukan gotong-royong. Sebagai contohnya, saya akan memberi bantuan kepada rakan-rakan lain selepas kerja saya disiapkan. Saya tiada duduk senyap atau jalan-jalan walaupun kerja tugasan saya telah habis. Sebaliknya, saya telah membantu kawan untuk menyapu lantai. Situasi ini juga menyedarkan saya bahawa sebagai seorang manusia yang hidup dalam kumpulan dan kelompok, kita harus memberikan bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum, bangsa dan ras.

Bukan itu sahaja, program ini juga secara tidak langsung dapat membantu kami mengenali rakan-rakan yang berasal dari kumpulan dan bangsa yang lain. Hal ini demikian kerana kami telah pergi ke sekolah tersebut untuk menjalankan program kidmat masyarakat bersama-sama dengan kumpulan yang lain, iaitu PISMP yang terdiri daripada 19 orang guru pelatih berkaum India dan 2 orang kaum Melayu. Saya sedar dan mengaku bahawa biasanya kumpulan kami yang terdiri daripada semua guru pelatih berbangsa Cina kurang bergaul dengan kumpulan-kumpulan lain, lebih-lebih lagi guru-guru pelatih yang berbangsa lain disebabkan oleh kursus pengajian dan masa kuliah yang tidak sama. Namun, dengan adanya program khidmat masyarakat ini, kami berasa bertuah kerana berpeluang bergaul dan berkongsi pendapat dengan mereka yang berasal dari kumpulan-kumpulan yang dinyatakan tadi. Daripada pergaulan dengan guru-guru pelatih yang berasal dari kumpulan lain sepanjang program khidmat masyarakat ini, kami berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam mengenali masalah yang dihadapi, amalan budaya dan tradisi mereka, cara pergaulan mereka dalam kumpulan mereka dan sebagainya.

Bagi cara-cara penambahbaikan pula, saya berpendapat program khidmat masyarakat ini akan menjadi lebih menarik jika terdapat aktiviti-aktiviti menarik lagi merangsang yang melibatkan murid-murid bersama. Dengan itu, berulah guru pelatih berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti itu dan berinteraksi dengan mereka secara aktif. Kekuatan saya dalam program ini adalah saya menjadi seorang yang lebih toleransi dan sabar. Hal ini demikian kerana saya perlu mengamalkan sifat-sifat ini semasa bekerjasama dengan orang lain. Dengan itu, barulah tugasan dapat disiapkan dengan sempurna dalam tempoh yang ditetapkan. Kelemahan saya pula termasuklah saya lemah dalam berkomunikasi dengan orang yang berbangsa lain. Hal ini demikian saya tidak fasih dalam berbahasa Melayu dan Inggeris. Saya perlu memikir panjang sebelum bertuturan. Saya akan mengatasi masalah ini dengan mempraktik menggunakan bahasa yang lain dalam pergaulan kehidupan seharian saya.

Jadi, ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan sepanjang khidmat masyarakat ini. Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat akan saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Secara keseluruhannya, program BIG ini berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Saya berharap program ini bukanlah merupakan suatu penamat tetapi permulaan yang baik serta perlu diteruskan pada masa yang akan datang. Akhiranya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program BIG ini. Saya berharap aktiviti seterusnya dapat dijalankan dengan lebih bermakna dan saya berupaya menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi program BIG seterusnya.


Penilaian kendiri: Bengkel

Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti program seminar ceramah mengenai “Kesantunan Berbahasa” bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di IPGKTB pada  16 April 2015 yang lepas. Seminar ceramah yang disampaikan oleh Encik Rosnan ini mengambil masa kira-kira tiga jam, iaitu dari pukul 2.00 petang sehingga pukul 5.00 petang. Sesungguhnya, saya telah mendapat banyak pengalaman dan kebaikan menerusi aktiviti ini.

Pertamanya, seminar ini telah memberikan impak positif yang besar dalam diri saya sebagai seorang bakal guru. Hal ini demikian saya mendapati kesantunan berbahasa amat penting dalam komunikasi seharian. Kita harus menggantikan perkataan yang kasar dengan menggunakan bahasa yang lembut supaya tidak menyinggung perasaan orang lain dan menimbulkan sebarang perselisihan faham atau pertelingkahan antara penutur dengan pendengar. Dengan cara ini, suasana yang harmoni dan aman damai boleh diperoleh sekiranya kita berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi.

Selain itu, saya juga mendapati seminar ceramah ini telah memberikan kesan positif yang amat mendalam terhadap kerjaya saya. Saya telah mempelajari kemahiran berpakaian dalam situasi yang berbeza. Misalnya, seseorang harus berpakaian sopan di tempat umum, iaitu hindarilah memakai pakaian yang dapat merangsang orang lain terutama lawan jenis seperti pakaian tembus pandang. Kita patutlah memakai pakaian formal atau pakaian yang sesuai semasa menghadiri sesuatu acara rasmi jika kita menghormati tuan rumah itu.

Tambahan pula, saya juga menyedarkan bahawa fenomena kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja kini semakin merosot iaitu penggunaan bahasa rojak dalam komunikasi. Dengan kemajuan teknologi dewasa ini, remaja dewasa kini telah banyak dipengaruhi oleh budaya Barat. Jadi, ayat-ayat yang digunakan oleh remaja apabila berkomunikasi sering dicampur dengan bahasa lain. Mereka suka menggunakan istilah-istilah bahasa Inggeris apabila bertutur. Misalnya “I tak tahu” dan sebagainya. Sebenarnya, penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan merupakan satu tabiat yang tidak harus diamalkan kerana nilai kesantunan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah atau peribadi seseorang individu. Sesungguhnya, negara Malaysia patut melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai personaliti yang berketrampilan, malahan juga menunjukkan sahsiah yang boleh menjadi kebanggaan negara kita dengan berkeperibadian mulia.

Sementelahan pula, saya telah mempelajari cara untuk menjadi seorang pendengar yang baik. Saya akan menghormati orang lain dengan tidak mencelah apabila mereka sedang berucap. Selepas itu, saya akan meneliti apa yang diucap oleh mereka dan memberi balasan dengan lembut dan sopan. Saya juga akan menggunakan bahasa yang lembut dan harus semasa berkongsi pendapat-pendapat atau idea-idea saya supaya tidak menyinggung hati orang lain.

Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh kami berdasarkan kekurangan yang berlaku semasa ceramah yang diadakan pada kali ini. Antaranya, saya berpendapat bahawa sesi ceramah perlu dimulakan pada waktu pagi untuk mengelakkan pelatih berasa mengantuk. Hal ini demikian kerana ceramah yang diadakan pada waktu petang telah mendatangkan beberapa keburukan. Guru pelatih akan menjadi sangat letih jika mereka terpaksa menghadiri bengkel ceramah selepas menghadiri kuliah pagi tadi. Perhatian mereka juga tidak dapat ditumpukan kerana selalu mengantuk di dalam dewan. Penambahbaikan kedua pula termasuklah pensyarah harus memberi teguran kepada guru pelatih yang kerap keluar ke tandas. Hal ini kerana teguran yang diberi dapat mengurangkan pergerakan keluar masuk guru pelatih dan juga mengurangkan gangguan kepada para peserta.

Jadi ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada apa yang diperkatakan oleh penceramah sepanjang seminar ceramah “Kesantunan Berbahasa”. Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat akan saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Diharapkan agar aktiviti seperti ini dijalankan pada masa yang akan datang. Terima kasih sekali lagi kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.

No comments:

Post a Comment