Wednesday 30 September 2015

Penilaian Kendiri--BIG perkhemahan dan program anak angkat(4 PISMP)

Penilaian Kendiri:

Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 4 ini telah meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya dan ia merupakan satu program yang dilaksanakan bagi melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam program BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru. Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikut program perkhemahan anak angkat bersempena dengan kursus Bina Insan Guru (BIG) Fasa 4 yang telah dilaksanakan di Pusat Kokurikulum Daerah Larut Matang, Selama, Perak dari 4 hingga 6 Ogos 2015. Sesungguhnya, saya telah mendapat banyak pengalaman dan kebaikan menerusi aktiviti BIG ini.

Melalui BIG ini, pelatih guru didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan sama ada akademik mahupun bukan akademik. Kepelbagaian ilmu pengetahuan mampu melengkapkan bakal guru untuk menghadapi cabaran pada masa yang akan datang. Dengan adanya kepelbagaian ilmu ianya sedikit sebanyak membantu bakal guru untuk menyelesaikan masalah kelak.

            Pertamanya, saya telah mempelajari pengurusan organisasi semasa membentuk jawatankuasa BIG ini. Hal ini demikian kerana guru bukan sahaja mengajar malahan terlibat dalam pengurusan organisasi dan sosial. Melalui pengurusan organisasi,bakal guru dapat dilatih cara merancang, mengurus dan mengolola sesuatu program. Hal ini amat penting kerana pelbagai projek akan dijalankan seperti kem-kem kecemerlangan, kem bestari solat dan sebagainya pada masa depan. Oleh itu, ia telah menjadi elemen penting kepada bakal guru untuk mempunyai kemahiran tambahan ini sebagai persediaan sebelum bergelar sebagai guru.

            Selain itu, manfaat yang saya dapat termasuklah kemahiran bersosial dan cara komunikasi dengan orang lain. Dalam hal ini, saya berpeluang berkomunikasi dengan keluarga angkat saya. Saya telah belajar menggunakan bahasa yang betul dan juga tatasusila yang tepat semasa bergaul dengan mereka. Seterusnya, saya juga mengamalkan nilai kerjasama dengan rakan-rakan semasa aktiviti melukis mural. Hal ini demikian kerana kami perlu berbincang untuk menetapkan lukisan atau tema yang akan dilukis pada dinding prasekolah itu. Kami bertukar-tukar fikiran dan akhirnya memilih satu idea yang terbaik untuk menjadikannya kenyataan. Dalam hal ini, kami saling menghormati antara sama lain dan juga selalu bertolak ansur dalam kalangan kumpulan kami.

            Bukan itu sahaja, saya juga mempelajari adat kaum Melayu. Hal ini kerana ibu angkat saya banyak berkongsi pengalamannya dan juga mengajar saya pelbagai ilmu pengetahuan dan serta pantang larang kaum mereka. Saya diberitahu bahawa lelaki Melayu tidak boleh bersalam-salam dengan perempuan Melayu. Tambahan pula, saya juga telah belajar makan nasi dengan menggunakan jari tangan. Pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu ini tidak dapat saya lupakan pada masa depan.

            Sementelahan pula, saya berpeluang menikmati permandangan yang cantik dan kehidupan kampung semasa berada di kampung keluarga angkat saya. Program BIG kali ini telah memberi pengalaman yang begitu berharga kepada saya kerana dapat menghayati kehidupan sebagai anak angkat dan meneroka sebuah kehidupan keluarga di kampung. Bapa angkat saya mempunyai satu kebun yang kecil dan ibu angkat saya telah membela empat ekor monyet untuk membantunya memetik buah kelapa dan buah petai. Nenek angkat saya pula seorang bomoh patah yang hebat dan dia telah membela tiga ekor ayam di belakang rumahnya.

Seterusnya, adik angkat saya telah membawa saya pergi ke tepi air terjun yang berdekat dengan rumahnya. Menurutnya, air terjun ini sangat cantik dan sangat terkenal dalam kampung mereka. Mereka mesti akan membawa tetamu yang mengunjung ke kampung mereka melawat ke air terjun ini kerana air terjun ini merupakan salah satu keistimewaan bagi Kampung Tapah. Walaupun masa yang diperuntukkan untuk bersama dengan keluarga angkat amat singkat, namun program ini ternyata mampu membina kemahiran komunikasi dan membina jati diri yang utuh sebagai bakal guru yang cemerlang pada masa hadapan.

Seperkara lagi, program ini mengajar saya dalam mempertingkatkan kemahiran yang ada seperti kemahiran mengurus dan kepimpinan. Kemahiran mengurus diri dan masa sangat penting supaya kita menghargai setiap saat yang berlalu dalam kehidupan. Misalnya program ini telah mengajar saya untuk sentiasa menepati masa dan mestilah bersedia dari semua aspek bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan. Kemahiran kepimpinan juga dapat diperolehi ketika menguruskan sesuatu aktiviti dan rasa bertanggungjawab telah wujud dalam diri saya dan para guru pelatih. Misalnya, saya dan rakan-rakan telah dipertanggungjawab mengiring aktivti slot moral bagi murid tahun enam selama dua jam.

            Di samping itu, program ini telah berjaya meningkatkan tahap kecerdasan emosi saya kerana sebagai bakal guru, saya seharusnya bijak mengawal emosi dalam setiap perkara. Sebagai contohnya, emosi sabar dan tabah perlu dimiliki ketika berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia dan halangan yang menimpa. Dalam hal ini, emosi sedih perlu dikawal dengan baik ketika kita ditimpa sebarang musibah supaya orang lain tidak menilai diri kita sebagai orang yang lemah. Dengan itu, saya percaya program ini telah banyak membentuk emosi saya supaya sentiasa berada dalam keadaan yang stabil.

            Antara cadangan penambahbaikkan termasuklah saya berharap program BIG masa depan dapat dilakukan di tempat yang lebih mencabar dan menarik bagi menguji ketahanan para guru pelatih. Seterusnya, pengurusan dan pengelolaan program perlulah lebih teratur dan tersusun supaya perjalanan program berjalan dengan lebih lancar. Seperkara lagi, saya berharap peserta perlulah dimaklumkan lebih awal mengenai perjalanan aktiviti supaya dapat bersedia dengan lebih awal.

Jadi, ternyata di sini bahawa banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang dijalankan sepanjang program BIG ini. Semua pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat akan saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan serba boleh. Secara keseluruhannya, program BIG ini telah berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Saya berharap program ini bukanlah merupakan suatu penamat tetapi permulaan yang baik serta perlu diteruskan pada masa yang akan datang. Akhiranya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program BIG ini. Saya berharap aktiviti seterusnya dapat dijalankan dengan lebih bermakna dan saya berupaya menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi program BIG seterusnya.


No comments:

Post a Comment